Alhamdulillah, dengan izin Allah yang Maha Pemurah, dapat lagi saya dan keluarga mengecapi nikmat Ramadhan bagi tahun ini. Kali ini dalam suasana yang agak berlainan, lantaran berada di tempat yang lain. Hari-hari Ramadhan kami di sini bermula seawal jam 3 pagi dan berakhir antara 7.50 hingga 8.45 malam (sekarang sudah semakin awal). Walaupun tempoh berpuasa lebih lama, namun keadaan yang sejuk dan nyaman di penghujung musim panas ini menjadikan lapar dan dahaga hampir tidak terasa, sehinggakan Hero saya Si Nabhan yang kuat makan itu tidak bersungut menamatkan puasanya setiap hari.
Dalam pada itu saya rasa Ramadhan kami di sini lebih teratur daripada semasa di tanahair, antaranya kerana saya dan kebanyakan rakan-rakan di sini tidak terikat dengan waktu dan tugasan seperti dulu. Kebanyakan kami samaada suri rumah sepenuh masa atau student PHD. Jadi, kami mempunyai waktu yang fleksibel untuk menyemarakkan bulan yang mulia ini bersama. Setiap hari kami akan bertadarrus al-Quran bersama selama satu jam, kadang-kadang solat jemaah dan terawih bersama.
Saya begitu tertarik dengan beberapa orang ibu yang gigih di sini. Masyaallah, di samping beban tugas menyiapkan tesis PHD, anak-anak yang masih kecil dan sebahagiannya bayi namun sentiasa saja turut serta dalam majlis-majlis kami. Sama-sama solat berjemaah, anak di dukung semasa berdiri solat, diletakkan semasa bersujud kepada Allah, betapa sabarnya mereka menunaikan perintah Allah dalam jerit tangis bayi mereka. Saya selalu saja mengingatkan suami agar mengikut hadis Rasulullah supaya tidak memanjangkan bacaan dalam solat jika terdengar bayi menangis. Semasa anak-anak masih bayi, seringkali saya rasa terhalang untuk beribadah di masjid. Ya Allah! Terasa kerdil diri ini tika berdiri bersebelahan mereka.
Malam ini malam ketiga kaum bapa berqiamullail di Masjid Durham. Malam ini juga kali kedua Nabhan akan mengikut ayahnya berqiamullail. Walaupun qiamnya dua rakaat solat sahaja, yang lainnya naumullail namun itu sudah bagus untuk dia berlatih menghayati Ramadhan ini. Di Durham ini kami cuma mempunyai sebuah masjid, yang sebenarnya sebahagian daripada bangunan Universiti Durham. Di situlah umat Islam dari pelbagai negara bertemu, solat berjemaah, iftar dan di antara mereka ada yang meneruskan aktiviti ibadah di malam Ramadhan pula.
Mulai tahun ini juga Ramadhan bertambah bermakna buat saya sekeluarga, di bulan yang mulia inilah saya kehilangan ayahanda tercinta. 28 Ramadhan ini cukup setahun ayahanda pergi menemui Ilahi, di pangkuan inilah ayahanda menghembuskan nafasnya yang terakhir. Terasa bertuah menjadi anaknya, betapa tidaknya, bertahun-tahun saya mengecapi kehidupan ini diiringi lelahnya nafas ayahanda yang gigih mencari rezeki buat kami sekeluarga, namun desah dan lelah nafas ayahanda di hujung usianya itu tidak akan dapat saya lupa, seakan baru saja ayahanda menutup mata. Alhamdulillah, semua yang saya lihat adalah tanda-tanda yang baik saja pada ayahanda saat kembalinya kepada Ilahi. Berhenti sudah jihad ayahanda di dunia ini. Apa yang terbayang adalah merahnya tanah yang menimbun pusara ayahanda yang terletak di hadapan pintu pagar masjid itu kerana seminggu kemudian saya sekeluarga berangkat ke mari. Semoga ayahanda sentiasa berbahagia dengan kiriman-kiriman kami yang masih di sini!
Seminggu lagi berakhirlah bulan rahmat ini, selama 12 tahun sebelum ini, saat ini saya sibuk mengemas rumah dan beg-beg untuk pulang berhari raya bersama kaum keluarga di kampung, ikut giliran, Raya Pertama di Pahang atau Kelantan, Raya kedua akan habis dalam perjalanan pulang ke kampung yang kedua. Kini semua itu dalam kenangan. Sedih terasa kerana kali ini tidak dapat mencium tangan dan mengucup pipi bonda tercinta di pagi raya.
Setakat ini saya tidak membuat apa-apa persiapan untuk hari raya. Malam ini suami saya meghadiri meeting bagi program raya kami bersama, moga-moga Ustaz Jailani, En Amiruddin dan Tn Haji Rosli dapat merangka program yang meriah untuk Aidilfitri kami perantau di sini.
terimbau kenangan berpuasa di oversea dulu, termasuk di swansea,uk....pengalaman yg mematangkan kita. sebagai isteri,ibu,insan muslimah dan hamba Allah.
ReplyDeletepengalaman itu lebih mahal dari wang ringgit.....
masyaallah, banyak aspek kehidupan yang saya dan keluarga belajar di rantauan ini. Alhamdulillah, kehidupan semakin bermakna dengan segala pengalaman ini.........
ReplyDeleteEID MUBARAK YA UMMUAMMAR!