If I Had My Child to Raise Over Again by Diane Loomans

If I Had My Child to Raise Over Again by Diane Loomans
If I had my child to raise all over again,
I'd do less correcting, and more connecting,
I'd take my eyes off my watch, and watch with my eyes.
I would care to know less and know to care more.
I'd take more hikes and fly more kites.
I'd stop playing serious, and seriously play.
I'd run through more fields and gaze at more stars.
I'd do more hugging, and less tugging.
I would be firm less often, and affirm much more,
I'd build self-esteem first, and the house later.
I'd teach less about the love of power and more about the power of love.

Friday, 19 February 2010

BEST FRIENDS FOREVER.....

 


FATIN RAIHANAH & IFFAH NADHILA


  
QISTINA, FATIN, NADHILA & WINA



 
NUSAIR & MIOR
 
UCAI & DIKNA
  
NABHAN & AFIF 
  
DIKNA, IFFAH & BABY 
 
Iffah & Anis
Ummi & Ayah

Thursday, 18 February 2010

BELAJAR UNTUK MENGAJAR


Mempunyai anak seumpama Nabhan menjadikan saya seorang ibu yang berusaha. Saya masih ingat lagi ketika diberitahu oleh kaunselor sekolah saya mengenai kemungkinan Nabhan mengalami sindrom 'autisme mild'. Balik saja ke rumah, saya berusaha mencari apakah 'autisme'. Melengkapkan lagi sangkaan tersebut, hujung minggu itu saya dan suami membawa Nabhan ke klinik pakar kanak-kanak. Dr Oh, seorang senior pediatrician, mengamati Nabhan yang dibiarkan bermain dengan toys dalam biliknya sambil beliau berbual-bual dengan kami mengenai perkembangan Nabhan. Apa bila melihat Nabhan, beliau menggeleng-gelengkan kepala; "bukan autisme," katanya. Kanak-kanak autisme tidak pandai bermain dengan mainan. Apabila diberikan kereta, dia akan memegangnya saja tanpa menggeleknya, begitu juga apa bila mendapat bola, dia akan pegang tanpa menyepak, menendang atau membalingnya. Mereka tidak boleh berkomunikasi dengan benda alam dan sentisa berada dalam dunia mereka sendiri. Nabhan tidak begitu. Kemahiran sosialnya amat baik dan dia pandai bermain dan berkawan walaupun tidak tahu bercakap. Lega terasa di hati. Itu ketika Nabhan beumur 3 - 4 tahun.

Selain itu saya juga diberitahu mengenai ADHD (Attention-Deficit Hiperactivity Disorder). Saya fikir mungkin yang ini lebih berkaitan dengan Nabhan. Ciri-ciri seperti hiperaktif, suka menyepah dan kehilangan barang-barang kepunyaannya, mudah hilang perhatian, cepat menukar haluan, suka membuat bising dan 'uncontrollable', serta beberapa ciri yang saya baca di internet, saya perhatikan sangat sinonim dengan attitude Nabhan. Segala yang ada padanya sentiasa membuat saya naik darah. Seringkali juga saya terbabas, hilang kesabaran dan jadilah anak anugerah Tuhan ini mangsa keadaan. Saya mewarisi kebanyakan ibu bapa yang jahil dalam ilmu keibubapaan, kemahiran berkomunikasi yang saya belajar sepanjang kerjaya sebagai pendidik terbang entah ke mana!

Hati saya menjadi lebih tenang apa bila mengetahui bahawa Nabhan mengalami Masalah Pembelajaran Spesifik Disleksia. Antara perkara pertama yang menarik perhatian saya adalah apa bila doktor memberitahu saya bahawa pengidap disleksia telah ramai yang berjaya, bahkan ada yang menjadi tokoh yang ternama. Mereka berjaya kerana ada seseorang yang sentiasa membantu mereka. Ya! Siapa lagi yang akan membantu Nabhan, kalau bukan kami ibu dan ayahnya! Pengidap disleksia mempunyai IQ normal, bahkan kadang-kadang mereka seorang yang pintar. Mereka cuma mengalami kecelaruan dalam saraf otak mereka menyebabkan golongan ini mengalami kesukaran menganalisis huruf dan angka. Keadaan ini bukan saja membawa kepada masalah kesukaran menulis dan membaca, malah mereka sentiasa keliru dan bermasalah dengan jarak.

