If I Had My Child to Raise Over Again by Diane Loomans

If I Had My Child to Raise Over Again by Diane Loomans
If I had my child to raise all over again,
I'd do less correcting, and more connecting,
I'd take my eyes off my watch, and watch with my eyes.
I would care to know less and know to care more.
I'd take more hikes and fly more kites.
I'd stop playing serious, and seriously play.
I'd run through more fields and gaze at more stars.
I'd do more hugging, and less tugging.
I would be firm less often, and affirm much more,
I'd build self-esteem first, and the house later.
I'd teach less about the love of power and more about the power of love.

Wednesday, 31 August 2011

PAGI RAYA

HIDANGAN


KENANGAN-KENANGAN..............









selamat hari raya, maaf zahir batin buat seluruh kaum keluarga, sanak saudara serta sahabat handai yang dikasihi, yang jauh di mata namun amat dekat di hati kami...............

SELAMAT HARI RAYA, DURHAM 2011

BERMAAF-MAAFAN.............
















SELALUNYA BERAYA DI KAMPUNG HALAMAN BERSAMA KAUM KELUARGA. PENGALAMAN BERAYA JAUH DARI SANAK SAUDARA..................

Tuesday, 30 August 2011

SERONOKNYA BERTADARUS

Sepanjang Ramadhan bertadarus bersama keluarga, sebenarnya hanya kami bertiga sahaja; saya, suami dan Iffah yang bertadarus. Jika kena masa bekerja dan saya bermalam di tempat kerja maka saya akan menghabiskan satu juzuk bersendirian dan esok sambung tadarus bagi juzuk yang berikutnya. Terasa seronoknya bertadarus kerana ada orang yang menyemak bacaan kita. Walaupun sering membaca al-Quran, namun ada sahaja kesilapan dalam bacaan terutama baris dan cara bacaan bagi tempat-tempat tertentu. Oleh kerana Iffah dan ayahnya membaca al-Quran online, maka sekiranya ketiga-tiga kami keliru dengan cara bacaan maka dengan senangnya boleh disemak bacaan qari terkemuka, hanya 'di hujung jari', semak saja bacaan qari terkemuka di Quran Explorer,  maka akan dapat cara bacaan yang pasti!

Alhamdulillah, menamatkan bacaan pada 29 Ramadhan........

EID MUBARAK 1432/30 OGOS 2011

Dalam berat hati dan hiba perasaan ini terpaksa jua melepaskan Ramadhan kali ini lantaran itulah hukum alam, pergilah anugerah ilahi buat umat manusia buat kesekian kalinya. Selamat berpisah Ramadhan, kuucapkan syukur dalam kesyahduan.....

Esok adalah Hari Kemenangan, takbir memuji kebesaran Ilahi bergema di segenap alam, moga-moga benarlah sebagai tanda kejayaan, bukan sahaja menahan lapar dahaga disiang hari, bahkan ibadah, mujahadah dari segala sifat terkeji. Semoga berpanjangan dan sebati segala latihan sebulan ini dalam diri kita umat Islam. Berakhirnya madrasah Ramadhan ini dengan melahirkan muslim yang murni jiwanya, dan kuat usaha dan cita-citanya untuk menjadi hamba yang diredhai Allah swt.



MINAL AIDIN WAL FAIZIN, KULLU A'MIN WA ANTUM BIKHAIR, TAQABBALALLAHU MINNI WA MINKUM........

Thursday, 4 August 2011

KE-3 RAMADHAN

Hari ini hari ketiga, tiga hari sudah Ramadhan berlalu......, muhasabah, apa yang telah kita isi selama tiga hari ini? Saya sendiri terasa masih sedikit amalan yang dibuat dalam masa tiga hari ini. Tadarus juzuk ketiga dalam keluarga, alhamdulillah setakat tiga hari ini kami masih istiqamah! Mudah-mudahan amalan yang secebis ini berterusan. Berzikir rasanya amat kurang sekali, memang saya lemah dalam bab berzikir. Bila teringat mulut kumat-kamit seketika, kemudian hilang dalam khayalan, terleka, sedar-sedar fikiran dah melayang ke arah lain, maklum saja cinta dunia......banyak masa ditumpu kepada urusan dunia, maka banyaklah usaha ditumpahkan untuk dunia...., astaghfirullah!

