Bersembang dengan suami lewat petang semalam membuat saya terfikir akan kebenaran betapa bertuahnya menjadi seorang muslim. Suami baru saja pulang dari Scarborough, menyampaikan ceramah kepada pelajar-pelajar kita dari beberapa buah universiti di sini. Kebetulan beliau bertemu dengan seorang pelajar al-Azhar, Mesir yang turut bersama dalam program tersebut. Pelajar itu datang ke sini setiap kali cuti panjang untuk bekerja di ladang-ladang bagi membiayai pengajiannya di al-Azhar.
Menurut suami pelajar itu memberitahu bahawa majikannya sangat suka kepada pekerja Melayu kerana berdisiplin dan tidak minum arak. Mereka juga amanah dan rajin bekerja. Majikannya tahu bahawa mereka perlu solat dan menetapkan 15 minit untuk waktu solat, namun dia dan kawan-kawannya hanya mengambil masa 10 minit saja untuk solat, kemudian terus kembali ke tempat kerja. Sikap mereka yang baik ini sangat menarik perhatian majikan mereka. Oleh sebab itu mereka mudah mendapat pekerjaan di sini.
Daripada pengalaman saya sendiri, rakan-rakan staf di tempat kerja tidak bermasalah dengan amalan saya sebagai seorang muslim. Ada yang telah biasa dan faham dengan Islam dan ada yang baru pertama kali berpeluang bergaul dengan seorang muslim seperti saya. Seorang staf yang bekerja dengan saya bertanya apa agama saya. Saya jawab Islam. Dia pelik bila saya datang pakai scarf, apakah saya perlu memakainya setiap masa? Saya jawab, tidak, cuma di hadapan lelaki yang bukan family. 'Oh, sekiranya Jay datang, awak kena pakailah ye?(Jay adalah Community Manager kami, dia seorang saja 'expected gentleman' yang mungkin datang ke rumah itu selain dari orang 'handy mandy' kerana kedua2 tenant di rumah itu perempuan, jadi semua carer adalah perempuan). Saya jawab kepadanya, 'benar'.
Saya bekerja di rumah kedua pula, di sini lagi mudah kerana telah ada seorang muslim yang bekerja. Mereka telah faham dengan rutin seorang muslim. mereka bukan saja suruh saya solat, malah ada antaranya yang pesan supaya saya 'pray' untuk dia sekali! Alhamdulillah, Allah mudahkan urusan hambanya.
Bila bercakap mengenai ibadat puasa, mereka sangat kagum dengan kita yang boleh berpuasa seharian kerana menunaikan tuntutan agama. Ramai yang terkejut, 'not even water?' Itulah yang biasa mereka tanya bila saya kata puasa tu tak boleh makan dan minum dari pukul 3 pagi hingga maghrib (macam upin dan ipin plak).
Baru-baru ini kami disyaratkan dengan dress cord, siap dengan arahan memakai tudung hitam bagi yang bertudung. Setahu saya, saya jelah yang pakai tudung di situ! Saya tak berapa minat pakai tudung hitam, selalunya saya pakai tudung berwarna cerah dan bersulam, mereka pula gemar membelek manik dan corak sulaman tudung saya.
Iffah, puteri saya yang belajar di Durham Johnston pula, menceritakan bahawa terdapat kawan-kawannya yang tolong jaga auratnya. Mereka susah hati bila masa P.E, sekiranya Iffah melompat dan ternampak lehernya, sedangkan tiada pun pelajar lelaki di situ kerana mereka melakukan aktiviti berasingan untuk subjek tersebut.
Kebelakangan ini kami sibuk mencari rumah yang sesuai yang berdekatan dengan tempat kerja untuk disewa. Apa yang menghairankan, banyak rumah yang diklankan dengan syarat 'no smokers'. Hairan, kerana tidak pernah pula saya tengok di negara kita ada pemilik rumah sewa yang bagi syarat sebegitu. Iya, kebanyakan ulama kita mengharamkan rokok kerana ayat al-Quran menegaskan; jangan kamu campakkan diri kamu ke lembah kebinasaan!
Mungkin di beberapa tempat di England atau UK amnya, kita lihat terdapat permusuhan antara orang Kristian dan orang Islam seperti yang berlaku di Leceister baru-baru ini. Namun apa yang saya faham, bandar-bandar seperti Leceister, Manchester dan beberapa bandar seumpamanya telah dikuasai oleh orang-orang Islam dari Pakistan dan Bangladesh. Sebahagian besar daripada mereka adalah imigran yang datang ke sini, menetap dan membuat masalah di sini. Mereka orang-orang islam yang telah hilang arah agama, namun masih dikenali sebagai muslim. Maka personaliti buruk yang mereka hidangkan kepada masyarakat Barat itulah yang menjadi modal pihak tersebut untuk menyerang Islam.
Sepanjang setahun di sini kami sekeluarga tidak bermasalah dengan 'agama' yang menjadi pakaian kami. Malah terasa mulia pula bila berurusan, mereka tanya, "kamu tak minum alkohol kan?". Itu pula soalan pihak yang menguruskan gereja di hadapan rumah saya ini, bila kami ingin menyewa dewan gereja untuk program kami. Mereka tak benarkan alkohol di dalam gereja walupun itulah minuman kegemaran mereka.
Benar, Islam agama yang mulia, cuma benarkan yang baik-baik saja, tiada alkohol, tiada rokok, umat yang berdisiplin, taat beribadat, menjaga amanah, ah! Betapa mulianya menjadi seorang muslim, di mana saja kita berada kita kan dipandang mulia dengan agama ini, Islam yang mulia, umatnya dimuliakan!
Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamumu, dan telah Aku cukupkan kepada kamu
nikmat-Ku, dan telah Aku ridhai Islam sebagai agama bagi kamu... (Al Maa-idah: 3)
nikmat-Ku, dan telah Aku ridhai Islam sebagai agama bagi kamu... (Al Maa-idah: 3)