If I Had My Child to Raise Over Again by Diane Loomans

If I Had My Child to Raise Over Again by Diane Loomans
If I had my child to raise all over again,
I'd do less correcting, and more connecting,
I'd take my eyes off my watch, and watch with my eyes.
I would care to know less and know to care more.
I'd take more hikes and fly more kites.
I'd stop playing serious, and seriously play.
I'd run through more fields and gaze at more stars.
I'd do more hugging, and less tugging.
I would be firm less often, and affirm much more,
I'd build self-esteem first, and the house later.
I'd teach less about the love of power and more about the power of love.

Tuesday 30 March 2010

BURUK SANGKA @ sangka buruk




 Dalam salah satu sesi usrah, kami membincangkan tentang sikap buruk sangka atau dalam Bahasa Arabnya, 'suuz-zan'. Buruk sangka adalah sifat mazmumah yang perlu dijauhi seperti hadis Nabi SAW yang bermaksud,'Jauhilah buruk sangka, sesungguhnya sebahagian dari sangka buruk itu adalah kata-kata yang dusta.'

Apakah yang dimaksudkan dengan buruk sangka atau bersangka buruk? Adakah kita mesti sentiasa bersangka baik (husnuz-zan)?

Saya bentangkan beberapa situasi; pertama, kita lihat seorang wanita Islam yang kita kenali keluar ke tempat awam dengan tidak memakai tudung. Kedua, kita terserempak dengan teman baik kita yang telah bertahun tidak bertemu sedang berjalan berpimpin tangan dengan seorang wanita yang kita pasti bukan isterinya sepanjang  kita mengenalinya. Ketiga, kita melihat seorang kawan kita keluar dari kedai Sports Toto.

Dalam ketiga-tiga situasi tersebut, boleh saja mengundang prasangka buruk! "Apalah kakak ni, tak reti nak tutup aurat ke?', atau "Eeeii, ada perempuan simpanan pulak ke?", atau, "Eh, main toto jugak dia ni!". Agaknya macam tulah kata-kata hati kita sekiranya berdepan dengan situsi di atas.

Bagi menyeimbangkan hadis buruk sangka yang saya sebut di atas, marilah kita renungkan satu lagi hadis Nabi SAW yang mungkin boleh menenangkan perasaan kita. Sabda Nabi SAW yang bermaksud,'Kita adalah kaum yang menghukum berdasarkan zahir sahaja.'

Kefahaman saya begini, dalam situasi pertama, sekiranya kita melihat wanita Islam tidak bertudung ketika keluar rumah, maka kita patut ingkar dengan perbuatan tersebut kerana ianya jelas melanggar hukum Allah. Setelah itu kita hendaklah melaksanakan hadis mencegah kemungkaran; sekiranya kita tidak mampu menegur dan menasihatinya supaya menutup aurat kepalanya, maka hendaklah kita merasa ingkar dengan perbuatannya itu dan mendoakan supaya dia diberi petunjuk oleh Allah.
Ada juga yang berpendapat bahawa kita tidak boleh memandang rendah kepada wanita yang tidak bertudung, 'don't judge a book by its cover'! kata sebahagian mereka. Mungkin dia seorang yang baik, memelihara solat, berpuasa dan tidak mengumpat. Ya, dia mungkin baik dan beramal sewajarnya, kita tidak boleh mempertikaikannya, namun seperti kata Rasulullah SAW, kita cuma boleh menghukum berdasarkan zahir yang kita nampak sahaja. Jika sudah jelas kemungkarannya maka kita katakan yang itu haram dan berdosa, yang lainnya kita tidak tahu! Jadi tidak salah jika kita menyangka seorang wanita itu fasik sekiranya sedari muda sampai ke tua dia tidak menutup auratnya!

Saya sendiri mempunyai ramai kawan-kawan yang tidak menutup aurat sepenuhnya, namun mereka seorang yang sangat baik peribadinya dan masih mengambil berat perkara-perkara agama. Mungkin dengan kelebihan yang mereka miliki itu, sekiranya mereka diberi hidayah oleh Allah untuk menutup auratnya suatu masa nanti, dia akan menjadi lebih baik dari saya sendiri.

