Dua minggu lepas saya dikunjungi oleh 2 orang
Jehovah Witnesses, dan ini adalah kunjungan mereka yang kedua semenjak saya berpindah ke Darlington. Mereka merupakan ahli persatuan Jehovah Darlington . Keahlian persatuan ini sekarang sekitar 200 orang. Sebenarnya saya agak sibuk. Kebetulan seorang sahabat meminta saya menjaga tiga puteri comelnya sementara dia menyelesaikan sedikit urusan. Namun tidak sampai hati pula saya untuk menolak kehadiran mereka memandangkan mereka telah berdiri dengan senyuman mesra di depan pintu.
BERKENALAN
Kunjungan mereka yang pertama adalah pada bulan Desember lepas, baru dua tiga minggu saya berpindah ke rumah ini. Ketika itu Krismas baru saja berlalu. Jadi, saya mengambil peluang untuk bertanya pendapat mereka mengenai Hari Krismas kerana saya difahamkan bahawa Jehovah tidak meyambut Krismas. Tidak ada pokok Krismas di rumah mereka! Kenapa ye?
Menurut mereka Jehovah Witnesses tidak dapat menerima bahawa 25 Desember sebagai tarikh kelahiran Jesus kerana bulan Desember adalah musim sejuk. Adalah mustahil biri-biri berada di luar dan kandang kosong pada masa tersebut kerana pada lazimnya biri-biri akan berada di dalam kandang yang tertutup pada musim sejuk. (Sebaliknya menurut Kristian, Jesus dilahirkan di dalam kandang biri-biri yang dikosongkan dan biri-biri berada di luar pada masa tersebut). Dengan hujah tersebut maka, Jehovah Witnesses menolak bahawa 25 Desember sebagai tarikh kelahiran Jesus. Justeru itu mereka tidak menyambut Krismas!
Bagi Jehovah Witnesses, mereka percaya bahawa Jesus dilahirkan pada musim bunga, tarikh sebenar mengikut kalendar Yahudi, jadi jika diaplikasi kepada tahun Masihi ianya akan berubah dari setahun ke setahun (macam Hari Raya kita yang berubah-ubah dari setahun ke setahun). Pada tahun ini tarikhnya jatuh pada 17 April baru-baru ini. Jadi kedatangan mereka yang kedua ini adalah untuk menjemput saya bersama-sama meraikan majlis yang mereka adakan pada tarikh tersebut di Education Village (Sekolah Iffah).
KEMATIAN DAN ALAM AKHIRAT
Perbincangan kami yang seterusnya berkisar kepada kematian dan selepasnya. Saya bertanya apakah yang mereka tahu mengenai kehidupan selepas mati. Mereka tidak percaya bahawa adanya kebangkitan dan hari akhirat, namun mereka tahu sebahagian agama percaya kepada adanya kehidupan selepas mati. Dia lalu membuka bible kecilnya dan membacakan kepada saya ayat yang menyebut bahawa apabila seseorang itu mati maka otaknya tidak berfungsi, tubuh badan tidak bergerak, bla..bla..bla..(saya lupa mencatat bible apa dan ayat berapa kerana saya cuma fikir apa yang saya akan kata, dan kurang perhati apa yang diperkatakan). 'Bagaimanakah manusia yang mati boleh hidup kembali sedangkan semua yang ada padanya tidak lagi berfungsi? Dia membuka risalah yang dibawa, kebetulan memang pada hari itu dia membawa risalah mengenai bagaimana menghadapi kematian untuk saya. Dia menunjukkan gambar lilin yang menyala dan sebahagiannya telah terbakar, lalu berkata; Lihat lilin ini, ia umpama kehidupan kita, api ini hidup selagi lilin ini ada, apa bila lilin ini habis maka padamlah api, apa yang tinggal? begitulah kehidupan kita, apa bila kita mati, nyawa kita habis dan jasad kita akan musnah, bagaimana kita boleh hidup kembali? Saya bertanya, adakah mereka percaya bahawa Tuhan itu Maha Berkuasa? Mereka mengiyakan, bahkan mereka sangat yakin dengan kekuasaan Tuhan. ('God is Powerful', mereka menyebutnya berulangkali). Senang saja.... sekiranya Tuhan benar-benar berkuasa, maka apakah susahnya menghidupkan manusia yang telah mati, bahkan Tuhan jugalah yang menciptaka Adam daripada tiada kepada ada! Iya, kata mereka, Tuhan mencipta Adam dari pada tanah.
