If I Had My Child to Raise Over Again by Diane Loomans

If I Had My Child to Raise Over Again by Diane Loomans
If I had my child to raise all over again,
I'd do less correcting, and more connecting,
I'd take my eyes off my watch, and watch with my eyes.
I would care to know less and know to care more.
I'd take more hikes and fly more kites.
I'd stop playing serious, and seriously play.
I'd run through more fields and gaze at more stars.
I'd do more hugging, and less tugging.
I would be firm less often, and affirm much more,
I'd build self-esteem first, and the house later.
I'd teach less about the love of power and more about the power of love.

Tuesday 21 June 2011

FATIMAH AZ-ZAHRA' - dari blog fatimah syarha, sebarkan bahagia

Lahirnya Si Puteri Bongsu
            Saat Ummul Qura (Makkah) menyaksikan orang-orang Quraisy membaiki Kaabah, lahirlah puteri bongsu Rasulullah SAW. 5 tahun sebelum kenabian. Beliau sangat mirip dengan ayahandanya yang mulia. Disusui sendiri oleh bondanya. Tatkala masyarakat jahiliyah malu besar setiap kali menerima berita lahirnya anak perempuan, namun Rasulullah SAW sangat gembira dengan kelahiran puterinya. Mencintai dan menyayanginya dengan penuh tulus.

            Didikan di Rumah Kenabian
            Sekolahnya di rumah kenabian. Berguru langsung dengan penghulu segala murabbi, seorang Nabi. Daripada kecil sehinggalah menginjak remaja, beliau sentiasa menjadi yang terbaik. Sumber rujukannya adalah sumber yang terbaik. Ayahnya insan terbaik. Ibunya wanita terbaik. Mengalir daripada asuhan ibu bapa yang agung.

            “Ibu Ayahnya”
            Ketika masyarakat jahiliyah hidup dalam lumpur kejahatan yang hina, menyembah patung, mabuk arak, membunuh anak perempuan, namun Fatimah menyaksikan ayahnya tetap bersih terpelihara. Fitrah insan bencikan kejahatan. Apabila terbit sinar Islam menerangi tanah Arab dengan terutusnya Nabi akhir zaman, maka Fatimah tidak teragak-agak menyertai ibunya untuk menjadi generasi yang pertama beriman.
Kewafatan bonda tercinta, Khadijah al-Khuwailid, menyebabkan remaja puteri itu berperanan mengambil alih tugas ibunya. Apatah lagi kakak-kakaknya Zainab, Ruqayyah dan Ummu Kalthum sudah berumah-tangga. Perjuangan ayahnya didokong habis-habisan. Kematangannya terserlah hinggakan para sahabat menggelarkannya, “Ibu ayahnya.” (Rujuk Nisaa ahlil bait, 533-534).
Imam Zarqani berkata, “Sehingga, tidak diperlukan pernyataan khusus untuk membuktikan bahawa mereka adalah generasi pertama yang memeluk Islam, kerana mereka tumbuh dalam bimbingan kedua orang tua yang penuh kasih sayang dan akhlak mulia. Dari ayahnya, Fatimah belajar semua akhlak mulia. Dari ibunya, Fatimah belajar kejernihan fikiran yang tidak dimiliki wanita lain.”

Berani Membela Nabi
Ibnu Ishaq berkata, “Orang-orang Quraisy benar-benar memusuhi Rasulullah dan orang-orang yang memeluk Islam. Mereka tidak henti-henti mendustakan Rasulullah, mengganggu dan melemparinya dengan batu. Mereka juga mengejek baginda sebagai tukang sihir, bomoh dan orang gila. Namun Rasulullah tetap menyebarkan kebenaran.” (Rujuk Sirah Ibnu Hisyam 1/238).
Abdullah bin Umar berkata, “Ketika Rasulullah SAW berada di halaman Kaabah, Uqbah bin Abu Mu’ith mendekati dan menarik bahu Rasullah SAW. Dicekik leher Rasulullah SAW dengan selendangnya. Abu Bakar datang lalu menarik bahu Uqbah supaya ia menjauh daripada Rasulullah SAW.” (Rujuk HR Bukhari, 3856).
Saidina Ali r.a. berkata, “Demi Allah tidak seorang pun dari kami yang berani mendekat kecuali Abu Bakar. Beliau menghalau orang-orang Quraisy itu dan menjauhkan daripada Baginda. (Rujuk Ghafir: 28).
Selain Saidina Abu Bakar r.a., Fatimah r.ha. tidak berpeluk tubuh tatkala melihat ayahnya diganggu dan dianiaya. Suatu kisah menyayat hati diceritakan oleh Abdullah Ibnu Mas’ud, saat Rasulullah SAW sedang solat berdekatan Kaabah, Abu Jahal dan teman-temannya duduk berhampiran. Mereka saling mencabar,
“Siapa yang berani meletakkan najis unta di punggung Muhammad saat dia sujud?” Maka bergegaslah orang yang paling sengsara di antara mereka iaitu Uqbah bin Abu Mu’ith. (Rujuk Bukhari, 3186 dan Muslim 1794.)
Mereka ketawa berdekah-dekah. Rasulullah SAW tetap bersujud. Tiada siapa berani membela  saat itu sehinggalah Fatimah r.ha. dengan beraninya datang membuang najis unta. 