Dalam situasi yang kedua dan ketiga pula, jika kita lihat kawan lama kita berpegang tangan dengan seorang wanita yang bukan isterinya; hati-hati, mungkin yang itu adalah adik atau kakaknya, atau isteri kedua atau ketiga yang masih belum kita kenali, tambahan pula kita telah lama tidak bertemu dan mendengar khabar berita darinya. Maka di sini amat dilarang kita bersangka buruk dengannya. Bisikkan segala kemungkinan yang baik-baik ini kepada hati kita, agar kita jauh dari bersangka buruk terhadap teman kita itu. Begitu juga sekiranya kita melihat kenalan kita keluar dari kedai Sports Toto. Mungkin dia masuk untuk berjumpa sesiapa di dalam kedai itu. Jadi jangan mudah bersangka buruk sekiranya kita tidak begitu pasti apa yang sebenarnya berlaku. 

Kesimpulannya, dalam keadaan kita melihat seorang hamba Allah melakukan maksiat dan melanggar perintah Allah secara jelas maka hendaklah kita berperasaan benci dengan perlakuannya itu, lantaran keingkaran kepada Allah SWT. Lakukanlah yang sepatutnya bagi mengubah dan mengelakkan kemungkaran tersebut. Gunakanlah kuasa kita, atau mulut kita atau sekurang-kurangnya pasanglah niat untuk merubahnya walaupun dengan cara yang sehalus-halusnya walau pun terpaksa mengambil masa yang panjang. Manakala sekiranya kita tidak pasti samaada yang kita lihat itu adalah maksiat, maka hendaklah kita mengambil jalan yang selamat iaitu dengan mendahulukan sangka baik, dan menjauhi sangka buruk.

Pada diri kita sendiri pula hendaklah kita berusaha melindungi diri daripada sangka buruk orang lain ke atas kita. Ingatlah apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW; suatu hari Baginda SAW sedang berdua-duaan dengan isterinya dan keadaan pada masa itu gelap dan menghalang penglihatan. Tiba-tiba lalu seorang sahabat, apabila melihat Nabi bersama seorang perempuan maka sahabat itu berpaling. Lalu Nabi SAW memanggilnya dan memberitahu; "Ini isteriku". Maka kita lihat dalam hal ini Nabi telah berusaha menghalang sangkaan buruk sahabat tadi terhadapnya. 

Mudah-mudahan kita sentiasa diberi petunjuk dan hidayah oleh Allah SWT.

Sunday 28 March 2010

HAPPY BIRTHDAY BABY!


24 Mac 2010 genaplah usia Nadhila (Baby) 7 tahun. Baby yang tidak sabar-sabar lagi menunggu tarikh itu sangat gembira dengan ketibaan hari lahirnya. Dua tiga hari sebelum itu Baby telah mengingatkan saya supaya menyediakan muffin untuk guru dan rakan-rakan sekelasnya untuk diberikan pada hari tersebut. Saya cuma menyediakan cupcake pada malamnya, yang sebenarnya instant sponge cake yang saya beli di TESCO. Simple saja, cuma tambah telur dan air, kemudian bake. Itu pun sudah cukup membuat Baby berpuas hati dan tersenyum simpul...

Pada hari tersebut, pagi-pagi lagi Baby sudah bangun, tak perlu lagi didukung oleh ayah seperti hari-hari sebelumnya. Selepas menerima ciuman hari lahir dan ucapan Happy Birthday daripada ummi dan ayah, Baby terus bersiap dengan uniform sekolah, breakfast pun ala kadar sahaja, tak sabar-sabar nak pergi sekolah dan menjamu cupcake hari jadinya. 

Pulang saja dari sekolah, saya terus bertanya, macammana Baby, ok tak kek Baby, Baby seronok tak Happy Birthday kat school?' 
'Seronok.... semua kawan-kawan Baby kata yummy, yummy. Teacher pula kata, clever mum! (ehem! tima kacih).