Bagi memastikan rumah dihiasi dengan al-Quran saya sentiasa membuka youtube-bacaan al-Quran oleh qari terkemuka seperti Sheikh Misyari al-Afasy, Sheikh Shuraim dan Abdul Rahman Sudais, Al-Ghamidy dll. Saya pernah terbaca bahawa air yang dibacakan ayat-ayat al-Quran, molekul-molekul air itu terbentuk dengan cantik sekali. Mungkin juga, sememangnya secara fitrahnya makhluk-makhluk Allah SWT tunduk dan taat kepada Allah. Saya fikir elok juga jika air, makanan dan seisi rumah saya dibacakan al-Quran, moga-moga berkat makanan dan minuman yang menjadi darah daging kami sekeluarga.........dan yang terpenting anak-anak mendengar halwa telinga yang terbaik!

Mujur juga anak-anak tidak tertarik dengan lagu-lagu pop masa kini, mereka tak pernah terdedah dengan perkara seumpama itu. Semenjak kecil saya cuma pasangkan 'nursery rhymes' saja untuk mereka, sampai saya sendiri pun hafal hampir keseluruhan lagu-lagu itu. Bila besar mereka beralih minat kepada kartun pula, di rumah memang jarang saya buka program nyanyian, kalau nak tengok pun masa anak-anak dah tidur, ye lah nak juga tahu siapa penyanyi popular, siapa menang AF, bak kata suami 'buat modal ceramah', saya pula 'buat modal menyapa pelajar dalam kelas!'...........Namun semenjak ke sini, saya langsung tak ambil tahu, entah siapa pulak penyanyi popular tanahair sekarang!

Berbalik kepada bulan yang mulia ini, saya berhajat untuk mentelaah al-Quran, sekali lagi youtube sangat berguna, selain dari pada membaca dari pada Quran terjemahan, saya juga mendengar tafsiran dari pada youtube. Untuk mengelak saya jemu dan hilang tumpuan, saya baca atau klik surah yang saya teringat dan ingin tahu tafsirannya, kalau saya ikut turutan dan mula dari pada al-Baqarah dan seterusnya saya akan mudah lupa. Jadi untuk mengelak perkara tersebut saya cari surah yang saya ingin tahu dan meneroka maksudnya...Cara ini saya dapati lebih baik dan berkesan bagi saya yang mudah hilang tumpuan ini.

Antara yang istimewa dan tidak dapat tidak di bulan yang mulia ini adalah perihal juadah! Kalau di Malaysia sudah maklum Pasar Ramadhan tempat tumpuan, di sini terpaksalah menyalakan api memasak sendiri. Namun rezeki dari Yang Esa tidak kurang juga. Petang ini saja kedua-dua jiran yang baik menghantar juadah-juadah yang enak untuk kami. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Ruqan, jirang berbangsa Bangladesh yang sangat baik akhlak dan agamanya, dari nasi, kuih muih, buah-buahan semua ada. Tidak lupa juga buat jiran yang berusaha Tuan Dr Azam dan Dr Lin yang sanggup  drive dari West Cresent ke Trafford Close untuk memberi kami merasa Laksa Johornya yang cukup enak itu, cucur udang tuan Dr juga boleh berkira! Jazkallah, moga Allah membalas segala kebaikan jiran-jiranku dengan kemuliaan dan kasih sayangNya.

Begitulah tiga hari di bulan mulia, moga hari keempat dan seterusnya makin baik dan bertambah amalan isi rumah ini. Selamat berusaha dan berlumba-lumba ke arah kebaikan! Fastabiqul khairat!