            Rela Menahan Lapar, Iman Tidak Pudar
            Tragedi pemulauan kaum muslimin amat menguji iman. Ketika itu kebencian kaum kafir Quraisy terhadap Rasulullah SAW kian memuncak. Sejarawan Suhaili merekodkan: 
Jika ada rombongan pedagang datang ke Kota Makkah, beberapa orang Islam pergi ke pasar Makkah untuk membeli makanan buat ahli keluarga mereka. Namun Abu Lahab berkata dengan suara lantang, 
“Wahai para pedagang, jika teman-teman Muhammad ingin membeli sesuatu, berikan harga yang sangat mahal agar mereka tidak dapat membelinya. Jangan takut tidak laku, aku yang akan membeli barang dagangan kalian.”
Lalu para pedagang itu menaikkan harga sangat tinggi. Orang-orang Islam pun tidak mampu membeli. Mereka tidak memperolehi makanan dan pakaian.
            3 tahun orang-orang Islam melalui hari-hari yang penuh kelaparan di perbukitan. Fatimah r.ha. sabar dan teguh melalui kesulitan tempoh itu. Namun, parahnya ujian kelaparan membuatkan Fatimah r.ha jatuh sakit. Bondanya juga tenat menahan sakit.
            Sakit Fatimah belum pulih, bondanya pula dijemput Ilahi. Kesedihan bertali arus. Gadis tabah itu tidak tenggelam dalam emosi. Beliau menggagahkan diri untuk terus bangkit mendokong perjuangan ayahanda tercinta habis-habisan.

            Mengagumi Keberanian Ali r.a.
            Penyiksaan demi penyiksaan makin tidak kenal belas kasihan. Selepas beberapa siri penghijrahan, akhirnya Rasulullah SAW memerintahkan kaum muslimin berhijrah ke Madinah. Baginda menyusul kemudian, ditemani oleh Saidina Abu Bakar r.a.  Peristiwa hijrah yang agung itu diatur dengan penuh strategi.
Fatimah r.ha tidak dapat melupakan keberanian Saidina Ali r.a. menggantikan tempat tidur ayahandanya. Peranan yang sangat penting dalam strategi hijrah kerana taruhannya adalah nyawa. Allah SWT juga tidak melupakan keberanian Saidina Ali r.a. menggantikan tempat tidur Nabi hingga menganugerahkan Fatimah r.ha. sebagai teman tidur hidupnya. Alangkah bertuahnya Ali.

                Pernikahan yang Barakah
            Di dalam buku Raudhatul Muhibbin wanuzhatul Musytaqin, karangan Ibnul Qayyim al-Jauziyah menyebut, puteri Nabi, Fatimah az-Zahra pernah dipinang oleh Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar namun kedua-duanya ditolak oleh Rasulullah SAW. Kenapa ya? Rupa-rupanya, Rasulullah SAW tidak mahu semua puterinya dimadukan.
            Pada tahun ke-2 hijrah, Saidina Ali r.a. menikahi Fatimah r.ha. Pernikahan barakah ini berlangsung setelah perang Badar. Demi memiliki cinta penghulu bidadari syurga, Saidina Ali r.a. menjual sebahagian barang miliknya termasuk peralatan perang. Semuanya bernilai  480 dirham.
Daripada jumlah itu, Rasulullah menyuruh menggunakan 2/3 daripadanya untuk membeli wangi-wangian dan 1/3 daripadanya untuk membeli pakaian. Rasulullah memasukkan wangi-wangian itu ke dalam bekas mandi dan menyuruh pengantin mandi dengan air itu.
            Fatimah r.ha rela malah bahagia dinikahi oleh Saidina Ali r.a. meskipun  hidup miskin. Biarpun maharnya rendah, dihadiahkan pula mahar itu kepada suami tercinta. Berpindahlah pengantin baru ke rumah suaminya yang tidak memiliki perabot.  Rumah yang sangat sederhana. Hanya terdapat kulit biri-biri sebagai alas tidur, bantal berisi serabut tamar, penggiling gandum, ayakan dan sekantung susu. Letak rumah itu pula jauh daripada rumah Rasulullah SAW. (Rujuk Nisa’ Mubassirat bil Jannah: 209).
Rasulullah SAW berperanan sebagai mentua terbaik apabila memberikan nasihat yang panjang sebelum meninggalkan anak menantunya mengharungi bahtera rumah tangga bersama. Didekatkan pula anak menantu dengan keluarga baginda apabila memindahkan mereka berdekatan dengan rumah baginda iaitu di salah sebuah rumah pemberian Haritsah r.a. (Rujuk Suwar min hayatis sahabah, 40)
Rumah tangga suaminya diuruskan sendiri. Terserlah peribadinya sebagai seorang wanita yang sabar, taat beragama, baik, menjaga kehormatan, qana’ah dan sentiasa bersyukur kepada Allah SWT. (Rujuk al-Siyar: 2/119).