Pada petangnya saya buat kek karot (first time cuba!). Ini pun sebagai memenuhi permintaan Baby untuk celebrate kat rumah, dengan kawan-kawan. Kebetulan saya ada usrah dengan pelajar-pelajar perempuan Sekolah Melayu Bowburn pada petang itu. Jadi, majlis hari jadi Baby diserikan dengan kehadiran anak-anak usrah saya yang juga teman-teman Baby di sini.

Begitulah kami meraikan hari ulangtahun ke-7 Baby. Walaupun tanpa majlis yang meriah tetapi saya rasa ianya sudah cukup menggembirakan Baby dan yang penting membuatkan beliau merasa dihargai dan disayangi. Pesan saya pada Baby supaya dia menunaikan solat lima waktu.  Ini kerana Rasulullah SAW mengajar kepada ibu bapa supaya menyuruh anak-anak yang berusia 7 tahun  menunaikan solat. Ibu bapa mestilah sentiasa memesan, mengingatkan dan mengajak  anak-anak menunaikan solat secara berulang-ulang di usia 7 tahun sehinggalah anak kita berusia 10 tahun.

Dalam waktu ini kita perlu mengambil kesempatan untuk melatih dan memperbetulkan solat anak-anak baik dari segi fi'li juga qauli. Latih dan didik mereka supaya melazimi solat dengan  penuh hikmah, moga-moga  apabila tiba waktunya, anak-anak kita akan dapat menunaikan solat dengan baik dan tertib.

Mudah-mudahan dengan latihan yang diterapkan oleh ibu bapa dan kefahaman yang diperolehi mengenai kepentingan solat akan menjadikan anak-anak kita sentiasa mengambil berat tentang solat dan merasa janggal untuk mencuaikannya.

Doa saya semoga puteri saya yang kedua ini akan menjadi seorang yang mantap imannya, kuat jiwanya dalam menempuh kehidupan di dunia ini. Semoga setiap kejayaan yang akan dicapai oleh Baby selepas ini adalah kejayaan yang  mendekatkannya kepada Allah SWT, dan semoga semua itu akan membawa kepada kebahagiaan dunia dan akhiratnya! Ameen.

Sunday 7 March 2010

NARCISSISTIC PERSONALITY DISORDER

Personality Disorder adalah satu subjek yang saya belajar semasa di UIA. Satu subjek yang bagus dan amat berguna untuk dipelajari kerana ianya bukan saja untuk kita menilai manusia di sekeliling kita, malah yang terlebih penting supaya kita memeriksa diri kita sendiri.

Antara yang menarik perhatian saya dalam subjek ini adalah Narcissistic Personality Disorder. Tiada keyakinan diri,  pentingkan diri sendiri, punyai ego yang tinggi dan tiada empati terhadap orang lain merupakan ciri-ciri utama bagi jenis personaliti ini. Mereka yang tergolong dalam personaliti ini adalah seorang yang takut terhadap bayang-bayang sendiri, mereka tidak dapat menerima kelemahan diri sendiri dan sentiasa berusaha menyembunyikan kelemahannya daripada dilihat dan diketahui umum. Apa yang cuba ditonjolkan adalah kehebatan dirinya sahaja (dengan kata lain suka menunjuk-nunjuk). Mereka tidak akan puas dengan apa yang mereka capai, sebaliknya akan mencari jalan melaksanakan cita-cita mereka walaupun mereka sedar bahawa mereka sedang menipu diri sendiri. Narcissist juga tidak suka ditegur kesilapan mereka, sebaliknya menganggap orang yang menegur cuma mencemburui keistimewaan dirinya  sahaja. Hidup penuh kepura-puraan, narcissist akan sentiasa mencari jalan dan berharap agar orang di sekelilingnya sentiasa kagum dan suka memujinya.

