(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata: "Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), - dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu - dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)".
Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahanan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya: "Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?" Maryam menjawab; "Ialah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira".
Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya: "Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan".
Lalu ia diseru oleh malaikat sedang ia berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): "Bahawasanya Allah memberi khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah, dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh".
Nabi Zakaria berkata:" Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul?", Allah berfirman: "Demikianlah keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendakiNya".
Lalu ia diseru oleh malaikat sedang ia berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): "Bahawasanya Allah memberi khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah, dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh".
Nabi Zakaria berkata:" Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul?", Allah berfirman: "Demikianlah keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendakiNya".
Nabi Zakaria berkata lagi: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah bagiku satu tanda (yang menunjukkan isteriku mengandung)". Allah berfirman: "Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga hari (tiga malam) melainkan dengan isyarat sahaja; dan ingatlah kepada Tuhanmu (dengan berzikir) banyak-banyak, dan bertasbihlah memuji Allah (dengan mengerjakan sembahyang), pada waktu malam dan pada waktu pagi".
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, dan mensucikanmu, dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu).
"Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama-sama orang-orang yang rukuk ".
Peristiwa yang demikian ialah sebahagian dari berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka mencampakkan qalam masing-masing (untuk mengundi) siapakah di antara mereka yang akan memelihara Maryam. Dan engkau juga (wahai Muhammad) tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka berkelahi (tentang perkara menjaga dan memelihara Maryam).
(Ingatlah) ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan) Kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat, dan ia juga dari orang-orang yang didampingkan (diberi kemuliaan di sisi Allah).
"Dan ia akan berkata-kata kepada orang ramai semasa ia masih kecil dalam buaian, dan semasa ia dewasa, dan ia adalah dari orang-orang yang soleh."
Maryam berkata:" Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?" Allah berfirman; "Demikianlah keadaannya, Allah menjadikan apa yang dikehendakiNya; apabila Ia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Ia hanyalah berfirman kepadanya: ` Jadilah engkau ', lalu menjadilah ia."
Dan Allah akan mengajarnya ilmu menulis, dan hukum-hukum aturan ugama, dan juga kandungan kitab-kitab Taurat dan Injil.
Dan (akan melantiknya) menjadi seorang Rasul kepada Bani Israil, (dengan menegaskan kepada mereka): "Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat) dari tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu dari tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah; dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah; dan juga aku boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu. Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda (mukjizat) bagi kamu (yang membuktikan kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang diutus oleh Allah kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman.
"Dan juga (aku datang kepada kamu ialah untuk) mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang diturunkan dahulu daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian (dari perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kamu; dan juga aku datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan kamu. Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.
"Dan juga (aku datang kepada kamu ialah untuk) mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang diturunkan dahulu daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian (dari perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kamu; dan juga aku datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan kamu. Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.
"Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh itu, beribadatlah kamu kepadaNya. Inilah jalan yang lurus".
Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui dengan yakin) akan kekufuran dari mereka (kaum Yahudi), berkatalah ia:" Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?". Orang-orang "Hawariyyuun" (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: "Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah).
"Wahai Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan, dan kami mengikut RasulMu; oleh itu suratkanlah kami beserta orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui keesaanMu dan kebenaran RasulMu)".
Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.
(Ingatlah) ketika Allah berfirman: "Wahai Isa! Sesungguhnya Aku akan mengambilmu dengan sempurna, dan akan mengangkatmu ke sisiKu, dan akan membersihkanmu dari orang-orang kafir, dan juga akan menjadikan orang-orang yang mengikutmu mengatasi orang-orang kafir (yang tidak beriman kepadamu), hingga ke hari kiamat. Kemudian kepada Akulah tempat kembalinya kamu, lalu Aku menghukum (memberi keputusan) tentang apa yang kamu perselisihkan".
Adapun orang-orang kafir, maka Aku (Allah) akan menyeksa mereka dengan azab yang amat berat di dunia dan di akhirat, dan mereka pula tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat menolong.
Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka; dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.
Demikianlah (perihal Nabi Isa), yang Kami membacakannya kepadamu (wahai Muhammad, adalah ia) sebahagian dari hujah-hujah keterangan (yang membuktikan kebenarannya), dan dari Al-Quran yang penuh dengan hikmat-hikmat - (pengetahuan yang tepat, lagi sentiasa terpelihara).
Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: "Jadilah engkau!" maka menjadilah ia.
Perkara yang benar ialah yang datang dari Tuhanmu. Maka jangan sekali-kali engkau menjadi dari orang-orang yang ragu-ragu.
Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: "Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta".
Sesungguhnya ini ialah kisah-kisah yang benar; dan tiadalah Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah; dan (ingatlah), sesungguhnya Allah, Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Surah ali-Imran 35 - 62
Begitulah hebatnya keimanan Hannah kepada Allah SWT. Begitu kuat husnuzzan wanita ini kepada Allah SWT. Walaupun yang dinazarkan anak lelaki tetapi apabila yang dilahirkannya perempuan, maka dia tetap menyempurnakan nazarnya kepada Allah SWT.
Hannah ialah isteri Imran, seorang pendita yang masyhur pada zaman tersebut. Hannah juga adalah saudara perempuan kepada Nabi Zakaria a.s. Beliau dan suami mengingini anak lelaki lalu Hannah bernazar jika mereka dikurniakan anak lelaki,anak itu akan dijadikan sebagai penjaga dan pengawal Baitul maqdis(rumah suci). Suaminya kurang bersetuju kerana bimbang yang dikandung itu anak perempuan. Namun beliau telah meninggal dunia sebelum anak tersebut dilahirkan. Setelah kematian suaminya, Hannah hanya mengadu nasib kepada saudaranya Nabi Zakaria a.s dan seorang lagi saudara perempuannya yang bernama Isya'.
Apabila tiba masa kelahiran, maka Hannah menerima bayi perempuan, dia bersyukur kepada Allah lantaran bersangka baik kepada Tuhannya. Dia membungkus bayi yang masih kecil itu dan meneruskan niat sucinya, lalu bayi itu diserahkan kepada pendita di Rumah Ibadat untuk dipelihara. Lantas berebut-rebutlah pendita-pendita untuk menjadi penjaga kepada Maryam, lalu diundi. Sebanyak 27 batang pena dicampakkan ke dalam sungai, Allah SWT telah menetapkan takdirnya, cuma pena Nabi Zakaria sahaja yang timbul, lalu Nabi Zakarialah yang bertanggungjawab untuk memelihara Maryam.
Maryam dijaga dengan penuh kasih sayang oleh Nabi Zakaria dan isterinya sehingga dewasa. Nabi Zakaria a.s juga telah membina sebuah bilik khusus di dalam rumah ibadat itu sebagai tempat untuk Maryam beribadat kepada Allah SWT. Maryam tinggal di dalam bilik itu, dia sentiasa beribadat, berpuasa dan bertasbih kepada Allah SWT. Setiap hari Nabi Zakaria akan masuk ke bilik itu untuk menghantar makanan kepada Maryam. Seringkali pula baginda mendapati makanan telah tersedia untuk Maryam, yang berupa buah-buahan yang bukan dalam musimnya. Ketika ditanya kepada Maryam, dari mana datangnya makanan itu, maka Maryam akan menjawab, ianya dari Allah.
Maryam, ahli ibadat yang tidak pernah keluar dari tempat peribadatannya, ia seorang wanita yang terkenal suci (dipanggil sebagai Virgin Mary dalam kitab-kitab Kristian), kemudiannya melahirkan Nabi Isa a.s dengan kehendak Allah SWT. Dalam ayat di atas dijelaskan bahawa kejadian Isa adalah seperti kejadian Adam a.s. Benar, Allah Maha Berkuasa menjadikan apa sahaja yang dikehendakinya......
Dalam surah Maryam : 22 - 32, diceritakan bahawa setelah dirinya hamil, maka Maryam telah memencilkan dirinya ke suatu tempat yang jauh dan ketika saat melahirkan telah tiba, Maryam bersandar pada sepohon pokok dan merintih kepada Allah SWT. Bimbang dan susah hati dengan keadaannya, dia merasakan lebih baik dia mati dan tidak dikenangi lagi.
Allah SWT telah menenangkan Maryam. Maryam diperintahkan agar menggegar pohon kurma dan memakan buahnya yang sedang masak dan minum air sungai yang segar supaya dia mendapat tenaga untuk melahirkan bayinya.