Zikir Fatimah
Kelelahan menguruskan tugas rumah tangga seharian, mendidik anak-anak, ditambah pula dengan tugas-tugas dakwah menyebabkan Fatimah r.ha teringin mempunyai seorang pembantu. Lagipun, kebetulan pada masa itu Islam mempunyai banyak tawanan perang.
Kelelahan Fatimah r.ha. bukan sedikit. Jika pada zaman ini, kita hanya perlu ke kedai untuk membeli sebuku roti namun Fatimah r.ha. perlu menggilingnya daripada biji-biji gandum, mengayak, mengadun dan membakarnya sendiri.
Dipendamkan dahulu niat memiliki pembantu biarpun beberapa kali menziarahi Rasulullah SAW kerana sangat pemalu untuk meminta daripada ayahandanya. Begitu juga suaminya. Namun lantaran berat beban ditanggung, Fatimah r.ha terpaksa meluahkan keperluannya itu pada suatu hari. 
Kebetulan, kaum muslimin mempunyai beberapa orang tawanan perang yang boleh dijadikan hamba atau pembantu. Fatimah r.ha memohon salah seorang daripadanya. Permintaan itu tidak dikabulkan oleh Rasulullah.
Hal ini bukan kerana tidak elok memiliki pembantu rumah kerana semua isteri Rasulullahpun mempunyai pembantu rumah. Namun, selaku pemimpin yang adil, Rasulullah SAW lebih mengutamakan untuk memberi makan kepada golongan suffah (golongan merempat yang menumpang tinggal di masjid) dengan duit hasil jualan para tawanan tersebut. Fatimah r.ha. dan suaminya pulang dengan redha.
Tidak lama kemudian, Rasulullah SAW pula datang ke rumah puterinya. Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa Baginda bersabda,
“Mahukah ayah ajarkan kepadamu sesuatu yang lebih baik daripada apa yang diminta? Jika hendak tidur, bacalah takbir 34 kali, tasbih 33 kali, tahmid 33 kali. Ini lebih baik daripada seorang pembantu.” Lalu, zikir ini terus menemani hayat Fatimah r.ha. Beliau dan suaminya memilih hidup zuhud dan sangat sederhana. (Rujuk Nisa’ Ahlil Bait: 550).