Di sini saya senaraikan antara ciri-ciri narcissistic personality;

-selfish, sangat cintakan diri sendiri (self-centered), bagi mereka diri mereka terlalu penting.
-sentiasa berada di alam fantasi, berasa memiliki kecantikan, bijak, mempunyai cinta sejati (ideal love).
-perasan bahawa dia seorang yang berkuasa dan akan mencapai kejayaan yang tinggi.
-Percaya bahawa mereka adalah seorang yang sangat istimewa dan unik, sentiasa memandang rendah
  terhadap orang lain. Oleh kerana mereka merasa bahawa mereka punya status yang tinggi maka
  hanya golongan berstatus  saja yang layak bergaul dan boleh memahami mereka.
-Sentiasa mengharapkan pujian yang berlebihan.
-Sanggup menggunakan orang lain demi mencapai kehendak dan cita-citanya. Ini tidaklah menghairankan
  kerana seorang narcissist tidak langsung mempunyai sifat empati terhadap orang lain. Dia tidak mahu
  ambil tahu dan terlibat dengan masalah orang lain. Apa yang penting hajat dan cita-citanya akan tercapai
  walaupun terpaksa memijak kepala orang lain.
-Sentiasa percaya dan merasa bahawa orang lain sangat mencemburui kehebatannya, merasakan orang
  lain irihati dan dengki dengan apa yang ada padanya.
-Suka memandang rendah, menghina dan menyalahkan orang lain.

  
Kenapa dan bagaimana personaliti ini terbentuk? Personaliti ini terbentuk melalui cara didikan yang salah oleh kedua ibu bapa. Mungkin semasa kecil ada ibu bapa yag sangat memanjakan anaknya. Anak ini sentiasa mendapat layanan special dari kedua orang tuanya, apa saja keinginannya akan dipenuhi. Dia tidak pernah merasa ketinggalan atau kecewa sepanjang zaman kanak-kanaknya. Lantaran terasa sangat istimewa, dia akan membina sifat ego, sombong dan pentingkan diri sendiri(selfish). Tidak pernah dia peduli apa yang berlaku pada orang lain, dia tidak mahu ambil tahu apa kesusahan orang lain. Seterusnya dia akan memandang rendah pada orang lain terutama yang difikirkan tidak setaraf dengannya.

Keadaan kedua apabila seorang kanak-kanak itu terlalu banyak dikritik, dimarah dan dihina samaada oleh ibu bapa atau guru-gurunya.  Dia akan sentiasa menyimpan perasaan tidak puashati dalam dirinya. Apabila melihat rakan-rakan yang lebih bernasib baik, perasaan cemburu terhadap mereka akan menghantui kehidupannya. Penderaan fizikal, spiritual dan emosi yang dialami kanak-kanak ini akan menyebabkan mereka menyimpan dendam, dan dalam masa yang sama mereka mula menanam azam untuk kelihatan hebat dan menjadi individu yang istimewa di mata orang lain. Membesar dengan kurang perhatian dan kasih sayang, dewasanya, mereka akan  menjadi seorang yang berjiwa sensitif, pendendam dan pentingkan diri sendiri.

Selain itu ada juga ibu bapa yang sering memberi tekanan kepada anak-anak untuk kepuasan diri sendiri. Selalunya situasi ini berlaku dalam keghairahan ibu bapa untuk mempunyai anak-anak yang cemerlang dalam bidang akademik. Anak-anak dipaksa belajar bukan untuk nilai ilmu tetapi untuk sebuah kejayaan dan pencapaian untuk disohorkan! Anak-anak diajar menunjuk-nunjuk dengan kelebihan diri tanpa menyedari sebenarnya ianya adalah suatu nikmat untuk disyukuri. Hasilnya anak-anak akan terikut-ikut dengan perangai ibu bapa yang senang menunjuk-nunjuk dan berbangga-bangga dengan kelebihan yang ada.

Selalunya orang yang mempunyai personaliti sebegini sangat sukar dibentuk mahupun dirawat oleh psycologist atau psiciatrist. Ini kerana sifat ego mereka yang tidak mahu bercampur dengan orang lain, sedangkan untuk terapi mereka mesti sanggup bersosial dan membuang tabiat meninggi diri dan memandang rendah kepada orang lain.