Dalam masalah Nabhan, saya mengenalpasti beberapa kelemahan padanya; dia sukar membezakan kanan dan kiri sehingga melebihi usia 9 tahun. Sehingga usianya 7 tahun dia masih lagi bertanya," ini tangan makan ke tangan tahi". Dia amat confuse dengan huruf b dan d, p dan q, m dan w, n dan u. Hampir semua nombor ditulis dalam keadaan terbalik (mirror image). (sehingga kini dia seringkali menulis angka 5,6,7 dalam keadaan terbalik). Tulisan Nabhan juga tidak kemas, ini kerana dia tidak boleh mengagak jarak antara perkataan dan tidak boleh mengagak tinggi rendah dengan baik. Jadi tulisannya dalam pelbagai saiz dan jarak yang tidak sekata. Nabhan juga selalu keliru dengan warna hijau dan biru. Bagi mengenali warna hijau, dia menggelarnya sebagai 'warna rumput'. Dia juga mempunyai daya tumpuan (attention span) yang pendek. Ketika berusia 7 tahun dia cuma boleh bertahan selama 10 - 15 minit saja jika saya mengajarnya. Selain itu dia juga mudah lupa apa yang diajar.

Di sekolah pula, Nabhan akan kehilangan semua barang-barangnya. Setiap hari saya terpaksa membekalkannya alatulis seperti pensil, pemadam dan pembaris. Pemadam saya potong dua atau tiga untuk berjimat. Selalunya saya membeli peralatan tersebut dalam jumlah yang banyak sehinggakan pada satu hari pekedai stationary di Tasek Gelugor tu bertanya, "kak nak buat apa selalu beli barang banyak-banyak ni?". Mungkin dia ingat saya nak berniaga kot!

Disebabkan tidak faham dan tidak boleh mengikuti apa yang diajar oleh guru, Nabhan sering membuat kacau dalam kelas. Dia tidak duduk diam. Sering berjalan-jalan dalam kelas dan mengacau pelajar lain, begitulah yang sering dikhabarkan oleh guru-guru Nabhan kepada saya. Selalu juga Nabhan didenda. Satu hari Nabhan balik marah-marah. Bila saya tanya kenapa? Dia kata cikgu suruh berdiri junjung kerusi! Kesian juga, masa tu bulan puasa, mujur juga hari tu dia tidak berpuasa. Saya dan suami sebenarnya sangat faham betapa susahnya guru-guru dengan kehadiran Nabhan di sekolah tersebut. Mungkin kerana 'keistimewaannya' Nabhan amat dikenali di sekolah, dari pada pejabat sampailah ke tukang kebun, semua tahu siapa dia NABHAN!

Di rumah, saya akan meluangkan masa yang banyak untuk mengajar Nabhan berbanding adik dan kakaknya. Ya! Itulah saat yang terlalu sukar dalam hidup saya. Di tahun 1, Nabhan masih belum mengenali A B C. Kalau melihat kepada tubuh dan rupa parasnya, dia nampak seperti kanak-kanak normal yang lain, malah sebahagian kawan-kawan saya mengatakan dia kelihatan seperti budak cerdik!

Pelbagai cara saya guna dan cuba untuk mengenalkan Nabhan dengan huruf dan angka. Carta A B C huruf besar dan huruf kecil saya gunting satu persatu. Buat permulaan saya kenalkan dia dengan huruf-huruf vokal dan bunyinya. Kemudian barulah saya ajarkan huruf-huruf konsonan. Amat memeritkan apabila setiap huruf yang saya ajarkan, saya terpaksa mencari 'clue' untuk dia mengingatinya, contohnya B-boy, C-cawan. 'Clue' yang lebih digemarinya lebih mudah diingati seperti Y-yoyo. Huruf-huruf konsonan yang telah dikenalinya, saya pada padankan dengan huruf vokal supaya dia boleh membunyikannya. Setelah itu, barulah saya mengajarnya membaca menggunakan buku 'Bacalah Sayang' yang digunakan oleh pelajar-pelajar tahun satu. Nabhan boleh membaca dengan cara merangkak-rangkak ketika berada di tahun dua.

