If I Had My Child to Raise Over Again by Diane Loomans

If I Had My Child to Raise Over Again by Diane Loomans
If I had my child to raise all over again,
I'd do less correcting, and more connecting,
I'd take my eyes off my watch, and watch with my eyes.
I would care to know less and know to care more.
I'd take more hikes and fly more kites.
I'd stop playing serious, and seriously play.
I'd run through more fields and gaze at more stars.
I'd do more hugging, and less tugging.
I would be firm less often, and affirm much more,
I'd build self-esteem first, and the house later.
I'd teach less about the love of power and more about the power of love.

Wednesday, 10 February 2010

NABHAN


Ahmad Nabhan atau aan, bakal mencecah 11 tahun pada september 2010. Sepertimana anak-anak lelaki sebaya dengannya, Si Hero saya ini  masih mencintai dunia permainan di usianya. Meja study di kamarnya bukan disusun buku-buku dan alatulis tetapi penuh dengan deretan robot terutamanya transformer. Aan juga penggemar games dan sentiasa tenggelam dalam dunia gamesnya di hadapan monitor. Walaupun tidak senang dengan hobinya itu, namun saya terpaksa mengakui bahawa permainan itu banyak menyumbang kepada perkembangan mindanya.

Berbanding dengan adik beradiknya yang lain, membesarkan Nabhan adalah satu cabaran bagi saya. Nabhan seorang yang lasak (hiperaktif), dan hanya mula bercakap ketika berusia 5 tahun.  Semasa Nabhan berusia 4 tahun, kami telah membawanya berjumpa pakar kanak-kanak, Beliau telah mencadangkan supaya Nabhan di bawa ke klinik telinga. Ini kerana masalah pertuturan yang dihadapinya kemungkinan besar berkaitan dengan masalah pendengaran. Kanak-kanak yang tidak dapat mendengar percakapan orang di sekeliling sudah tentu tidak dapat mengembangkan bahasa percakapannya.

Dr Shah Jehan, pakar ENT Hospital Kubang Kerian, juga sahabat ayahnya, telah membantu membuat pemeriksaan ke atas Nabhan, alhamdulillah semuanya normal. Apa masalah Nabhan?
Semasa Nabhan berusia 6 tahun, kami telah membawanya berjumpa Neurologist di Unit Pediatrik, Hospital Pulau Pinang.  Dr Vikneswary (Dr Viky), adalah antara orang yang sangat mengambil berat dan bersungguh-sungguh ingin membantu Nabhan. Atas saranannya kami membawa Nabhan ke Prospect Rainbow, Children Centre yang terdapat di Pulau Pinang. Di sana kami menemui Psychologist Shareen, yang telah membuat assessment ke atas Nabhan. Hasilnya, perkembangan Nabhan di dapati 2 tahun kebelakang daripada kanak-kanak seusianya. Menurutnya, sekiranya tidak dibantu Nabhan kemungkinan akan mengalami Masalah Pembelajaran Spesifik Disleksia.

Maka, bermula dari situ kami menjadi pengujung tetap Hospital Pulau Pinang. Appointment Nabhan dengan Dr Viky berselang dengan appoinment dengan seorang lagi pakar ADHD (saya telah lupa namanya). Ini kerana di samping masalah pembelajaran, dia juga dianalisa sebagai kanak-kanak ADHD (Attention Deficit Hyperactivity Disorder). Bersabar sajalah, apa bila saya terpaksa memberikan Nabhan ubat setiap pagi sebelum ke sekolah untuk membantunya  mengurangkan sikap hiperaktif dan menumpukan perhatian kepada pelajaran. Saya dapati ubat-ubat tersebut tidak memberi kesan kepada Nabhan.

