Payahkah menjadi ibu dan bapa? Kalau melihat kepada keadaan saya di rumah ini, oh! betapa kalutnya berdepan dengan anak-anak yang pelbagai peringkat usia. Dengan ilmu keibubapaan yang amat tohor ini, seringkali saya gagal mengawal diri, terjerit-jerit kepada anak-anak; jangan gaduh; diamlah skit; kenapa ni; nanti orang sebelah panggil polis baru engkorang tau! Itu antara ayat-ayat kurang sabar yang keluar dari mulut saya! Nak buat macammana, saya phobia dengan jiran-jiran, orang putih di kiri kanan, depan belakang, rumah mereka senyap sunyi sahaja, rumah kita saja yang riuh rendah! Sabar jelah!
Alaa...main bola pulak kat ruang tamu, pecah berderai lampu yang tergantung, Si Nabhan punya angkara, makkk oooiii, tersirap darah! Keluar main dengan kawan-kawan, entah pegi mana, balik dengan kasut berlumpur, pijak atas karpet, anak bertuah!
Itu antara fenomena setiap hari saya sebagai ibu. Namun kebelakangan ini, saya rasa sikap panas baran saya dengan perangai anak-anak agak kendur. Pekerjaan saya sebagai carer kepada 'people with learning disabilities' sering mengingatkan saya bahawa saya sangat beruntung punya anak-anak yang sempurna. Iya, syukur ya Allah kerana mengurniakan aku anak yang sempurna kaki tangannya, dengan kaki itulah dia mampu menendang bola yang memecahkan lampu itu, dengan kaki itulah dia boleh ke sana sini, bermain dengan gembira bersama kawan-kawan, betapakah kalau anakku tidak punya kaki yang sempurna sebagaimana PC yang kuuruskan ini, berjalan terdengkot-dengkot, tidak stabil dan sentiasa perlu dibantu duduk bangunnya.
Anak-anakku petah bercakap, ringan saja lidahnya menyebut patah-patah kata yang diingini, mereka yang kujaga ini, punya suara yang sukar dimengerti. Sedih melihat keadaan mereka, aqal yang jauh ketinggalan daripada usia......
Memerhati dengan mata hati, terasa pilu dengan sikap sendiri. Mengapa aku selalu mengikut kata hati, kekadang marahku menurut nafsu, anak bergaduh, anak menyepah buat sampah, bermain berkejar dalam rumah, malas belajar; sabarlah wahai diri, tinggikah suaraku ini menegur anak-anak? Ya, aku perlu juga tinggikan suara, suara ibu mesti tinggi dari pada suara anak-anak, rotan? Juga ajaran agama! Ah, apa juga cara, anak mesti dibetulkan.
"Bila saya nak marahkan JN, saya baca bismillah dan cubit sikit dia",!
Begitu kata salah seorang ahli usrah kami bila membincangkan masalah marahkan anak. Ilmu yang amat jarang saya amalkan, adakah keterlupaan saya itu kerana syaitan telah mengusai diri ketika marah? Nauzubillah! Memang syaitan sentiasa mengambil peluang memperkudakan kita ketika kita marah.
"Bila saya nak marahkan JN, saya baca bismillah dan cubit sikit dia",!
Begitu kata salah seorang ahli usrah kami bila membincangkan masalah marahkan anak. Ilmu yang amat jarang saya amalkan, adakah keterlupaan saya itu kerana syaitan telah mengusai diri ketika marah? Nauzubillah! Memang syaitan sentiasa mengambil peluang memperkudakan kita ketika kita marah.
Teringat semasa kecil, memang selalu saya kena marah oleh ibu, bukan saja leterannya penuh telinga malah sekali sekala rotan juga hinggap di punggung dan betis, tali pinggang sampai batang penyapu semuanya kena.....ade aje yang aku buat silap.....pasal balik lambat, pasal jaga adik, pasal lambat mengaji, pasal tak hormat orang tua dan macam-macam pasal lagi....
Disebabkan selalu kena marah, kadang-kadang saya rasa mak tak sayangkan saya, rasa terpinggir dan berbagai rasa yang tidak selesa. Kini bila menjadi ibu kepada putera dan puteri ini, terdetik juga dalam hati ini, adakah perasaan yang sama dalam hati sanubari mereka bahawa mereka dimarahi kerana tidak disayangi? Mungkin......
Ibu bapa dahulu kala, marah senang saja bagi mereka, jangan ada yang tidak kena, panjang tangan mereka menghala kepada kita. Pentingnya segala yang salah mesti segera diperbetulkan, siapa yang jahil mesti segera diajar. Pun begitu anak-anak takut dan hormat akan ibu bapa . Mulut tidak berkata, walau pedih hati dan body, terima sahaja. Itulah cara saya adik beradik serta teman-teman sepermainan dibesarkan. Kini kami semua telah menjadi ibu bapa. Apa yang pasti semakin dewasa, semakin terasa harga pengorbanan dan kasih sayang kedua orang tua. Bahagia yang saya kecapi hari ini adalah makna dari sejuta kesabaran dua insan yang bergelar ibu dan bapa. Saya akur, apa jua yang cuba saya lakukan untuk keduanya, tidaklah dapat menandingi kasih dan jasa mereka buat saya, apatah lagi buat ayah yang telah pergi menemui Ilahi. Hanya Allah sahaja yang layak menganugerahkan pemberian terbaik untuk ibu bapaku.
Menjadi ibu yang berhikmah, mendidik anak dengan berhemah. Sabar seorang ibu memang sering tersasar dengan kerenah anak-anak yang bermacam. Marah seorang ibu adalah marah sayang! Ya Allah Suburkanlah kesabaran dalam diriku terhadap anak-anakku dan bantulah aku untuk membantu mereka menjadi hamba-hambumu yang taat! Wallahualam.
No comments:
Post a Comment