Setelah itu Maryam kembali kepada kaumnya dengan bayi di atas dukungannya. Sudah tentu dia mendapat kejian daripada kaumnya. Allah SWT telah mengajar kepada Maryam supaya diam membisu apabila berhadapan dengan kaumnya dan hanya menunjuk ke arah bayinya sebagai membalas kata-kata kaumnya.
Lalu kaumnya menyaksikan bayi itu berkata-kata;
"Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi. Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup. Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka. Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)." maksud ayat, surah Maryam: 311 - 33
Begitulah kisah Maryam dan kelahiran Nabi Isa a.s yang diceritakan di dalam Al-Quran. Maryam, dalam agama Kritian pula disebut sebagai Mary, di mana Mary adalah Mother of God. Isa pula disebut sebagai Jesus, adalah son of God. Al-Quran telah menolak dakwaan ini. Sesungguhnya Allah Tuhan Yang Maha Esa, tidak beranak, tidak pula diperanakkan. Maha Suci Allah daripada dipersekutukan dengan sesuatu;
Tiadalah layak bagi Allah mempunyai anak. Maha Sucilah Ia. Apabila menetapkan jadinya sesuatu perkara, maka hanyalah Ia berfirman kepadanya: “Jadilah engkau”, lalu menjadilah ia. Surah Maryam : 35
Dalam agama Kristian cerita kelahiran Nabi Isa agak berbeza. Mary (Maryam) telah merancang untuk berkahwin dengan seorang pemuda yang baik bernama Joseph. Joseph berketurunan Nabi Daud a.s dan bekerja sebagai tukang kayu. Dia amat gembira kerana akan mengahwini Mary.
Apabila Mary memberitahu tentang kedatangan Malaikat Jibril dan kehamilannya kepada Joseph, dia amat sedih. Dia berasa ragu-ragu dengan apa yang diceritakan Mary. Namun pada malamnya dia telah bermimpi didatangi malaikat yang sama dan menjelaskan bahawa Tuhan telah memilih Mary untuk menjadi ibu kepada anakNya, yang akan menjadi 'Penyelamat Ummat Manusia'. Joseph mesti meneruskan perkahwinan itu dan memelihara anak yang bakal lahir. Anak itu hendaklah dinamakan sebagai 'Jesus'.
Joseph berasa senang hati dan berkahwin dengan Mary. Mereka telah berpindah ke Baitullaham (Bethlehem). Mereka telah menempuh perjalanan yang jauh dan akhirnya sampai ke bandar tersebut. Malangnya tiada tempat untuk mereka menumpang sedangkan masa untuk Mary melahirkan bayinya telah tiba. Akhirnya mereka dibenarkan berlindung di sebuah tempat ternakan binatang. Di situlah Jesus dilahirkan....(sumber: Childern's Picture Bible).
ISA AL-MASIH DAN MUHAMMAD SAW
Dalam al-Quran dijelaskan bahawa Nabi Isa a.s telah memberitahu kaumnya bahawa akan datang seorang nabi dan rasul selepasnya yang bernama 'Ahmad' (Muhammad).
Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: “Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku – bernama: Ahmad”. Maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: “Ini ialah sihir yang jelas nyata!” As-Saff : 6
Namun perkara ini telah dirahsiakan dan dihapuskan daripada kitab-kitab mereka lantaran mereka tidak berpuas hati dengan kehadiran Nabi Muhammad SAW yang turun dari Bangsa Arab. Mereka amat berharap agar Nabi yang dimaksudkan akan lahir dari kaum mereka seperti nabi-nabi terdahulu iaitu daripada Bani Israel. Sifat ego telah menyebabkan mereka menolak kebenaran yang datang daripada Allah SWT.
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu ingkarkan keterangan-keterangan Allah, padahal Allah sentiasa menyaksikan apa yang kamu lakukan?”
Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu menghalangi orang-orang yang beriman daripada menurut jalan jalan (ugama Islam), kamu hendak menjadikan jalan Allah itu bengkok terpesong, padahal kamu menyaksikan (kebenarannya)? “Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.
Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman.
Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Quran), dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad, s.a.w)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (ugama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus).
Surah ali-Imran : 98 : 101 Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu menghalangi orang-orang yang beriman daripada menurut jalan jalan (ugama Islam), kamu hendak menjadikan jalan Allah itu bengkok terpesong, padahal kamu menyaksikan (kebenarannya)? “Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.
Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman.
Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Quran), dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad, s.a.w)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (ugama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus).
No comments:
Post a Comment