Membuktikan Wanita Berhak Mengizinkan atau Minta Dibebaskan Jika Suaminya Ingin Berpoligami
            Suatu hari Saidina Ali r.a. dipinang oleh Abu Jahal untuk puterinya. Hal itu amat menyakitkan Fatimah r.ha. Apabila diadukan kepada ayahandanya, ternyata Rasulullah SAW juga terasa disakiti dengan apa yang menyakitkan puterinya. Baginda berdiri lalu berpidato, “Aku telah nikahkan Abu Ash bin Rabi’. Dia berkata kepadaku dengan jujur. Fatimah binti Muhammad adalah sebahagian daripadaku. Aku tidak suka orang-orang menyakitinya. Demi Allah, tidak akan berkumpul puteri utusan Allah dengan puteri musuh Allah pada seorang lelaki.”
Mishwar bin Makhramah pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda di atas mimbar, “Bani Hasyim bin Mughirah memintaku merestui pernikahan  puteri mereka dengan Ali bin Abi Thalib.  Aku tidak izinkan, dan aku tidak izinkan. Kecuali jika Ali menceraikan puteriku dan menikahi puteri mereka. Puteriku adalah bahagian daripadaku. Apa yang membuatnya gelisah juga membuatku gelisah, dan apa yang menyakitinya juga menyakitiku.” (Rujuk HR Muslim, 2449). Maka Ali r.a. menolak pinangan Abu Jahal.
            Imam Nawawi berkata, dari hadis ini para ulama mengambil kesimpulan, “Tidak boleh menyakiti Rasulullah SAW walaupun pada perkara yang harus. Seperti peristiwa di atas, perkahwinan puteri Abu Jahal dengan Ali sebenarnya harus dilakukan tetapi Rasulullah SAW melarangnya dengan dua alasan: 1. Pernikahan itu akan menyakiti Fatimah, dan itu menyakiti Rasulullah. 2. Khawatir terjadi hal-hal yang tidak baik pada Fatimah yang timbul dari rasa cemburu.” (Rujuk Syarhun Nawawi: 16/4).
Imam Bukhari RA berkata (hadis 5230): Qutaibah meriwayatkan kepada kami dari Laits dari Ibnu Abi Mulaikah dari Miswar ibn Makhramah dia berkata, saya mendengarkan Rasulullah SAW bersabda dari atas mimbar, "Sesungguhnya Bani Hisyam ibn Mughirah meminta izin untuk menikahkan puteri mereka dengan Ali ibn Abu Talib, maka aku tidak mengizinkan, kemudian aku tidak mengizinkan, kemudian aku tidak mengizinkan. Kecuali putera Abu Talib ingin menceraikan puteriku dan menikah dengan puteri mereka. Kerana dia adalah darah dagingku, membuat aku sedih apa yang menyedihkannya dan menyakitiku apa yang menyakitinya."[1] 
Ulama-ulama memberikan beberapa tafsiran terhadap hadis ini sebagaimana dipetik dalam kitab syarah hadis Bukhari yang paling terkenal iaiatu Fathul Bari 86/7,  karangan Ibnu Hajar al-Asqalani. Antara tafsirannya ialah:
1.      Puteri Abu Jahal tidak layak bersama Fatimah dalam satu darjat sebagai madu.
2.      Difahami daripada konteks kisah ini Rasulullah telah mensyaratkan kepada Ali supaya tidak memadukan Fatimah r.ha. Rasulullah SAW menyebut menantunya yang lain telah menunaikan janji mereka. Jelas sekali bahawa menantu yang lain memenuhi satu syarat iaitu tidak memadukan puteri Rasulullah sebagaimana Rasulullah SAW bersabda, “Dia berkata kepadaku, dia jujur kepadaku, dia berjanji kepadaku maka dia memenuhi janjinya.” Berkata al-Hafiz Ibnu Hajar, “Dia berkata kepadaku, dia jujur kepadaku.” Ia seperti syarat ke atas dirinya supaya tidak memadukan Zainab. Begitu juga Ali r.ha., jika dia tidak berbuat begitu juga (memenuhi syarat itu) ia mungkin lupa pada syarat itu, maka didatangkanlah dalam khutbah (untuk mengingatkannya). Ataupun mungkin tidak berlaku pun syarat seandainya tidak dijelaskan bahawa itu suatu syarat, tetapi menjadi kemestian ke atasnya meraikan ketetapan ini. Oleh sebab itulah berlakunya cercaan (ke atas kesalahannya supaya dibetulkan).
3.      Meraikan hak Fatimah r.ha. Dia ketiadaan ibu dan kakak sebagai tempat bergantung, penghilang kesedihan dan menjadi peneman. Dia kehilangan ibu kemudian kakak-kakaknya seorang demi seorang, dan tidak tinggal seorangpun yang dapat ia bermanja dan dapat menjadi peringan beban masalahnya jika nanti dia cemburu.
Realiti hari ini, masih wujudkah bapa sewibawa Rasulullah SAW dalam memahami dan membela rasa hati puterinya?

            Setiap Yang Berhak Boleh Menyuarakan Haknya
            Setelah kewafatan ayahandanya, Rasulullah SAW, Fatimah r.ha meminta daripada Abu Bakar r.a. sebahagian harta warisan Nabi.  Walaupun Rasulullah telah mengkhabarkan awal-awal kepadanya bahawa usianya paling dekat menyusuli kematian baginda namun hak tetap hak.  Fatimah masih menuntutnya walaupun tahu beliau sudah dekat hendak mati.
Abu Bakar menegaskan bahawa, Rasulullah SAW pernah bersabda, “Kami para Nabi tidak mewariskan harta. Apa yang ditinggalkan adalah untuk disedekahkan.” (Rujuk HR Bukhari).
Abu Bakar berpegang dengan hujah ini. Manakala Fatimah juga mempunyai hujahnya yang tersendiri. Kedua-duanya  dalam daerah pahala kerana mempertahankan sesuatu dengan hujah yang benar bukan mengikut nafsu. Perbezaan pendapat itu lumrah. Fatimah al-Zahra tetap lantang menyuarakan haknya kepada Abu Bakar untuk mewarisi sebidang tanah.
            Ketika Fatimah r.ha jatuh sakit, tidak lama selepas kewafatan ayahandanya, Abu Bakar datang meminta redhanya sehingga Fatimah meredhainya. (Ibnu Hajar menyebutkan hadis ini  yang disandarkan ke Baihaqi yang berkata, “Meskipun hadis ini mursal, tapi sanadnya ke Sya’bi tetap sahih. (Fathul Bari: 6/139).”
            Teladan  kita ini menunjukkan  contoh bahawa walaupun dalam Islam, menunaikan tanggung jawab lebih utama daripada menuntut hak, tapi, itu tidak bermakna Islam menghalang menyuarakan hak. Maka, berlumba-lumbalah kita menunaikan tanggung jawab. Dalam masa yang sama, menghargai  hak kita dan menghormati sesiapa yang menuntut haknya.