Di samping appointment di Hospital, kami juga mendapatkan khidmat daripada sebuah badan sukarela, Two-way Centre. Appointment sebulan sekali adalah untuk kami belajar bagaimana mengajar dan menguruskan Nabhan. Pn Silvian Bonade, seorang warga asing, adalah seorang sukarelawan yang bertugas di situ.. Kakitangan lain berbangsa India dan Cina. Sebenarnya saya amat kagum dengan mereka yang sanggup menjadi sukarelawan dan bersungguh-sungguh ingin membantu anak-anak kita.  Agak sukar bagi saya dan suami, suami terpaksa berkejar dari mahkamah ke  sekolah Nabhan untuk mengambilnya dan kemudian mengambil saya di sekolah disebabkan appointment adalah pada sebelah pagi. Saya amat berterima kasih kepada Penolong Kanan di SMK Bakti, Cikgu Fauzi yang amat memahami masalah Nabhan, beliau sentiasa membenarkan saya keluar pada waktu persekolahan sama ada untuk ke hospital atau ke Two-way Centre.

Ada sesuatu yang menarik perhatian saya semasa lawatan ke hospital, saya selalu meneliti senarai patient Dr Viky di buku appointment. Saya dapati sekira terdapat 15 nama, maka dua atau tiga orang saja anak-anak Melayu, yang lainnya Cina dan India. Saya berasa sangat terkilan dengan keadaan ini. Mereka pandai memanfaatkan peluang dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan, sedangkan kita yang mempunyai anak-anak bermasalah sering membiarkan dan menyerah kepada takdir. "Dah nasib dia, adalah rezeki dia nanti.....", begitulah keluhan ibu bapa sekiranya mempunyai anak-anak yang lembam. dan bermasalah pembelajaran. Pernah saya bangkitkan perkara ini kepada Pegawai Pendidikan khas, JPN Pulau Pinang.  Saya berharap mereka mungkin boleh membantu contohnya menjemput pihak hospital untuk membuat assessment kepada pelajar-pelajar di sekolah, namun responnya kurang memuaskan. "susah", katanya, sedangkan saya melihat ramai pelajar-pelajar di sekolah saya yang mempunyai masalah untuk belajar. Bayangkanlah, 5 orang pelajar tingkatan 4 di sebuah kelas yang saya ajar tahun lepas masih belum boleh membaca, di setiap tingkatan ada saja beberapa orang pelajar Melayu yang keciciran, tidak boleh membaca dan bermasalah menulis atau menyalin tulisan di papan hitam. Tinggal di kampung dan tidak berpelajaran pula, sememangnya kebanyakan ibu bapa jahil dalam masalah sebegini. Saya sendiri sekiranya tidak diberitahu oleh ibu saudara Nabhan, yang bekerja di klinik Disleksia HKL mengenai ciri-ciri Disleksia pada Nabhan, mungkin saya pun tak ada usaha sebegini. Beliaulah yang mengenalkan saya dengan Dr Viky.

Ketika Nabhan di Tahun Tiga, saya telah mendapat peluang membawa Nabhan berjumpa dengan Pakar Disleksia di Klinik Disleksia HKL, Dr Khoo. Ini pun dengan bantuan ibu saudara Nabhan juga. Dr Khoo, seorang neurologist yang sangat terkenal dan komited. Seharian kami berada di HKL, beliau yang amat memahami kesukaran kami yang datang jauh dari Penang, telah menyiapkan assessment ke atas Nabhan pada hari itu juga. Mula-mula Nabhan disuruh melukis sementara beliau meng'interview' kami. Soalannya berkitar pada perkembangan Nabhan sejak kecil. Ada beberapa perkara penting yang ditanya, saya gagal menjawabnya, seperti apa perkataan pertama yang dia sebut dan pada usia berapa dia mula memanggil ummi dan ayah. Sebenarnya itu adalah antara soalan yang sering ditanya oleh Doktor sebelum ini pun, saya pun tidak peka bahawa perkara itu penting sekali bagi mereka untuk menentukan tahap perkembangan seorang anak. Di sini saya mula menyedari bahawa banyak ilmu keibubapaan yang saya kurang.

Kemudian Nabhan diberi beberapa 'test',  dan dibawa pula kepada Psychologist untuk IQ test. Alhamdulillah, Nabhan dikategorikan sebagai kanak-kanak yang mempunyai IQ yang normal. Dalam laporannya, Dr Khoo telah menerangkan ciri-ciri Disleksia yang terdapat pada Nabhan dan telah mencadangkan beberapa cara kepada guru-guru Nabhan menangani masalahnya di sekolah.

