If I Had My Child to Raise Over Again by Diane Loomans

If I Had My Child to Raise Over Again by Diane Loomans
If I had my child to raise all over again,
I'd do less correcting, and more connecting,
I'd take my eyes off my watch, and watch with my eyes.
I would care to know less and know to care more.
I'd take more hikes and fly more kites.
I'd stop playing serious, and seriously play.
I'd run through more fields and gaze at more stars.
I'd do more hugging, and less tugging.
I would be firm less often, and affirm much more,
I'd build self-esteem first, and the house later.
I'd teach less about the love of power and more about the power of love.

Tuesday 30 March 2010

BURUK SANGKA @ sangka buruk




 Dalam salah satu sesi usrah, kami membincangkan tentang sikap buruk sangka atau dalam Bahasa Arabnya, 'suuz-zan'. Buruk sangka adalah sifat mazmumah yang perlu dijauhi seperti hadis Nabi SAW yang bermaksud,'Jauhilah buruk sangka, sesungguhnya sebahagian dari sangka buruk itu adalah kata-kata yang dusta.'

Apakah yang dimaksudkan dengan buruk sangka atau bersangka buruk? Adakah kita mesti sentiasa bersangka baik (husnuz-zan)?

Saya bentangkan beberapa situasi; pertama, kita lihat seorang wanita Islam yang kita kenali keluar ke tempat awam dengan tidak memakai tudung. Kedua, kita terserempak dengan teman baik kita yang telah bertahun tidak bertemu sedang berjalan berpimpin tangan dengan seorang wanita yang kita pasti bukan isterinya sepanjang  kita mengenalinya. Ketiga, kita melihat seorang kawan kita keluar dari kedai Sports Toto.

Dalam ketiga-tiga situasi tersebut, boleh saja mengundang prasangka buruk! "Apalah kakak ni, tak reti nak tutup aurat ke?', atau "Eeeii, ada perempuan simpanan pulak ke?", atau, "Eh, main toto jugak dia ni!". Agaknya macam tulah kata-kata hati kita sekiranya berdepan dengan situsi di atas.

Bagi menyeimbangkan hadis buruk sangka yang saya sebut di atas, marilah kita renungkan satu lagi hadis Nabi SAW yang mungkin boleh menenangkan perasaan kita. Sabda Nabi SAW yang bermaksud,'Kita adalah kaum yang menghukum berdasarkan zahir sahaja.'

Kefahaman saya begini, dalam situasi pertama, sekiranya kita melihat wanita Islam tidak bertudung ketika keluar rumah, maka kita patut ingkar dengan perbuatan tersebut kerana ianya jelas melanggar hukum Allah. Setelah itu kita hendaklah melaksanakan hadis mencegah kemungkaran; sekiranya kita tidak mampu menegur dan menasihatinya supaya menutup aurat kepalanya, maka hendaklah kita merasa ingkar dengan perbuatannya itu dan mendoakan supaya dia diberi petunjuk oleh Allah.
Ada juga yang berpendapat bahawa kita tidak boleh memandang rendah kepada wanita yang tidak bertudung, 'don't judge a book by its cover'! kata sebahagian mereka. Mungkin dia seorang yang baik, memelihara solat, berpuasa dan tidak mengumpat. Ya, dia mungkin baik dan beramal sewajarnya, kita tidak boleh mempertikaikannya, namun seperti kata Rasulullah SAW, kita cuma boleh menghukum berdasarkan zahir yang kita nampak sahaja. Jika sudah jelas kemungkarannya maka kita katakan yang itu haram dan berdosa, yang lainnya kita tidak tahu! Jadi tidak salah jika kita menyangka seorang wanita itu fasik sekiranya sedari muda sampai ke tua dia tidak menutup auratnya!

Saya sendiri mempunyai ramai kawan-kawan yang tidak menutup aurat sepenuhnya, namun mereka seorang yang sangat baik peribadinya dan masih mengambil berat perkara-perkara agama. Mungkin dengan kelebihan yang mereka miliki itu, sekiranya mereka diberi hidayah oleh Allah untuk menutup auratnya suatu masa nanti, dia akan menjadi lebih baik dari saya sendiri.

Dalam situasi yang kedua dan ketiga pula, jika kita lihat kawan lama kita berpegang tangan dengan seorang wanita yang bukan isterinya; hati-hati, mungkin yang itu adalah adik atau kakaknya, atau isteri kedua atau ketiga yang masih belum kita kenali, tambahan pula kita telah lama tidak bertemu dan mendengar khabar berita darinya. Maka di sini amat dilarang kita bersangka buruk dengannya. Bisikkan segala kemungkinan yang baik-baik ini kepada hati kita, agar kita jauh dari bersangka buruk terhadap teman kita itu. Begitu juga sekiranya kita melihat kenalan kita keluar dari kedai Sports Toto. Mungkin dia masuk untuk berjumpa sesiapa di dalam kedai itu. Jadi jangan mudah bersangka buruk sekiranya kita tidak begitu pasti apa yang sebenarnya berlaku. 

Kesimpulannya, dalam keadaan kita melihat seorang hamba Allah melakukan maksiat dan melanggar perintah Allah secara jelas maka hendaklah kita berperasaan benci dengan perlakuannya itu, lantaran keingkaran kepada Allah SWT. Lakukanlah yang sepatutnya bagi mengubah dan mengelakkan kemungkaran tersebut. Gunakanlah kuasa kita, atau mulut kita atau sekurang-kurangnya pasanglah niat untuk merubahnya walaupun dengan cara yang sehalus-halusnya walau pun terpaksa mengambil masa yang panjang. Manakala sekiranya kita tidak pasti samaada yang kita lihat itu adalah maksiat, maka hendaklah kita mengambil jalan yang selamat iaitu dengan mendahulukan sangka baik, dan menjauhi sangka buruk.

Pada diri kita sendiri pula hendaklah kita berusaha melindungi diri daripada sangka buruk orang lain ke atas kita. Ingatlah apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW; suatu hari Baginda SAW sedang berdua-duaan dengan isterinya dan keadaan pada masa itu gelap dan menghalang penglihatan. Tiba-tiba lalu seorang sahabat, apabila melihat Nabi bersama seorang perempuan maka sahabat itu berpaling. Lalu Nabi SAW memanggilnya dan memberitahu; "Ini isteriku". Maka kita lihat dalam hal ini Nabi telah berusaha menghalang sangkaan buruk sahabat tadi terhadapnya. 

Mudah-mudahan kita sentiasa diberi petunjuk dan hidayah oleh Allah SWT.

1 comment:

  1. nasihat yang baik & bermanfaat untuk semua

    ReplyDelete