Perginya Bunga Agama
            Pada hari Selasa, 3 Ramadhan tahun ke-11 Hijriah, selepas enam bulan kewafatan Rasulullah SAW, Fatimah r.ha pulang ke rahmatullah dengan tenang dan bahagia. Suaminya mengalirkan air mata. Begitu juga anak-anaknya yang amat mencintainya, Hassan, Hussain,  Zainab dan Ummu Kulthum. (Ada riwayat mengatakan puteri-puterinya bernama Zainab al-Kubra dan Zainab al-Asghar).
Umat Islam membanjiri Masjid Nabawi. Solat jenazah dipimpin oleh Saidina Ali r.a. dan kali kedua dipimpin oleh Abbas bin Abdul Mutallib r.a. Bunga agama itu lalu dimakamkan di perkuburan Baqi’ bersebelahan dengan makam saudara-saudaranya, Zainab r.a., Ruqayyah r.a. dan Ummu Kalthum r.a. (Rujuk Nisa’ Ahlul Bait: 601-603).



[1] Hadis sahih dan diriwayatkan oleh Imam Muslim (2449), Abu Daud (2071), Turmudzi, Ibnu Majah (1998), Nasa`i di dalam al-Fadhâ`il (265) dan di dalam al-Khashâ`ish (130), dan Imam Ahmad (4/328), dan di dalam kitab Fadhâ`il al-Sahabat (Keutamaan Sahabat) (1328).

Saturday 18 June 2011

TITIPAN CINTA

Definisi cinta:

Fitrah tanpa peraturan boleh menjadi fitnah, tetapi dengan peraturan boleh menjadi anugerah. Cinta ialah kecenderungan terhadap sesuatu. Terdapat lebih 60 istilah yang dikaitkan dengan pengertian cinta tetapi kebanyakkannya salah difahami dan diertikan. Terdapat beberapa pengertian yang ingin dikongsi:

1. al-Hawa – dizahirkan melalui kecenderungan seks. Perasaan cinta diluahkan melalui penghantaran gambar-gambar lucah kepada pasangan, perbualan-perbualan yang berbaur seks dan sebagainya.

2. as-Sobwah – rindu yang cenderung kepada kebodohan. Perasaan cinta yang menyebabkan pelakunya akan membuat sesuatu yang aneh pada pandangan khalayak. Misalnya, tersenyum seorang diri, peluk bantal golek etc.

3. at-Taqayyum – cinta ke tahap sanggup menghambakan diri. Perasaan cinta yang membuatkan pelakunya sanggup untuk menghambakan diri kepada pasangannya, walaupun segala permintaan oleh pasangannya itu tidak masuk akal.

4. al-Isyq – cinta yang terlalu asyik. Cinta seperti ini menyebabkan pengamalnya tidak boleh lekang antara satu sama lain, walaupun untuk seketika waktu. Mesti perlu untuk sentiasa berhubungan, melalui SMS, call dan sebagainya. Jika tidak, pasti akan merajuk.

5. al-Junun – cinta hingga menyebabkan seseorang itu menjadi gila dan hilang pertimbangan akal. Cinta seperti ini akan menyebabkan seseorang itu sanggup untuk menerima lelaki atau perempuan yang dicintainya walaupun sudah mengetahui bahawa pasangannya itu memiliki akhlak yang tidak baik, HIV ataupun sudah hilang kehormatan diri.

Cinta bukan sahaja diuji kepada orang-orang biasa, tetapi juga diuji kepada Rasul, Nabi, sahabat dan orang-orang yang soleh. Disebutkan dalam sebuah kisah antara Fatimah binti Muhammad dengan Ali bin Abi Talib pada malam pertama perkahwinan mereka. Fatimah telah memberitahu Ali bahawa dia pernah mencintai seorang lelaki sebelum perkahwinan mereka. Ali berasa terkejut dan bertanyakan kepada Fatimah siapakah lelaki itu, dengan perasaan cemburu membuak-buak dalam diri Saidina Ali. Alangkah leganya hati Ali apabila lelaki yang dimaksudkan Fatimah ialah Saidina Ali bin Abi Talib sendiri. Cinta akan memulakan komitmen yang seterusnya akan menyebabkan seseorang itu bersedia untuk berkhidmat walaupun tidak diminta. Sudah menjadi fitrah bahawa Allah telah menciptakan manusia untuk cinta akan syahwat, cinta terhadap sesuatu yang akan menaikkan keinginan. Misalnya, cinta terhadap kaum wanita.