Pulang dan berpuas hati dengan hasil pertemuan dengan Dr Khoo, saya dan suami ke sekolah Nabhan, berjumpa dengan Guru Besar, Penolong Kanan dan Guru Kelas Nabhan untuk memberikan laporan tersebut. Entahlah, mungkin terlalu sukar untuk guru-guru di sekolahnya. Nabhan benar-benar beban yang berat untuk mereka. Bukan cadangan Dr Khoo yang mereka laksanakan, Nabhan pula ditukarkan dari kelas pelajar setahap dengannya ke kelas terbaik. Alasan mereka Nabhan mengganggu tumpuan pelajar lain dalam kelas tersebut. Di kelas baru Nabhan langsung tidak boleh belajar, pergi balik dengan buku kosong, tidak ada kesan tulisan. Saya dan suami agak terkilan tapi sebagai seorang guru saya akur dan faham dengan masalah dan kesusahan seorang guru!

Bermula dari itu, kami berazam untuk mencari sekolah yang sesuai untuk Nabhan. Saya dan suami telah nekad untuk berpindah ke KL atau mana-mana tempat yang boleh menyediakan tempat yang baik untuk Nabhan belajar. Sementara itu kami berhentikan sekolah Nabhan dan menghantarnya ke sebuah sekolah agama, Maahad Tahfiz Al-Munir di Derang, Kedah. Kami berharap Nabhan dapat belajar al-Quran dan solat secara teratur. Selama 6 bulan Nabhan di sana, namun perkara yang sama berulang; Nabhan di suruh keluar dari sekolah itu! Lebih kurang 3 bulan Nabhan tidak bersekolah. Sebulan pertama dia akan mengikut saya ke sekolah atau ayahnya ke mahkamah. Lama-kelamaan dia mula bosan dan mahu tinggal di rumah sahaja. Apa lagi, gameslah yang menemaninya di rumah sepanjang kami pergi bekerja. Sebulan kemudian saya mendaftarkannya di sebuah pusat tuisyen di Bandar Putra Bertam. Jadi pada sebelah malamnya dia akan mengikuti tuisyen selama 1 1/2 jam.

Rezeki menyebelahi kami bila suami saya diterima melanjutkan pelajaran di peringkat PHD di Universiti Durham dan kami bersiap sedia untuk ke England!

30 September 2009, Nabhan memulai persekolahan di Bowburn Junior School. Kini, telah 4 bulan Nabhan bersekolah di sini. Setiap hari, jam 8.30 pagi, Nabhan dengan riangnya akan bersiap dengan uniform sekolah dan beg galas hitamnya. Melihatnya keluar dan berjalan kaki ke sekolah bersama-sama kawan-kawan adalah satu nikmat yang besar bagi saya, rasa terlepas bebanan yang ditanggung selama ini. Alhamdulillah, besar ertinya penghijrahan ini!













3 comments:

  1. sebak la k.syidah baca kisah aan...mungkin teringat kata2 iffah.walau apa2 pun insyallah aan akan berjaya spt anak2 yg lain...

    ReplyDelete
  2. salam,
    tqvm puan atas catatan ini. saya ada seorang anak yg menghidap disleksia n epilepsy. skrg beliau di tahun 4 di sek tahfiz. sebelum ini di sek kebangsaan pend khas. keadaannya sama dgn nabhan...cuma tidak hiper. ingin tahu keadaan akademik nabhan yg terkini. mohon share. tqvm

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wsalam, barakillah puan. Nabhan sekarang berada di tingkatan 3. Thn lepas setelah bersekolah di sini selama 3 bulan dan menduduki peperiksaan akhir tahun dia mendapat tempat terakhir dalam kelas, yang juga hampir yg terakhir dalam tingkatan. Tahun ini UP 1 Nabhan menduduki no ke 16 drp 40 pelajar di kelasnya dgn markah tertinggi dalam bahasa Inggeris. Namun begitu dia perlu dibimbing sentiasa dan perlu ditolong dalam pelajaran dan juga pengurusan diri. Mungkin di sini lebih mudah bagi seorg guru seperti saya, so saya memohon pertukaran dan skrg alhamdulillah, saya mengajar di sekolah yang sama dengannya..

      Delete