Teknik-teknik mengajarnya kebanyakannya saya pelajari di Two-way Centre. Contohnya untuk mengatasi masalah daya tumpuannya yang pendek, saya mesti peka terhadap kegelisahannya. Apa bila dia sudah kelihatan jemu, saya mesti cepat-cepat menukar aktiviti untuk seketika contohnya dengan memintanya mengambilkan air. Setelah itu bolehlah saya minta dia sambung kembali aktiviti belajar. Itu pun kadang-kadang terpaksa ambil masa 'iklan' yang lama sikit.

Oleh kerana Nabhan sukar mengenali dan memilih buku teks dan buku latihan yang banyak, maka saya menanda semua buku-bukunya dengan stiker berwarna, untuk memudahkannya mengenali buku-buku tersebut, contohnya, buku Bahasa Melayu ditanda dengan warna merah. Ini kerana bilangan buku Bahasa Melayu sahaja 3 - 4 buah. Setiap jenis buku ditanda dengan warna yang sama. Stiker yang sama akan dilekatkan pada jadual hariannya. Nabhan dikehendaki mengemas sendiri buku-buku dalam begnya mengikut jadual kelasnya setiap hari berpandukan warna tersebut.

Saya juga diajar supaya tidak memberi latihan kepada Nabhan dalam bentuk buku, sebaliknya saya disyorkan supaya menggunting satu atau dua  helai daripada buku tersebut dan memberikannya kepada Nabhan. Ini untuk mengelakkan Nabhan daripada merasa berat dan terbeban dengan latihan-latihan tersebut.

Penggunaan Bahasa Inggeris dalam subjek sains dan matematik juga menjadi satu lagi masalah kepada saya untuk mengajar Nabhan. Nabhan yang baru saja boleh membaca dengan agak baik semasa di tahun tiga jauh ketinggalan dalam dua subjek tersebut. Di sekolah Nabhan boleh dikatakan tidak belajar dua subjek itu kerana tidak faham dan langsung tidak boleh membaca atau menulis dalam Bahasa Inggeris. Buku-buku latihan matematik dan sainsnya kosong sahaja. Setakat yang saya terdaya saya cuba juga membantunya menjawab soalan dalam buku-buku tersebut di rumah. Itu pun saya buat sekerat jalan sahaja apa bila menyedari bahawa Nabhan cuma menulis apa yang saya beritahu tanpa memahami apa yang ditulisnya. Saya rasa cara itu membazirkan masa sahaja. Lebih baik saya tumpukan mengajarnya silibus matematik dan sains tahun satu kerana di situlah tahapnya. Ya, kadang-kadang saya melihat golongan pelajar bermasalah seperti Nabhan amat teraniaya dengan PPSMI yang dilaksanakan. Nabhan yang sangat meminati subjek sains itu terhalang pembelajarannya kerana kekangan bahasa.

Begitulah serba sedikit pengalaman saya membimbing Nabhan. Sesungguhnya saya amat berterima kasih kepada Puan Silvianne Bonade dan staf-staf  di Two-way Centre yang telah sudi berkongsi ilmu teknik mengajar kanak-kanak disleksia. Puan Silvianne adalah seorang sukarelawan asing yang telah senior begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh ingin membantu kanak-kanak bermasalah pembelajaran di pusat tersebut. Staf lain yang saya jumpa berbangsa India dan Cina. Melayu? Tiada pula......















Thursday, 11 February 2010

IFFAH NABIHA



Iffah Nabiha atau panggilan mesranya di rumah, 'kakak', kini menginjaki usia 12 tahun. Membesar sebagai anak sulung Iffah sentiasa menjadi perhatian keluarga kedua belah pihak saya dan suami. Apatah lagi Iffah adalah cucu sulung bagi keluarga sebelah ayahnya. Cucu pertama yang amat ditunggu-tunggu kepulangannya oleh ibu-ibu saudaranya yang masih kecil setiap kali cuti persekolahan. Di sebelah saya pula Iffah adalah cucu perempuan kedua setelah yang anak kakak saya yang pertama;  kini beliau telah pun beranak tiga. Maka sejak lahirnya Iffah memang manja dan menjadi tumpuan keluarga. Cuma disebabkan cepat beroleh adik baru, dalam usia 1 tahun lebih, mungkin semasa kecilnya Iffah agak sensitif dan mudah berjauh hati sekiranya tidak mendapat layanan atau tidak dituruti kemahuannya.