Bagi kita orang yang beriman, sepatutnya personaliti sebegini tidak seharusnya menjadi pakaian kita. Kenalah ingatkan diri selalu bahawa kita ni hamba Allah. Apa yang ada pada pada kita semua kepunyaanNya. Apa saja yang kita lakukan niat kita hanya kerana Allah. Kecantikankah, kepandaiankah, kekayaankah semua pinjaman semata dan bersifat sementara pula. Maka wajarnya kita bersyukur pada Allah atas segala nikmat yang kita terima. 

Sekiranya kita terasa ada sedikit-sedikit sifat narsissistic dalam personaliti kita maka cepat-cepatlah kita beristighfar dan minta tolong dengan Allah supaya dijauhkan daripada sifat mazmumah itu. Sentiasalah memperbanyakkan syukur kepada Allah kerana kesyukuran itu akan membawa kepada bertambahnya nikmat dan sekiranya kita dapati ada kelemahan dan kekurangan pada diri kita maka Rasulullah SAW telah mengajar kita supaya bersabar, kerana sabar itu akan membawa pahala yang banyak dan bererti untuk kehidupan di dunia dan selepasnya.

Islam juga mengajar kita supaya menghubungkan silaturrahim sesama kita dan sentiasa menjaga hati dan perasaan saudara-saudara kita. Riya', ujub, sum'ah, sombong, takbur antara sifat-sifat yang memusnahkan persaudaraan. Jika diteliti sifat-sifat ini adalah selari dengan ciri-ciri narsissistic personality disorder. Orang yang memelihara sifat-sifat ini dan menyuburkannya dalam diri akan terjerumus ke lembah kebinasaan; narcissistic personality disorder! Bukan mudah untuk memujuk diri keluar daripada dunia narcissist!

Seharusnya sebagai seorang muslim kita sedar bahawa sebagai  insan yang lemah, kita semua dibekalkan dengan sifat-sifat mahmudah juga mazmumah. Ada yang lebih sifat mahmudahnya, dan ada yang lebih sifat mazmumahnya. Oleh kerana itulah, Islam mengajarkan kita supaya sentiasa memuhasabah diri, mana-mana sifat mahmudah yang telah kita  lazimi, teruskanlah, mana-mana sifat mazmumah yang masih melingkungi kita, bermujahadahlah untuk menjauhinya. Sentiasalah berdoa agar dilindungi Allah dari sifat yang terkeji, dan dihiasi dengan sifat terpuji. Antara doa yang saya gemari adalah; Alhamdulillahillazi kama hasanat khalqi fahassin khuluqi, maksudnya; 'Segala puji bagi Allah yang telah memperindahkan kejadianku, maka perindahkanlah  akhlakku'. Doa ini dibaca ketika melihat diri di hadapan cermin.

Seterusnya, sekiranya kita dapati diri kita telah ada tanda-tanda penyakit personaliti ini maka mintalah orang yang terdekat membantu kita, memerhati dan mengawali tindakan kita. Rendahkan ego kita, ego itulah selalumya memusnahkan kehidupan dan masa depan kita di dunia dan di akhirat sana.

Kepada ibu bapa pula, awaslah dalam mendidik anak-anak. Jangan terlalu dimanjakan dan diikutkan segala kehendak anak sehingga mereka menyangka mereka akan punya apa saja di dunia. Jangan pula anak-anak dimarah, dikritik dan dihina sentiasa hingga hilang kekuatan dan rasa hibah dalam diri. Bersederhanalah. Berilah kemanjaan dan hak-hak mereka sebagai anak, asuhilah anak-anak dengan akhlak yang mulia, lazimkan kehidupan mereka dengan sunnah dan sirah Rasulullah SAW. Moga anak-anak kita akan membesar sebagai seorang sihat personaliti dan berjaya di dunia dan akhirat.