23, Garden View, destinasi baru bulan ini. Kedatangan saya disambut oleh Joy, kali kedua saya bertemu wanita berusia 55 tahun yang sangat ramah dan baik hati ini. Oleh kerana ini kali pertama saya bertugas di sini, maka banyak perkara yang perlu diterangkan kepada saya. Joy sangat sabar mengajar dan menjawab soalan-soalan saya.
Sebuah banglo sederhana besar dan dihias cantik. 'A lovely house for three lovely ladies'. Ketiga-tiganya sangat istimewa! Sangat berbeza dengan 'tenants' di rumah-rumah yang saya bekerja sebelum ini, ketiga-tiga mereka lebih 'able'. Dua dari padanya boleh berkomunikasi dengan baik walau pun kadang kala agak pelat. Seorang lagi tidak boleh bercakap, suara pun tidak keluar. Sekali sekala dia cuba mengajuk apa yang saya sebut kepadanya, perlahan, seakan berbisik sahaja kedengaran suaranya. Kasihan dia! Dia dipanggil Lesley. Lesley sangat disenangi oleh 'carers' di rumah itu. Dia tidak banyak kerenah.
Di rumah Lesley akan duduk di sofa, minum kopi, jika ada yang melayannya dia juga gemar membaca buku dan mewarna. Consevatory rumah itu penuh dengan peralatan mewarna, sesuatu yang menarik perhatian saya. Lesley bertubuh rendah dan agak berisi, pergerakannya lambat, kadang-kadang dia menjatuhkan badannya. Saya pun tidak faham kenapa, mungkin dia berasa tidak confident dengan kemampuan kakinya yang kecil itu. Dia mengidap rheumatism, nampak lututnya agak besar. Dia sangat baik dan nampak menyenangi saya. Keupayaannya terbatas, dia perlu banyak dibantu berbanding kawan-kawannya.
Pagi keesokan harinya saya memandikannya, lambat sekali dia menggosok badannya dengan tuala kecil yang saya berikan kepadanya. Kami bantu mana-mana yang perlu, tidak boleh terlalu banyak menolong tetapi harus menggalakkan mereka melakukan sendiri sedaya upaya. Saya kena bersabar menanti dia membersihkan dirinya. Selepas mandi di sapu segala lotion dan gel di mana yang perlu. Selepas bangun dari tidur pagi tadi saya menghabiskan sedikit masa meneliti 'medication' setiap tenants kerana ketiga-tiganya 'under medication'.
Dari pemerhatian saya, Lesley mempunyai ciri-ciri autisme, selepas mandi dia membetulkan kedudukan kerusi mandinya, sangat berhati-hati dan berkali-kali dia membelek kaki kerusi itu dan mempastikan kedudukannya seperti yang dikehendaki. Dia juga menyusun kembali semua 'toiletries' yang digunakan ditempat asal, walau pun saya telah mengemasnya namun dialihkan semula seperti sebelumnya.
Siap 'personal care', saya membantu Lesley menyiapkan sarapan, mudah saja; cereal, susu 'and a cuppa'. Lesley makan lambat, berhenti sekejap bila saya menyuakan tablet untuknya dan kembali menyudu cerealnya. Walau pun lambat dia makan sehingga licin!
Sementara itu saya menyiapkan 'packed lunch' untuknya kerana setiap hari dia akan ke sekolah (Day Centre). Saya dibantu oleh kawannya Christine yang ringan tulang dan sangat sayang kepada Lis. Setelah selesai sarapan, Lesley berehat di sofa sementara menunggu kedatangan Joy yang akan menghantarnya ke Day Centre yang hanya selang satu bangunan dari rumah itu.
Dua orang lagi tinggal di rumah dan ada aktiviti tersendiri. Christine sibuk dengan persiapan untuk holidaynya, seronok bercerita mengenai caravan yang akan didiaminya selama percutiannya di Scarborough nanti. Tidak nampak ciri-ciri 'disable' padanya. Fizikalnya seperti orang normal, dia sangat gemarkan kanak-kanak dan bayi. Dia mempunyai 'anak' yang diberi nama Sarah. Setiap masa dia akan bercakap dengan anaknya itu, dan membahasakan dirinya 'mum'. Dia juga memberitahu saya bahawa baby keduanya 'coming soon' sambil menunjukkan kepada perutnya yang agak besar! Bila saya tanya sama ada boy or girl, dia jawab tak kisah asalkan sihat. Tinggi miginasinya! Dia banyak membantu saya dalam menguruskan rumah, dia tahu semua susun letak peralatan dalam rumah itu.
Seorang lagi Gillian. Gemarkan layanan special. Walau pun dia mampu mengambil sendiri makanan atau minumannya, namun dia suka saya membantunya 'whilst' dia berehat di sofa! Gillian bijak, boleh menulis dan membaca. Mulanya saya ingatkan dia berlakon membaca rancangan tv dalam majalah, namun bila saya test dia rupa-rupanya memang boleh membaca!
Semalam pula saya ditugaskan membantu 'a lady', no rumahnya 100, dalam kawasan bandar. Pengalaman yang sangat menarik. Roselyn berusia 44 tahun, bertubuh rendah seperti kebanyakan disable, saya agak dia boleh dikategorikan down syndrome. Saya disambut oleh bapanya yang berusia 82 tahun, 'very typical English'! Walau pun hanya di rumah, dia berpakaian lengkap; baju kemeja 'tucked in', kelihatan kemas menyandar di 'reclined chair' bercorak 'English fabric' sambil menonton tv. Lelaki tua ini sangat ramah, bercerita mengenai dirinya dan Roselyn, juga berminat mengenali saya dan keluarga.
Roselyn sangat istimewa dan berbeza dari pada 'tenants' yang saya uruskan sebelum ini. Dia sangat berdikari dan cergas. Dia memberitahu saya bahawa ibunya telah lama meninggal kerana mengidap kanser payu dara. Tidak banyak yang perlu dibantu kerana dia boleh melakukan sendiri. Dia juga bijak dan suka berbual dengan saya. Sejak saya di sini dialah orang pertama yang mahu belajar Bahasa Melayu, dia meminta saya menyebut beberapa perkataan dalam Bahasa Melayu, dia bersungguh-sungguh menghafalnya. Menurut bapanya Roselyn mempunyai 'fantastic memory', dia akan menghafal apa yang saya ajarkan.
Amat kelakar bila dia mewarnakan kuku saya. Itulah kali pertama saya memakai 'nail varnish'! Oleh kerana saya memakai baju pink, maka diwarnakan kuku saya dengan color pink. Saya dan suami sama-sama tergelak sebaik saya masuk ke dalam kereta dan menunjukkan kuku kepadanya. Kalaulah Roselyn tahu saya membersihkan kuku saya sebaik sampai di rumah untuk solat asar mesti dia akan berkecil hati dengan saya!
Setelah dua jam di rumah itu dan membantu apa yang perlu, saya mengundur diri. Roselyn memberitahu bahawa dari pada sekarang saya adalah kawannya. Alhamdulillah, bertambahlah rakan saya, telah ramai rakan saya dari golongan istimewa semenjak saya berada di UK ini. Alhamdulillah, semua ini satu anugerah berharga dari pada Allah kerana melalui mereka saya belajar banyak pengalaman baru serta erti nikmatullah!