Iffah memulai alam persekolahan ketika berusia 4 tahun, di Tadika Amal, Tasik Gelugor. Saya mengambil keputusan untuk memasukkannya ke sekolah kerana melihat keghairahannya ingin ke sekolah. Setiap hari dia bertanya bila dia nak bersekolah.Dia seorang anak yang bijak. Saya masih ingat ketika sekolah mengadakan Hari Ihtifal pada akhir tahun, Iffah dipilih oleh gurunya untuk membuat persembahan bersama pelajar-pelajar 6 tahun walaupun beliau baru 6 bulan berada di kelas 4 tahun. Betapa rancak dia menari sambil menyanyi lagu 'Que Serra Serra', berpusing-pusing dengan gaunnya yang kembang!
Dari usia 4 tahun sehingga sekarang (12 tahun), Iffah telah belajar di 4 buah sekolah. Setelah 2 tahun di Tadika Amal, kami memohon untuk memasukkan Iffah ke Sekolah Tahfiz Islah. Memang hasrat kami untuk melihat Iffah mahir membaca al-Quran di samping dapat menguasai bahasa Arab dan ilmu fardhu ain. Iffah sentiasa cemerlang dalam pelajaran dan mempunyai inisiatif yang kuat untuk berjaya. Walaupun saya sentiasa sibuk dengan adik-adiknya, dan kurang memberi perhatian terhadapnya namun dia sentiasa mendahului rakan-rakannya dalam setiap kali peperiksaan.

Sebagai anak sulung, Iffah selalu ingin berdikari. Sekolah Tahfiz Islah sebenarnya di sebelah rumah kami saja, walau pun begitu, Iffah yang berusia 8 tahun memohon untuk tinggal di asrama kerana merasa seronok tinggal bersama kawan-kawan dan mahu mengikuti sepenuhnya program sekolah tersebut.

Belajar di Tahfiz selam 3 tahun, Iffah ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Tok Bedur. Iffah kurang seronok sebenarnya, namun saya terpaksa melakukannya kerana saya mahu dia menjaga adiknya Nabhan (darjah 2) yang agak bermasalah di sekolah tersebut. Walaupun baru di sekolah itu Iffah mendapat perhatian guru-guru dan dilantik sebagai pengawas sekolah.


Iffah tidak lama di Sekolah Kebangsaan Tok Bedur, apa bila adiknya Nabhan keluar dari sekolah tersebut dan dihantar belajar di sebuah tahfiz di Bukit Pinang, kami memikirkan sekolah yang lebih baik untuk Iffah. Maka Iffah dipindahkan ke Sekolah Rendah Agama Al-Islah, iaitu sebuah sekolah agama di Pokok Asam, Kedah. Saya masih ingat lagi apa bila mamanya (ibu angkat Iffah) memuji bahawa Iffah adalah anak yang baik kerana taat dan menurut kata, di mana kami buat keputusan untuk menukar sekolahnya, dia ikut saja. Ya, dia memang anak yang baik kerana tidak pernah membantah apa saja keputusan yang kami fikirkan baik untuknya.


Apa bila saya dan suami membuat keputusan untuk berhijrah ke England, saya nampak bahawa dia kurang berminat, dia sangat sayangkan sekolahnya dan enggan berpisah dengan teman-teman rapatnya. Saya dan suami berusaha menerangkan tujuan dan kelebihan tinggal dan belajar di England. Betapa banyaknya pengetahuan baru dan pengalaman yang akan diperolehi nanti. Akhirnya Iffah akur juga dengan keputusan kami.

Iffah amat meminati pelajaran matematik. Sejak di Malaysia lagi, guru-gurunya sering memuji kebolehannya dalam matematik. Selain itu dia amat berbakat dalam bidang penulisan. Kemampuannya menulis saya kira telah melampaui rakan-rakan seusianya. Bagi memupuk minatnya itu, kami menggalakkannya membina blognya sendiri. Di situlah dia menumpahkan idea-ideanya dan mangasah bakatnya dalam bidang penulisan.

Kini, telah hampir 3 bulan Iffah belajar di Durham Johnston Comprehensive School. Dia semakin dapat menyesuaikan diri dan kemampuan berbahasa Inggerisnya pun semakin baik. Semoga Iffah terus menempa masa depan yang cemerlang dan semoga cita-citanya untuk menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah di Timur Tengah menjadi kenyataan! Ameen.