Adakah cinta sebelum kahwin dalam Islam?

Perasaan suka dan cinta terhadap seseorang ialah suatu perkara yang biasa. Hukum perhubungan antara seseorang lelaki atau perempuan dengan seseorang lain yang berlainan jantina jatuh berdasarkan matlamat hubungan tersebut. Matlamat cinta ialah perkahwinan. Perlakuan pada hari ini akan menentukan apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Luahan cinta perlu dilafazkan dengan cara yang sepatutnya supaya situasi seperti ini akan menjadi kebiasaan. Jika tidak, seluruh keturunan akan melakukan sama seperti apa yang kita lakukan pada hari ini. Sudah pasti kita tidak mahu anak-anak kita menjadi mangsa cinta pada masa hadapan. Sesungguhnya, seorang bapa diamanahkan oleh Allah untuk menjaga anak-anaknya daripada neraka akhirat dan neraka dunia.



Nasihat kepada muslimah untuk menjauhkan diri daripada cinta buaya penyayang? 
Muslimah memerlukan kekuatan untuk menjauhkan diri daripada cinta jenis ini. Antara kekuatan-kekuatan tersebut ialah: 

1. Kekuatan al-Fahmi – kekuatan untuk memahami asal perhubungan antara lelaki dengan perempuan. Asal hubungan lelaki dengan perempuan adalah haram, tetapi disebabkan adanya urusan atau muamalat, hubungan lelaki dan perempuan itu menjadi harus. Darurat itu diukur pada kadarnya. Jangan kita sekali-kali menilai sesuatu perhubungan itu dengan istilah hubungan tersebut seperti ‘islamic love’ dan sebagainya. 

2. Kekuatan ikhlas – Ikhlas kerana Allah. Kekuatan ikhlas sangat-sangat penting, takut-takut kita dijauhkan oleh Allah akan hidayah-Nya. 

3. Kekuatan untuk menutup pintu fitnah – Berkomunikasi antara lelaki dengan perempuan adalah harus, tetapi perlu diawasi supaya tidak terjatuh kepada fitnah. Fitnah merupakan jalan pertama yang mendorong kepada zina. 

4. Kekuatan prinsip – Ummu Hanik menolak pinangan Rasulullah sebanyak 3 kali kerana prinsip beliau yang tidak mahu dipoligamikan. Ummu Hanik menolak untuk dipoligamikan kerana beliau tidak mahu perasaan cemburu terhadap isteri-isterinya yang lain menjadi punca agama beliau rosak dan akhirnya membawanya ke neraka. Walaupun pinangan Nabi Muhammad ditolak, Baginda tidak menggunakan kuasa yang ada padanya untuk memaksa Ummu Hanik untuk berkahwin dengannya. Ingat, dalam perkahwinan tidak ada pemaksaan. Peringatan juga bagi lelaki yang mahu berpoligami, poligami bukanlah untuk memuaskan nafsu, tetapi untuk memikul tanggungjawab. Buktinya, Nabi berpoligami selama 10 tahun sahaja tetapi bermonogami selama 25 tahun. Selama tempoh monogaminya, kehidupan Muhammad dengan Khadijah sangat tenang dan bahagia tetapi sedikit bergolak ketika baginda berpoligami. 

Kenapa lelaki lebih mudah terjerat dengan mabuk cinta? 

‘Coupling’ sudah menjadi satu budaya. Lelaki atau perempuan yang tidak ber-couple akan dianggap kolot oleh rakan-rakan. Namun ingat, cinta yang sejati perlu dilafazkan di hadapan kedua-dua ibu dan bapa pihak perempuan. Kalimah aku terima nikahnya di hadapan wali si perempuan ialah lafaz cinta yang sebenar (a true and real love confession). Kahwin bukan untuk melunaskan naluri semulajadi semata-mata. Kerana kita adalah manusia dan bukannya binatang. Keseronokan bersama isteri atau suami hanyalah sementara, tetapi tanggungjawab dan amanah dipikul sepanjang hayat. 

Bagaimana benarkah pepatah arab, perhiasan bagi lelaki ialah adab manakala perhiasan bagi perempuan ialah sifat malu dalam kehidupan? 

Adab-adab yang ditunjukkan oleh Rasulullah perlu diikut dan dijadikan teladan. Si lelaki mesti memuliakan wali si perempuan sebelum mendapatkan cintanya. Bagi muslimah, jadilah wanita solehah yang permintaannya tinggi (high-demanded) di akhirat dan juga di dunia. 

