Selain itu saya juga diberitahu mengenai ADHD (Attention-Deficit Hiperactivity Disorder). Saya fikir mungkin yang ini lebih berkaitan dengan Nabhan. Ciri-ciri seperti hiperaktif, suka menyepah dan kehilangan barang-barang kepunyaannya, mudah hilang perhatian, cepat menukar haluan, suka membuat bising dan 'uncontrollable', serta beberapa ciri yang saya baca di internet, saya perhatikan sangat sinonim dengan attitude Nabhan. Segala yang ada padanya sentiasa membuat saya naik darah. Seringkali juga saya terbabas, hilang kesabaran dan jadilah anak anugerah Tuhan ini mangsa keadaan. Saya mewarisi kebanyakan ibu bapa yang jahil dalam ilmu keibubapaan, kemahiran berkomunikasi yang saya belajar sepanjang kerjaya sebagai pendidik terbang entah ke mana!
Hati saya menjadi lebih tenang apa bila mengetahui bahawa Nabhan mengalami Masalah Pembelajaran Spesifik Disleksia. Antara perkara pertama yang menarik perhatian saya adalah apa bila doktor memberitahu saya bahawa pengidap disleksia telah ramai yang berjaya, bahkan ada yang menjadi tokoh yang ternama. Mereka berjaya kerana ada seseorang yang sentiasa membantu mereka. Ya! Siapa lagi yang akan membantu Nabhan, kalau bukan kami ibu dan ayahnya! Pengidap disleksia mempunyai IQ normal, bahkan kadang-kadang mereka seorang yang pintar. Mereka cuma mengalami kecelaruan dalam saraf otak mereka menyebabkan golongan ini mengalami kesukaran menganalisis huruf dan angka. Keadaan ini bukan saja membawa kepada masalah kesukaran menulis dan membaca, malah mereka sentiasa keliru dan bermasalah dengan jarak.
Dalam masalah Nabhan, saya mengenalpasti beberapa kelemahan padanya; dia sukar membezakan kanan dan kiri sehingga melebihi usia 9 tahun. Sehingga usianya 7 tahun dia masih lagi bertanya," ini tangan makan ke tangan tahi". Dia amat confuse dengan huruf b dan d, p dan q, m dan w, n dan u. Hampir semua nombor ditulis dalam keadaan terbalik (mirror image). (sehingga kini dia seringkali menulis angka 5,6,7 dalam keadaan terbalik). Tulisan Nabhan juga tidak kemas, ini kerana dia tidak boleh mengagak jarak antara perkataan dan tidak boleh mengagak tinggi rendah dengan baik. Jadi tulisannya dalam pelbagai saiz dan jarak yang tidak sekata. Nabhan juga selalu keliru dengan warna hijau dan biru. Bagi mengenali warna hijau, dia menggelarnya sebagai 'warna rumput'. Dia juga mempunyai daya tumpuan (attention span) yang pendek. Ketika berusia 7 tahun dia cuma boleh bertahan selama 10 - 15 minit saja jika saya mengajarnya. Selain itu dia juga mudah lupa apa yang diajar.
Di sekolah pula, Nabhan akan kehilangan semua barang-barangnya. Setiap hari saya terpaksa membekalkannya alatulis seperti pensil, pemadam dan pembaris. Pemadam saya potong dua atau tiga untuk berjimat. Selalunya saya membeli peralatan tersebut dalam jumlah yang banyak sehinggakan pada satu hari pekedai stationary di Tasek Gelugor tu bertanya, "kak nak buat apa selalu beli barang banyak-banyak ni?". Mungkin dia ingat saya nak berniaga kot!
Disebabkan tidak faham dan tidak boleh mengikuti apa yang diajar oleh guru, Nabhan sering membuat kacau dalam kelas. Dia tidak duduk diam. Sering berjalan-jalan dalam kelas dan mengacau pelajar lain, begitulah yang sering dikhabarkan oleh guru-guru Nabhan kepada saya. Selalu juga Nabhan didenda. Satu hari Nabhan balik marah-marah. Bila saya tanya kenapa? Dia kata cikgu suruh berdiri junjung kerusi! Kesian juga, masa tu bulan puasa, mujur juga hari tu dia tidak berpuasa. Saya dan suami sebenarnya sangat faham betapa susahnya guru-guru dengan kehadiran Nabhan di sekolah tersebut. Mungkin kerana 'keistimewaannya' Nabhan amat dikenali di sekolah, dari pada pejabat sampailah ke tukang kebun, semua tahu siapa dia NABHAN!
Di rumah, saya akan meluangkan masa yang banyak untuk mengajar Nabhan berbanding adik dan kakaknya. Ya! Itulah saat yang terlalu sukar dalam hidup saya. Di tahun 1, Nabhan masih belum mengenali A B C. Kalau melihat kepada tubuh dan rupa parasnya, dia nampak seperti kanak-kanak normal yang lain, malah sebahagian kawan-kawan saya mengatakan dia kelihatan seperti budak cerdik!