Wednesday, 10 February 2010

NABHAN


Ahmad Nabhan atau aan, bakal mencecah 11 tahun pada september 2010. Sepertimana anak-anak lelaki sebaya dengannya, Si Hero saya ini  masih mencintai dunia permainan di usianya. Meja study di kamarnya bukan disusun buku-buku dan alatulis tetapi penuh dengan deretan robot terutamanya transformer. Aan juga penggemar games dan sentiasa tenggelam dalam dunia gamesnya di hadapan monitor. Walaupun tidak senang dengan hobinya itu, namun saya terpaksa mengakui bahawa permainan itu banyak menyumbang kepada perkembangan mindanya.

Berbanding dengan adik beradiknya yang lain, membesarkan Nabhan adalah satu cabaran bagi saya. Nabhan seorang yang lasak (hiperaktif), dan hanya mula bercakap ketika berusia 5 tahun.  Semasa Nabhan berusia 4 tahun, kami telah membawanya berjumpa pakar kanak-kanak, Beliau telah mencadangkan supaya Nabhan di bawa ke klinik telinga. Ini kerana masalah pertuturan yang dihadapinya kemungkinan besar berkaitan dengan masalah pendengaran. Kanak-kanak yang tidak dapat mendengar percakapan orang di sekeliling sudah tentu tidak dapat mengembangkan bahasa percakapannya.

Dr Shah Jehan, pakar ENT Hospital Kubang Kerian, juga sahabat ayahnya, telah membantu membuat pemeriksaan ke atas Nabhan, alhamdulillah semuanya normal. Apa masalah Nabhan?
Semasa Nabhan berusia 6 tahun, kami telah membawanya berjumpa Neurologist di Unit Pediatrik, Hospital Pulau Pinang.  Dr Vikneswary (Dr Viky), adalah antara orang yang sangat mengambil berat dan bersungguh-sungguh ingin membantu Nabhan. Atas saranannya kami membawa Nabhan ke Prospect Rainbow, Children Centre yang terdapat di Pulau Pinang. Di sana kami menemui Psychologist Shareen, yang telah membuat assessment ke atas Nabhan. Hasilnya, perkembangan Nabhan di dapati 2 tahun kebelakang daripada kanak-kanak seusianya. Menurutnya, sekiranya tidak dibantu Nabhan kemungkinan akan mengalami Masalah Pembelajaran Spesifik Disleksia.

Maka, bermula dari situ kami menjadi pengujung tetap Hospital Pulau Pinang. Appointment Nabhan dengan Dr Viky berselang dengan appoinment dengan seorang lagi pakar ADHD (saya telah lupa namanya). Ini kerana di samping masalah pembelajaran, dia juga dianalisa sebagai kanak-kanak ADHD (Attention Deficit Hyperactivity Disorder). Bersabar sajalah, apa bila saya terpaksa memberikan Nabhan ubat setiap pagi sebelum ke sekolah untuk membantunya  mengurangkan sikap hiperaktif dan menumpukan perhatian kepada pelajaran. Saya dapati ubat-ubat tersebut tidak memberi kesan kepada Nabhan.

Di samping appointment di Hospital, kami juga mendapatkan khidmat daripada sebuah badan sukarela, Two-way Centre. Appointment sebulan sekali adalah untuk kami belajar bagaimana mengajar dan menguruskan Nabhan. Pn Silvian Bonade, seorang warga asing, adalah seorang sukarelawan yang bertugas di situ.. Kakitangan lain berbangsa India dan Cina. Sebenarnya saya amat kagum dengan mereka yang sanggup menjadi sukarelawan dan bersungguh-sungguh ingin membantu anak-anak kita.  Agak sukar bagi saya dan suami, suami terpaksa berkejar dari mahkamah ke  sekolah Nabhan untuk mengambilnya dan kemudian mengambil saya di sekolah disebabkan appointment adalah pada sebelah pagi. Saya amat berterima kasih kepada Penolong Kanan di SMK Bakti, Cikgu Fauzi yang amat memahami masalah Nabhan, beliau sentiasa membenarkan saya keluar pada waktu persekolahan sama ada untuk ke hospital atau ke Two-way Centre.