KEBANGKITAN DAN ALAM AKHIRAT
Saya menerangkan 'cycle' kehidupan menurut Islam: hidup-mati-hidup kembali-alam akhirat-hisab-syurga/neraka. Saya menjelaskan bahawa kita wajib beriman dengan hari kebangkitan dan alam akhirat. Salah seorang dari padanya berkata; Tidak ada orang yang mati boleh memberitahu kita tentang apa yang berlaku kepada mereka selepas kematian, jadi bagaimana kita boleh tahu apa yang akan terjadi. Saya bertanya adakah mereka percaya kepada Nabi-nabi terdahulu, Adam, Noah, Abraham, David, Samuel (sekadar menyebut beberapa nama yang saya tahu menurut bible). Mereka mengiyakan dan kelihatan gembira bila saya menyebut sedikit tentang kisah nabi-nabi tersebut. Mereka menyambung cerita saya.....Seterusnya saya bertanya dari mana kamu tahu cerita nabi-nabi ini sedangkan kamu tidak ada pada masa tersebut? Mereka menjawab 'dari bible'. Saya berkata; Oh! Samalah, kami mengetahuinya dari al-Quran, Al-Quran bukan saja menceritakan perihal nabi-nabi terdahulu bahkan di dalamnya juga diceritakan tentang 'future' iaitu Hari Kebangkitan dan pembalasan.
BUKTI KEADILAN ALLAH SWT
Seterusnya saya bertanya kepada mereka, apakah mereka percaya bahawa manusia adalah makhluk Tuhan yang paling istimewa di kalangan semua makhluk yang ada? Maksudnya, kejadian manusia berbeza dari pada makhluk-makhluk lain seperti binatang dan tumbuhan. Mereka mengakui keistimewaan manusia kerana manusia ada kehendak (freewill, kata mereka). Jadi, saya berkata bahawa ramai manusia yang mengikut nafsu dan memilih untuk melakukan kejahatan, kezaliman dan penganiayaan sesama manusia di dunia ini. Ramai pula mangsa daripada perbuatan jahat itu yang tidak mendapat keadilan di dunia ini. Maka di akhirat nanti mereka dijanjikan dengan keadilan tersebut, Tuhan akan membalas segala perbuatan jahat manusia.'
'Tuhan Maha Penyayang, Tuhan tidak akan menyiksa manusia kerana Tuhan kasihkan manusia.' Begitulah tohornya aqal dan keimanan mereka terhadap Tuhan! Saya memandang ke arah tiga kanak-kanak yang sedang bermain di hadapan kami seraya berkata; Saya sangat sayangkan anak-anak saya, namun kadang-kadang saya tetap marahkan mereka dan menghukum mereka kerana kesalahan yang mereka lakukan....'Iye, kami lakukan perkara yang sama terhadap anak-anak kami', kata mereka. Jadi, menghukum manusia atas perbuatan jahat dan kesalahan yang mereka lakukan tidak berlawanan dengan sifat kasih Tuhan kepada manusia, kata saya. (Malah di mana-mana tempat di dunia ini pun guna konsep yang sama, menghukum orang yang melakukan kesalahan-xdan nak cakap masa tu). Menghukum manusia atas kesalahan dan memberi ganjaran atas kebaikan adalah bukti keadilan dan kasih sayang Allah kepada makhluknya, Itu 'point' sebenar yang ingin saya sampaikan kepada mereka!
Begitulah antara perkara-perkara yang kami bincangkan dalam pertemuan yang kedua lalu. Saya tidak pasti sama ada mereka akan terus mengunjungi saya lagi selepas ini, namun pintu rumah saya sentiasa terbuka untuk mereka. Semoga pintu hati mereka juga terbuka untuk menerima kebenaran dan hidayahNya! Ameen....