Kedua, jangan jadi gedik. Jadilah wanita yang jual mahal kerana lelaki sudah fitrahnya sememangnya suka akan cabaran. Barang yang mudah didapati akhirnya juga akan mudah dipersia-siakan. Seterusnya, kalau di hati sudah ada perasaan minat terhadap mana-mana lelaki, lafaz cinta tersebut boleh dibuat tetapi mestilah melalui perantaraan. Akhir sekali,kalau sudahpun ada couple, ayuhlah kembali kepada Allah. Kurangkan contact dengan lelaki tersebut, seterusnya berhenti buat sementara. Kuarantinkan hubungan cinta tersebut dahulu. Sebaliknya, pihak lelaki mestilah memuliakan si wali perempuan tersebut. 

Bagaimanakah caranya jika seseorang muslimah solehah itu ingan membimbing seseorang lelaki yang bercita-cita untuk menjadi lelaki yang soleh? 

Hukumnya harus. Tetapi mesti berwaspada, takut-takut niat sebenar lelaki tersebut bukanlah untuk menjadi lelaki yang baik, tetapi untuk mendekati hati dan cinta perempuan tersebut. 

Bagaimanakah untuk berkahwin awal, sedangkan terdapat halangan daripada kedua-dua ibu bapa? 

Apabila kedua-dua ibu bapa sudah yakin bahawa kita sudah benar-benar sedia untuk mendirikan rumahtangga, maka kuasa untuk menentukan kita berkahwin sebenarnya sudah terletak pada tangan kita. Kita perlu meyakinkan ibu bapa bahawa kita sudah matured dan bersedia untuk berkahwin. Sekiranya kedua-dua ibu bapa tidak juga berasa yakin dengan kita, maka gunakanlah alternatif lain, seperti menggunakan orang tengah sepert saudara-saudara terdekat, pensyarah, rakan-rakan atau orang-orang yang lebih berpengalaman untuk meyakinkan kedua-dua ibu bapa. 

Sebagai kesimpulan, asas-asas di dalam diri perlu diperbaiki terlebih dahulu. Aset iman, akhlak dan adab perlu dijaga dengan baik. Manusia memerlukan cinta kerana yakin bahawa dengan adanya cinta, cinta akan membawa kebahagiaan dan keindahan. Namun ingat cinta dengan maksiat tidak membawa keindahan tetapi membawa kemurkaan Allah swt. Apa yang Allah haramkan semasa kita hidup ini adalah sangat-sangat singkat dan sekejap, berbanding dengan perkara-perkara yang Allah halalkan di syurga, yang tiada batas masanya. Cinta yang kita ada pada hari ini, biarkanlah ia kekal hingga ke syurga. 

“Masuklah kamu ke dalam syurga, kamu dan pasanganmu akan digembirakan”
-Surah az-Zukhruf:ayat 70



dipetik dr:
http://kaizer21.blogspot.com/2011/02/pertama-kali-bertentang-mata-dengan-kak_12.html



Monday 13 June 2011

ISTIBRA'

Istibra' adalah cara yang diajarkan oleh Rasulullah saw untuk menghentikan pengaliran air kencing atau menghabiskan kencing ketika membuang air kecil. Cara yang diajar ketika saya belajar dahulu adalah dengan berdehem-dehem atau bangun dan duduk kembali. Istibra' dituntut kepada lelaki sahaja, sementara bagi perempuan cukuplah dengan menunggu seketika sebelum beristinjak atau menekan kawasan ari-ari selepas berhenti pengaliran air kencing. Itupun sekiranya kita rasa perlu untuk berbuat demikian. 


Apa bila saya menghantar Nusair ke tandas saya akan ajar dia berdehem, maka saya dapati  sisa-sisa air kencingnya menitik-nitik. Dia pun sudah faham dan tahu bagaimana melakukannya. Saya rasa amat penting diajarkan kepada anak-anak lelaki mengenai istibra' ini memandangkan ramai di kalangan kaum lelaki yang mempunyai masalah pundi kencing, kencing tak lawas dan sebagainya.


Apa yang terlebih penting adalah kebersihan untuk menunaikan solat. Sekiranya kita bewudhuk dan selepas itu masih keluar sisa-sisa air kencing maka batallah wudhuk dan seterusnya terbatal solat. Terutama ketika rukuk atau sujud, lebih senang terkeluar sisa kencing sekiranya kita menghadapi masalah kencing tidak habis ini.


Dalam satu hadis Nabi saw bersabda yabg bermaksud; 


“Bersihkanlah kemaluan kamu daripada air kencing, kerana  kebanyakan azab kubur berpunca daripadanya”. 