Ada sesuatu yang menarik perhatian saya semasa lawatan ke hospital, saya selalu meneliti senarai patient Dr Viky di buku appointment. Saya dapati sekira terdapat 15 nama, maka dua atau tiga orang saja anak-anak Melayu, yang lainnya Cina dan India. Saya berasa sangat terkilan dengan keadaan ini. Mereka pandai memanfaatkan peluang dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan, sedangkan kita yang mempunyai anak-anak bermasalah sering membiarkan dan menyerah kepada takdir. "Dah nasib dia, adalah rezeki dia nanti.....", begitulah keluhan ibu bapa sekiranya mempunyai anak-anak yang lembam. dan bermasalah pembelajaran. Pernah saya bangkitkan perkara ini kepada Pegawai Pendidikan khas, JPN Pulau Pinang.  Saya berharap mereka mungkin boleh membantu contohnya menjemput pihak hospital untuk membuat assessment kepada pelajar-pelajar di sekolah, namun responnya kurang memuaskan. "susah", katanya, sedangkan saya melihat ramai pelajar-pelajar di sekolah saya yang mempunyai masalah untuk belajar. Bayangkanlah, 5 orang pelajar tingkatan 4 di sebuah kelas yang saya ajar tahun lepas masih belum boleh membaca, di setiap tingkatan ada saja beberapa orang pelajar Melayu yang keciciran, tidak boleh membaca dan bermasalah menulis atau menyalin tulisan di papan hitam. Tinggal di kampung dan tidak berpelajaran pula, sememangnya kebanyakan ibu bapa jahil dalam masalah sebegini. Saya sendiri sekiranya tidak diberitahu oleh ibu saudara Nabhan, yang bekerja di klinik Disleksia HKL mengenai ciri-ciri Disleksia pada Nabhan, mungkin saya pun tak ada usaha sebegini. Beliaulah yang mengenalkan saya dengan Dr Viky.

Ketika Nabhan di Tahun Tiga, saya telah mendapat peluang membawa Nabhan berjumpa dengan Pakar Disleksia di Klinik Disleksia HKL, Dr Khoo. Ini pun dengan bantuan ibu saudara Nabhan juga. Dr Khoo, seorang neurologist yang sangat terkenal dan komited. Seharian kami berada di HKL, beliau yang amat memahami kesukaran kami yang datang jauh dari Penang, telah menyiapkan assessment ke atas Nabhan pada hari itu juga. Mula-mula Nabhan disuruh melukis sementara beliau meng'interview' kami. Soalannya berkitar pada perkembangan Nabhan sejak kecil. Ada beberapa perkara penting yang ditanya, saya gagal menjawabnya, seperti apa perkataan pertama yang dia sebut dan pada usia berapa dia mula memanggil ummi dan ayah. Sebenarnya itu adalah antara soalan yang sering ditanya oleh Doktor sebelum ini pun, saya pun tidak peka bahawa perkara itu penting sekali bagi mereka untuk menentukan tahap perkembangan seorang anak. Di sini saya mula menyedari bahawa banyak ilmu keibubapaan yang saya kurang.

Kemudian Nabhan diberi beberapa 'test',  dan dibawa pula kepada Psychologist untuk IQ test. Alhamdulillah, Nabhan dikategorikan sebagai kanak-kanak yang mempunyai IQ yang normal. Dalam laporannya, Dr Khoo telah menerangkan ciri-ciri Disleksia yang terdapat pada Nabhan dan telah mencadangkan beberapa cara kepada guru-guru Nabhan menangani masalahnya di sekolah.

Pulang dan berpuas hati dengan hasil pertemuan dengan Dr Khoo, saya dan suami ke sekolah Nabhan, berjumpa dengan Guru Besar, Penolong Kanan dan Guru Kelas Nabhan untuk memberikan laporan tersebut. Entahlah, mungkin terlalu sukar untuk guru-guru di sekolahnya. Nabhan benar-benar beban yang berat untuk mereka. Bukan cadangan Dr Khoo yang mereka laksanakan, Nabhan pula ditukarkan dari kelas pelajar setahap dengannya ke kelas terbaik. Alasan mereka Nabhan mengganggu tumpuan pelajar lain dalam kelas tersebut. Di kelas baru Nabhan langsung tidak boleh belajar, pergi balik dengan buku kosong, tidak ada kesan tulisan. Saya dan suami agak terkilan tapi sebagai seorang guru saya akur dan faham dengan masalah dan kesusahan seorang guru!