Pelbagai cara saya guna dan cuba untuk mengenalkan Nabhan dengan huruf dan angka. Carta A B C huruf besar dan huruf kecil saya gunting satu persatu. Buat permulaan saya kenalkan dia dengan huruf-huruf vokal dan bunyinya. Kemudian barulah saya ajarkan huruf-huruf konsonan. Amat memeritkan apabila setiap huruf yang saya ajarkan, saya terpaksa mencari 'clue' untuk dia mengingatinya, contohnya B-boy, C-cawan. 'Clue' yang lebih digemarinya lebih mudah diingati seperti Y-yoyo. Huruf-huruf konsonan yang telah dikenalinya, saya pada padankan dengan huruf vokal supaya dia boleh membunyikannya. Setelah itu, barulah saya mengajarnya membaca menggunakan buku 'Bacalah Sayang' yang digunakan oleh pelajar-pelajar tahun satu. Nabhan boleh membaca dengan cara merangkak-rangkak ketika berada di tahun dua.
Teknik-teknik mengajarnya kebanyakannya saya pelajari di Two-way Centre. Contohnya untuk mengatasi masalah daya tumpuannya yang pendek, saya mesti peka terhadap kegelisahannya. Apa bila dia sudah kelihatan jemu, saya mesti cepat-cepat menukar aktiviti untuk seketika contohnya dengan memintanya mengambilkan air. Setelah itu bolehlah saya minta dia sambung kembali aktiviti belajar. Itu pun kadang-kadang terpaksa ambil masa 'iklan' yang lama sikit.
Oleh kerana Nabhan sukar mengenali dan memilih buku teks dan buku latihan yang banyak, maka saya menanda semua buku-bukunya dengan stiker berwarna, untuk memudahkannya mengenali buku-buku tersebut, contohnya, buku Bahasa Melayu ditanda dengan warna merah. Ini kerana bilangan buku Bahasa Melayu sahaja 3 - 4 buah. Setiap jenis buku ditanda dengan warna yang sama. Stiker yang sama akan dilekatkan pada jadual hariannya. Nabhan dikehendaki mengemas sendiri buku-buku dalam begnya mengikut jadual kelasnya setiap hari berpandukan warna tersebut.
Saya juga diajar supaya tidak memberi latihan kepada Nabhan dalam bentuk buku, sebaliknya saya disyorkan supaya menggunting satu atau dua helai daripada buku tersebut dan memberikannya kepada Nabhan. Ini untuk mengelakkan Nabhan daripada merasa berat dan terbeban dengan latihan-latihan tersebut.
Penggunaan Bahasa Inggeris dalam subjek sains dan matematik juga menjadi satu lagi masalah kepada saya untuk mengajar Nabhan. Nabhan yang baru saja boleh membaca dengan agak baik semasa di tahun tiga jauh ketinggalan dalam dua subjek tersebut. Di sekolah Nabhan boleh dikatakan tidak belajar dua subjek itu kerana tidak faham dan langsung tidak boleh membaca atau menulis dalam Bahasa Inggeris. Buku-buku latihan matematik dan sainsnya kosong sahaja. Setakat yang saya terdaya saya cuba juga membantunya menjawab soalan dalam buku-buku tersebut di rumah. Itu pun saya buat sekerat jalan sahaja apa bila menyedari bahawa Nabhan cuma menulis apa yang saya beritahu tanpa memahami apa yang ditulisnya. Saya rasa cara itu membazirkan masa sahaja. Lebih baik saya tumpukan mengajarnya silibus matematik dan sains tahun satu kerana di situlah tahapnya. Ya, kadang-kadang saya melihat golongan pelajar bermasalah seperti Nabhan amat teraniaya dengan PPSMI yang dilaksanakan. Nabhan yang sangat meminati subjek sains itu terhalang pembelajarannya kerana kekangan bahasa.
Begitulah serba sedikit pengalaman saya membimbing Nabhan. Sesungguhnya saya amat berterima kasih kepada Puan Silvianne Bonade dan staf-staf di Two-way Centre yang telah sudi berkongsi ilmu teknik mengajar kanak-kanak disleksia. Puan Silvianne adalah seorang sukarelawan asing yang telah senior begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh ingin membantu kanak-kanak bermasalah pembelajaran di pusat tersebut. Staf lain yang saya jumpa berbangsa India dan Cina. Melayu? Tiada pula......
Nabhan bertuah kerana punya ibu bapa seperti kak shidah & Ustaz Jai. Semoga Nabhan berjaya dalam hidup & menjadi anak yang soleh.Amin.
ReplyDeletesalam ziarah.. melalui pengalaman yang sama dalam mengajar anak saya, Arif.. yang juga seorang disleksik..
ReplyDeleteshaza,
ReplyDeleteahlan wa sahlan, alhamdulillah, Nabhan dapat belajar dengan baik di sini dan mendapat pelbagai penghargaan di sekolah.
Untuk Arif, semoga berjaya......
thanks sis.. Arif memang banyak perubahan sejak dia masuk dyslexia centre selama 3 bulan tahun lepas.. lepas tu dia masuk tadika biasa balik.. Alhamdulilah, pada usia 6 tahun sekarang, dia dah boleh mebaca..
ReplyDeleteAssalam. My eldest son juga dlysexia. Darjah 9. Berbeza ngan dlysexia yg lain. Dia blh membaca.cuma dia x suka menulis. Lambat menulis.dia akan termenung. Kita kena tegur baru buat. Fav subject dia BI.
ReplyDeletewsalam. somoga anak buat beroleh kejayaan....
ReplyDelete