Hadis ini disokong oleh satu hadis yang lain yang seirama dengannya;


"Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma dia berkata: Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melalui salah satu tembok dari tembok-tembok Madinah atau Makkah, lalu Baginda mendengar suara dua orang manusia yang sedang disiksa di dalam kuburnya. Nabi bersabda: “Dua orang sedang disiksa dan keduanya tidak disiksa kerana dosa besar. Kemudian Baginda bersabda: Ya, yang seorang tidak beristibra‘ dengan sebersih-bersihnya daripada kencingnya dan yang seorang lagi berjalan dengan mengadu domba. Kemudian Baginda minta diambilkan pelepah kurma yang basah, lalu dibelah menjadi dua dan Baginda letakkan pada masing-masing kuburan itu satu belahan. Lalu dikatakan: Wahai Rasulullah, kenapakah engkau perbuat ini? Baginda bersabda: Mudah-mudahan keduanya diringankan selama dua belah kurma itu belum kering atau sehinggalah ia kering”.


Kedua-dua hadis ini menunjukkan bahwa Nabi saw menekankan kepentingan beristibra', walaupun kesan tidak beristibra' itu merupakan dosa kecil, namun akibatnya adalah besar iaitu terbatalnya solat.


Lakukan solat dalam keadaan bersih. Gambar: Masjid Edinburgh....



Namun dalam masalah ini kita mestilah berhati-hati dan tidak terperangkap dengan was-was syaitan. Hendaklah besikap tegas terhadap diri sendiri, sekiranya kita telah melakukan istibra' hendaklah yakin bahawa diri kita telah bersih sebagaimana kata Imam Al-Ghazali: 


“Jangan terlalu banyak berfikir dalam perkara hendak melakukan 'istibra‘ sehingga menimbulkan was-was dan menyusahkan”. 


Memang kekadang penyakit was-was ini mudah sahaja hinggap dan meracuni jiwa dan fikiran kita. Lakukan yang diperintahkan dan jangan terlalu obses sehingga menyusahkan!


Seorang pelajar saya hampir separuh gila bila dia terikut-ikut dengan perasaan was-wasnya. Oleh itu sentiasa bersederhana dan fokus dalam apa jua amalan kita, dan lakukan segala ibadah dengan yakin...alyaqin yazulluzzan...yakin itu menghilangkan zan(perasangka). wallahua'lam.




Thursday 9 June 2011

BERKHEMAH DI VALE OF PICKERING

Minggu lepas kami 5 keluarga; Kami dan Dr Azam & Dr Lin dari Darlington, K Amy & Abang Asyraf dari Stockton, Dr Ali & Yati dari Newton Aycliffe dan En Zulkifli dan Dr Wan dari Sheffield bersama-sama ber'camping' di Vale of Pickering. 

Alhamdulillah, suatu pengalaman yang sangat menyeronokkan bagi baik bagi ibu bapa mahupun anak-anak. Walau pun tempat perkhemahan tiada bekalan elektrik, namun itu bukan masalah besar bagi kami. Semua yang dirancang berjalan dengan lancar dan memuaskan.

khemah kami........


Bila ber'camping' maka tak sah kalau tiada BBQ. Maka ini adalah BBQ yang kedua untuk minggu ini kerana Sabtu lepas baru saja berBBQ di Family Day anjuran Durham My.
Our Master Chef yang montel............
Di hari kedua kami mengambil kesempatan meronda-ronda di bandar-bandar yang berdekatan;
SCARBOROUGH - Bandar tepi laut yang sangat cantik!

Bandar kedua yang sempat kami kunjungi adalah Whitby, juga sebuah bandar di tepi laut yang menjadi tumpuan ramai terutama di musim panas. Subhanallah, indahnya ciptaan Allah!
Naik boat di Whitby, ombak kuat sehingga bot melambung-lambung. Pengalaman pertama naik bot di lautan terbuka sangat menyeronokkan!



ENGLISH COTTAGE 
entah siapa la empunya cottage mewah ini.......

Gambar di atas adalah sebuah cottage di THORNTON-LE-DALE, sebuah bandar yang kami lalui dalam perjalanan pulang ke tempat perkhemahan. Disebabkan minat kami berhenti untuk mengambil gambar.

Gembira melihat anak-anak yang riang bermain dan berkawan, lepas dan bebas......


hebat..................

Sebelum pulang.............

Macam-macam pengalaman baru yang saya dapat rasai sepanjang perkhemahan ini. Walaupun kesejukan pada malam hari  (tiada 'blower'), tambahan pula saya memang tidak lena tidur dalam khemah, namun saya seronok dengan ukhuwwah yang terjalin sepanjang kami di sini. Jarang-jarang dapat menunaikan solat di tengah padang yang lapang, berbalut baju tebal dek cuaca yang sejuk. Terima kasih kepada Tuan Dr Azam yang mengusulkan seterusnya menguruskan penempatan bagi perkhemahan ini!