Bermula dari itu, kami berazam untuk mencari sekolah yang sesuai untuk Nabhan. Saya dan suami telah nekad untuk berpindah ke KL atau mana-mana tempat yang boleh menyediakan tempat yang baik untuk Nabhan belajar. Sementara itu kami berhentikan sekolah Nabhan dan menghantarnya ke sebuah sekolah agama, Maahad Tahfiz Al-Munir di Derang, Kedah. Kami berharap Nabhan dapat belajar al-Quran dan solat secara teratur. Selama 6 bulan Nabhan di sana, namun perkara yang sama berulang; Nabhan di suruh keluar dari sekolah itu! Lebih kurang 3 bulan Nabhan tidak bersekolah. Sebulan pertama dia akan mengikut saya ke sekolah atau ayahnya ke mahkamah. Lama-kelamaan dia mula bosan dan mahu tinggal di rumah sahaja. Apa lagi, gameslah yang menemaninya di rumah sepanjang kami pergi bekerja. Sebulan kemudian saya mendaftarkannya di sebuah pusat tuisyen di Bandar Putra Bertam. Jadi pada sebelah malamnya dia akan mengikuti tuisyen selama 1 1/2 jam.

Rezeki menyebelahi kami bila suami saya diterima melanjutkan pelajaran di peringkat PHD di Universiti Durham dan kami bersiap sedia untuk ke England!

30 September 2009, Nabhan memulai persekolahan di Bowburn Junior School. Kini, telah 4 bulan Nabhan bersekolah di sini. Setiap hari, jam 8.30 pagi, Nabhan dengan riangnya akan bersiap dengan uniform sekolah dan beg galas hitamnya. Melihatnya keluar dan berjalan kaki ke sekolah bersama-sama kawan-kawan adalah satu nikmat yang besar bagi saya, rasa terlepas bebanan yang ditanggung selama ini. Alhamdulillah, besar ertinya penghijrahan ini!













Friday, 5 February 2010

MARYAM JAMEELAH


Maryam Jameelah atau nama asalnya Margaret Marcus telah memeluk Islam pada tahun 1961. Dilahirkan dalam keluarga Yahudi pada 23 Mei 1934,  beliau dibesarkan di Wetchester New York.

Gadis ini mempunyai personaliti yang luar biasa kerana tersangat gemarkan muzik Arab walaupun bagi keluarganya muzik tersebut amat menyakitkan telinga. Beliau telah memaksa ayahnya menemaninya membeli kaset-kaset muzik Arab dan amat asyik memainkannya sehingga keluarganya menyuruhnya menutup pintu bilik dan jendela kerana benci mendengarnya. Selain itu beliau amat sukakan sejarah dan politik muslim Arab. Semasa berusia 12 tahun dia telah menulis sebuah novel yang mengisahkan kehidupan seorang remaja Palestin.

Minatnya terhadap Islam bermula sewaktu beliau berusia 10 tahun, ketika itu beliau berada di Sunday School. Beliau mengikuti reformasi Yahudi di Sunday School dan sangat tertarik dengan sejarah hubungan antara bangsa Yahudi dan bangsa Arab. Beliau kemudiannya membaca mengenai Zaman Pertengahan Eropah; penindasan Kristian telah menyebabkan orang-orang Yahudi disiksa dengan teruknya dan kehadiran mereka di Sepanyol diterima oleh umat Islam di sana.

Margaret bersama kakaknya tidak gembira di Sunday School kerana melihat anak-anak Yahudi yang lain yang meremehkan agama. Mereka sering membaca komik yang disorok dalam buku-buku doa mereka dan tertawa terhadap ajaran ritual yang dajar oleh guru-guru. Mereka sama sekali tidak menghormati dan memperdulikan guru-guru mereka. Akhirnya Maryam dan kakaknya berjaya melepaskan diri daripada Sunday School apabila ibu bapa mereka menyedari kepincangan sekolah tersebut. Hari Kudus; sepatutnya mereka berada di Rumah Ibadat (Synagouge), sebaliknya mereka di bawa ke perkelahan dan pesta makan di restoran terkenal.

Selepas itu kedua ibu bapanya menghantar Margaret dan kakaknya menyertai gerakan Humanist yang dikenali sebagai Gerakan Budaya Athiest Beliau menghadiri kelas tersebut sehingga berusia 15 tahun.  Sehingga itu dia telah menolak Jews dan berfahaman Atheist, namun  sebenarnya beliau masih tidak berpuashati dengan fahaman tersebut dan terus mencari kebenaran.

