Hari ini hari ketiga, tiga hari sudah Ramadhan berlalu......, muhasabah, apa yang telah kita isi selama tiga hari ini? Saya sendiri terasa masih sedikit amalan yang dibuat dalam masa tiga hari ini. Tadarus juzuk ketiga dalam keluarga, alhamdulillah setakat tiga hari ini kami masih istiqamah! Mudah-mudahan amalan yang secebis ini berterusan. Berzikir rasanya amat kurang sekali, memang saya lemah dalam bab berzikir. Bila teringat mulut kumat-kamit seketika, kemudian hilang dalam khayalan, terleka, sedar-sedar fikiran dah melayang ke arah lain, maklum saja cinta dunia......banyak masa ditumpu kepada urusan dunia, maka banyaklah usaha ditumpahkan untuk dunia...., astaghfirullah!
Bagi memastikan rumah dihiasi dengan al-Quran saya sentiasa membuka youtube-bacaan al-Quran oleh qari terkemuka seperti Sheikh Misyari al-Afasy, Sheikh Shuraim dan Abdul Rahman Sudais, Al-Ghamidy dll. Saya pernah terbaca bahawa air yang dibacakan ayat-ayat al-Quran, molekul-molekul air itu terbentuk dengan cantik sekali. Mungkin juga, sememangnya secara fitrahnya makhluk-makhluk Allah SWT tunduk dan taat kepada Allah. Saya fikir elok juga jika air, makanan dan seisi rumah saya dibacakan al-Quran, moga-moga berkat makanan dan minuman yang menjadi darah daging kami sekeluarga.........dan yang terpenting anak-anak mendengar halwa telinga yang terbaik!
Mujur juga anak-anak tidak tertarik dengan lagu-lagu pop masa kini, mereka tak pernah terdedah dengan perkara seumpama itu. Semenjak kecil saya cuma pasangkan 'nursery rhymes' saja untuk mereka, sampai saya sendiri pun hafal hampir keseluruhan lagu-lagu itu. Bila besar mereka beralih minat kepada kartun pula, di rumah memang jarang saya buka program nyanyian, kalau nak tengok pun masa anak-anak dah tidur, ye lah nak juga tahu siapa penyanyi popular, siapa menang AF, bak kata suami 'buat modal ceramah', saya pula 'buat modal menyapa pelajar dalam kelas!'...........Namun semenjak ke sini, saya langsung tak ambil tahu, entah siapa pulak penyanyi popular tanahair sekarang!
Berbalik kepada bulan yang mulia ini, saya berhajat untuk mentelaah al-Quran, sekali lagi youtube sangat berguna, selain dari pada membaca dari pada Quran terjemahan, saya juga mendengar tafsiran dari pada youtube. Untuk mengelak saya jemu dan hilang tumpuan, saya baca atau klik surah yang saya teringat dan ingin tahu tafsirannya, kalau saya ikut turutan dan mula dari pada al-Baqarah dan seterusnya saya akan mudah lupa. Jadi untuk mengelak perkara tersebut saya cari surah yang saya ingin tahu dan meneroka maksudnya...Cara ini saya dapati lebih baik dan berkesan bagi saya yang mudah hilang tumpuan ini.
Antara yang istimewa dan tidak dapat tidak di bulan yang mulia ini adalah perihal juadah! Kalau di Malaysia sudah maklum Pasar Ramadhan tempat tumpuan, di sini terpaksalah menyalakan api memasak sendiri. Namun rezeki dari Yang Esa tidak kurang juga. Petang ini saja kedua-dua jiran yang baik menghantar juadah-juadah yang enak untuk kami. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Ruqan, jirang berbangsa Bangladesh yang sangat baik akhlak dan agamanya, dari nasi, kuih muih, buah-buahan semua ada. Tidak lupa juga buat jiran yang berusaha Tuan Dr Azam dan Dr Lin yang sanggup drive dari West Cresent ke Trafford Close untuk memberi kami merasa Laksa Johornya yang cukup enak itu, cucur udang tuan Dr juga boleh berkira! Jazkallah, moga Allah membalas segala kebaikan jiran-jiranku dengan kemuliaan dan kasih sayangNya.
Begitulah tiga hari di bulan mulia, moga hari keempat dan seterusnya makin baik dan bertambah amalan isi rumah ini. Selamat berusaha dan berlumba-lumba ke arah kebaikan! Fastabiqul khairat!
No comments:
Post a Comment