Wednesday, 3 August 2011

13 TAHUN...........

1 Ogos 2011, bersamaan 1 Ramadhan 1432, anak sulungku ini menginjaki usia 13 tahun. Alhamdulillah....................



Dua tahun di sini pelbagai pengalaman pahit manis yang Iffah lalui. Dua tahun berada di sini, dua buah sekolah juga yang telah Iffah hadiri. Berjaya di sekolah pertama dan cemerlang di sekolah kedua, puteri kami ini tidak pernah menghampakan. Bijak bestari dan berbudi, sememangnya anugerah Allah yang tiada taranya buat ummi dan ayah, dua bulan menjejaki Haughton Community School, berturut-turut ummi dan ayah menerima warkah-warkah pujian pihak sekolah buat Iffah, diikuti dengan penghargaan sebagai 'Gold Star Student', serta banyak lagi pencapaian selepas itu termasuklah dicalonkan sebagai 'Student of The Year', dan menjadi 'EV Star' bagi dua subjek. 
Untuk Iffah, dari ummi n ayah


Subhanallah, banyak sebenarnya nikmat Allah ke atas Iffah. Telah ummi ingatkan bahawa Allah sedang menguji Iffah, apakah Iffah seorang yang bersyukur?? Teruskan usaha Iffah untuk menjadi hamba Allah yang baik. Belajar kerana Allah, gunakan ilmu yang diperolehi untuk memikirkan kebesaran Allah. Baguskan akhlakmu, dampingilah Al-Quran, jadikan hadis-hadis Rasulullah SAW sebagi panduan hidupmu, insyaalah doa ummi dan ayah Iffah akan sentiasa berjaya dan terpelihara.

Ya Allah, rahmati dan sayangilah Iffah, kurniai dia kejayaan dan keberkatan di dunia dan akhirat...


Puteri harapan ummi dan ayah.........

Sesungguhnya diri dan jiwa Iffah adalah milik Allah SWT. Atas setiap kurniaan Allah adalah baik jadinya bagimu. Apa bila menempuh kehidupan yang berliku, berhati-hatilah, pastikan Iffah sentiasa memilih jalan menghampiri Allah SWT. Jangan sesekali merasa kecewa dan putus asa dengan ketentuan Allah SWT. Mungkin sekali Allah mendugamu, namun sentiasalah bermohon agar jangan sampai Iffah diduga dengan sesuatu yang Iffah tidak mampu. Maka selepas itu bertawakkallah, yakinlah bahawa dugaan yang Allah beri adalah sesuai buatmu.

Baby n ucai wishing kakak a 'happy birthday'


Ucai luv kakak...........

Indah kurniaan Allah, sambutan ulang tahunmu setitik dengan sambutan Ramadhan yang mulia, moga dititik ini Iffah melangkah ke 13  tahun kehidupan dengan penuh rasa tawadhuk seorang hamba, moga ibadah di bulan mulia ini akan melahirkan Iffah yang bertaqwa kepada Allah SWT. AMEEN.

IFTAR MERAI HARI JADI IFFAH
ZARA CAFE, STOCKTON




Maka yang mana satukah nikmat Tuhanmu yang kamu dustakan?

Monday, 1 August 2011

RAMADHAN KEDUA DI PERANTAUAN

Malam penuh keberkatan bermula..............kali kedua menempuh Ramadhan di bumi yang jauh, amat jauh dari ibunda tercinta dan adik-beradik yang dikasihi. Terasa sayu juga, menjalani Ramadhan kali ini, apatah lagi kali ini bukan saja jauh dari sanak saudara malah jauh juga dari kawan dan rakan Melayu seperti tahun lalu. Nampaknya tahun ini kami bertadarus dalam keluarga sahaja. Alhamdulillah baru sebentar tadi suami telah memaklumkan bahawa tadarus di rumah sehari satu juzuk, di samping bacaan individu.