Tidak lama kemudian, beliau menyertai kumpulan Bahai di New York, 'The Caravan of East and West', yang diketuai oleh Mirza Ahmed Sohrab. Beliau agak tertarik kepada kumpulan ini kerana ia seakan-akan islam dan mengatakan bahawa Tuhan adalah Satu. Namun kemudiannya dia meninggalkan kumpulan itu apa bila mendapati mereka gagal mengaplikasi idea tersebut dalam amalan mereka.

Sewaktu berusia 18 tahun, beliau menyertai gerakan Zionis 'Mizrachi Hatzan', namun beliau turut meninggalkannya setelah merasa kecewa sebaik mengetahui kebenaran di sebalik Zionis.

Seterusnya Margaret menyambung pelajaran di Universiti New York dan mengambil mata pelajaran 'Judaism in Islam'. Kemudian beliau mendapati pensyarahnya Profesor Rabbi Abraham Issac Kitsh (Ketua Jabatan Hebrew) telah memesongkan pelajar-pelajarnya dengan mengatakan Islam berasal dari pada ajaran Yahudi. Profesor tersebut telah menyalahgunakan al-Quran bagi membuktikan Yahudi agama teragung. Mengetahui dan menyedari jenayah tersebut Margaret tidak lagi sanggup menerima agama Yahudi dalam hidupnya. Beliau mula membandingkan agama Yahudi dengan Islam. Dalam kajiannya terhadap Old Testament  atau Kitab Taurat serta perbandingannya dengan al-Quran, jelas kepadanya bahawa agama Yahudi telah rosak (1961).

Sebenarnya percubaan Margaret untuk memeluk Islam pernah dihalang oleh keluarganya pada tahun 1954 lagi. Pada waktu tersebut beliau tidak berupaya untuk menentang keluarganya. Mereka mengadakan perbincangan terbuka bagi membunuh hasratnya. Hujah mereka, Islam akan merenggangkan hubungan keluarga antara mereka, Islam juga akan menyisihkan dirinya daripada masyarakat. Kegagalannya untuk melaksanakan keinginan memeluk Islam telah memberi kesan hebat kepada fizikal dan spiritualnya. Beliau jatuh sakit selama dua tahun, (1957-1959). Bapanya telah menghantarnya ke hospital swasta, namun apa bila penyakitnya berterusan, dia dipindahkan ke hospital umum. Beliau bersumpah sekiranya penyakitnya sembuh, dia akan memeluk Islam. 

Setelah sembuh dan keluar dari hospital beliau benar-benar melaksanakan hasratnya,pada tarikh 24 Mei 1961, beliau memeluk Islam dan memakai nama Maryam Jameelah. Beliau juga berusaha mencari peluang bertemu orang-orang Islam di New York, dan banyak menghabiskan masa membaca bahan-bahan berkaitan Islam di Perpustakaan Bandaraya New York. Beliau juga menulis untuk majalah Muslim Digest of Durban for South Africa. Selain itu beliau berutus surat dengan ulama-ulama dan ketua pergerakan Islam di seluruh dunia antaranya Pengarah Pusat Islam Washington, Dr Said Ramadhan al-Buti dan Maulana Sayyid Abul A'la Al-Mawdudi. Surat-suratnya dengan A-Mawdudi antara tahun 1960 hingga 1962  telah diterbitkan dalam sebuah buku berjudul Correspondence between Maulana Mawdoodi and Maryam Jameelah, yang membincangkan pelbagai isu antara Islam dan Barat.

Jameelah berhijrah ke Pakistan pada 1962 atas jemputan Al-Mawdudi dan mendirikan rumahtangga dengan Muhammad Yusuf Khan sebagai isteri kedua. Hari ini Jameelah terus menetap di Lahore, beliau memakai hijab dan niqab. Memiliki 5 orang cahaya mata termasuk seorang yang meninggal semasa kecil, beliau kini meneruskan usahanya menulis buku-buku tentang pemikiran Islam dan kehidupan.

Begitulah sukarnya muslimah ini menemui hidayah. Begitu cekal sekali dia menempuh ranjau kehidupan demi jalan kebenaran yang diburuinya.  Bagaimana pula dengan kita yang sedia lahir disinari cahaya ilahi ini? Maka marilah kita sama-sama memelihara nikmat yang  telah kita miliki ini agar ianya sentiasa menerangi diri, keluarga dan keturunan kita selamanya. Ameen.