Semasa usrah kaum ibu di Bowburn dua minggu lepas, telah pun dibincangkan bahawa yang terbaik adalah membaca al-Quran beserta menghayati maksudnya, itu adalah azam yang saya sematkan dalam hati. Moga diberi kekuatan dan masa oleh Allah SWT.

Puasa kali ini bermula pada pukul 3.20 pagi hingga 9.13 malam. Menjalani ibadah puasa semasa musim panas memerlukan kesabaran yang tinggi kerana waktu siang yang panjang. Waktu malam pula pendek, singkat benar waktunya, untuk makan minum, berehat, terawih, tidur dan bangun sahur. Pilihannya berjaga sehingga sahur. Nampaknya terpaksa tidur selepas subuh juga. Mungkin agak sukar jika kena dengan hari bekerja. Seawal jam 8 pagi sudah berada di tempat kerja. Namun jarang-jarang mendapat shift begitu.

Dua hari lepas saya disapa seorang rakan sekerja, pemuda berdarah campuran Cina Malaysia dan Inggeris. 'Ramadhan is coming, are you looking foward?' Tergamam saya, tak sangka pula dia ambil berat juga pasal Ramadhan, sedangkan kehidupannya penuh dengan kepura-puraan dunia! 'Yes, I can't wait!', dan dia menggeleng-gelengkan kepala tidak faham. Mungkin dia ingat Ramadhan ini satu bulan penyiksaan bagi orang Islam, lantaran dia ini sangat suka berhujah mempertikaikan itu ini dalam Islam. Kenapa perempuan Islam pakai tudung, kenapa orang Arab pakai purdah, kenapa saya tak going out (keluar berhibur malam), kenapa lelaki Islam boleh kahwin empat sedangkan perempuan tidak boleh dan macam-macam lagi soalan yang saya kena jawab untuk dia. Namun saya sangat seronok mempunyai rakan sekerja seperti ini. Sekurang-kurang nya bergerak juga minda saya walaupun saya terpaksa memerah otak bukan saja memikir jawapan tapi men'translate!'.

Hari pertama puasa bersamaan dengan hari jadi Iffah. Istimewa pula hari jadinya kali ini, disambut sekali dengan Ramadhan. Macam-macam nikmat Allah! Nabhan pula tiada bersama. Berada di Sheffield, di rumah kawannya. Seminggu ini kami akan berpuasa tanpa Nabhan, terasa sunyi pula, selalunya sebahagian tugas saya adalah mengawal Nabhan. Dari bangun tidur saya terpaksa memberi arahan; mandi, gosok gigi, solat, mengaji, baca buku, jangan bergaduh, bla,bla,bla......... Moga dia dapat mengawal diri sendiri di rumah orang.

Nadhila pula telah berjanji untuk berpuasa. Saya sudah tanya dia tadi, kenapa mesti puasa? jawabnya sebab Baby nak rasa macam mana orang susah, tak dapat makan. Kalau tak Baby jadi orang tamak..., saya kata yang pertama kena tahu bahawa puasa itu suruhan Allah, jadi kita puasa sebab taatkan Allah! Lain kali boleh sambung 'lecture' lagi. Saya tak paksa dia puasa, cuma digalakkan mencuba sekadar terdaya, masih lagi dalam proses tarbiyah. Kena difahamkan cara dan hikmah puasa. Jangan berpuasa sekadar adat sahaja!

Begitulah permulaan Ramadhan bagi keluarga kami tahun ini. Harapan menggunung bahawa madrasah Ramadhan kali ini dapat menjadikan ahli usrah kami sebagai hamba yang diredhai Allah. Moga dilapangkan jalan ketaatan bagi kami semua dan ditutup jalan keingkaran, Ya Allah permudahkan kami dengan ketaatan dan halangi kami dari kemaksiatan. Selamat membersihkan diri wahai ummat, moga keluarnya kita  dari madrasah ini sebagaimana keluarnya seorang bayi ke dunia ini...............