If I Had My Child to Raise Over Again by Diane Loomans

If I Had My Child to Raise Over Again by Diane Loomans
If I had my child to raise all over again,
I'd do less correcting, and more connecting,
I'd take my eyes off my watch, and watch with my eyes.
I would care to know less and know to care more.
I'd take more hikes and fly more kites.
I'd stop playing serious, and seriously play.
I'd run through more fields and gaze at more stars.
I'd do more hugging, and less tugging.
I would be firm less often, and affirm much more,
I'd build self-esteem first, and the house later.
I'd teach less about the love of power and more about the power of love.

Wednesday, 14 April 2010

ANAK OH ANAK!


'Membesarkan anak remaja membuatkan kita banyak mengalirkan airmata.' begitulah keluhan seorang teman rapat melalui emailnya kepada saya baru-baru ini.  Bukanlah kali pertama saya mendengar keluhan teman-teman mengenai masalah anak-anak, malah pelbagai luahan rasa yang telah saya dengar sebelum ini.

Di ambang 40 tahun kehidupan, dan setelah hampir 12 tahun bergelar ibu saya sendiri merasa agak gelisah apabila melihat gelagat anak-anak. Di usia sebegini, saya telah punya anak remaja. Memang, membesarkan anak-anak di era globalisasi ini sangat hebat cabarannya. Jauh daripada sangkaan saya sewaktu-waktu berangan untuk menjadi seorang ibu suatu ketika dulu. Mungkin kerana sukar dan beratnya tanggungan seorang ibu dalam melaksanakan tanggungjawab itu, maka Allah mengangkat martabat ibu sebagai; AL-JANNAH tahta aqdamul ummahat (Syurga terletak di bawah kaki ibu).


Teringat pula saat dianugerahkan anak pertama, tidak dapat dibayangkan betapa nikmatnya menatap wajah cahaya mata yang dikandung lahir dengan sempurna, bersama besarnya harapan bahawa anakanda akan menjadi insan yang berguna. Begitulah setiap kali menerima zuriat, maka perasaan yang sama terbit melatari jiwa ayah bonda. Itulah anugerah Ilahi yang tidak terhingga tinggi nilainya buat seorang anak; kasih sayang yang tiada taranya, kemudiannya akan menerbitkan jasa-jasa yang sudah pasti tidak akan dapat dibalas oleh anak-anak walau diusaha sedaya upaya. Susah payah ibu bapa dalam memelihara dan mendidik anak sudah maklum bagi seluruh umat manusia.

 Jasa dan peranan ibu bapa sangat diambil kira jika ditanya kepada kebanyakan generasi kita, ibu bapa adalah orang yang utama dalam kehidupan kita. Izin dan restu keduanya adalah perkara yang akan mengiringi gerak langkah kita dalam memilih jalan-jalan kehidupan. Senyum dan ketawa ibu bapa adalah kepuasan, sementara marah dan tangisan mereka adalah kegelisahan. Itulah diari kehidupan kebanyakan generasi kita yang sangat hormat dan mengambil berat akan hati dan perasaan kedua orang tua kita yang sebahagiannya masih ada, sementara sebahagian lagi telah pergi menemui Ilahi.

Anak-anak hari ini agak berbeza, walaupun mereka masih kasih dan sayang kepada ibu bapa tetapi saya melihat mereka kurang rasa kasihan terhadap kita, sebagai ibu dan bapa mereka. Anak-anak nampaknya tidak merasa bersalah bila mendesak kita untuk menunaikan hajat dan keperluan mereka. Handphone, baju, kasut, kenderaan, ringan saja mulut mereka meminta, bukan menanti kita meng'offer'. Jenama pula ikut suka mereka, berbelanja ikut selera, bukan fikir pasal kocek dan handbag ibu bapa! Mungkin juga zaman kita sudah zaman yang agak senang, anak kita lahir ketika gaji kita telah empat angka, jadi semua keperluan anak kita penuhi sedari kecil mereka. Mungkin kita terlupa bahawa Rasulullah SAW berpesan supaya kita juga mengajarkan anak-anak dengan kesusahan dan jangan selalu disogokkan dengan kesenangan sahaja walaupun kita berupaya.

Anak-anak hari ini lebih suka menghabiskan masa di hadapan monitor daripada membantu ibu bapa. Hari-hari cuti adalah peluang untuk bangun meninggi hari, ketika makanan sudah siap terhidang di atas meja, rumah sudah licin dikemas, dan pakaian sudah disidai berderet di ampaian oleh si ibu. Apakah mereka tidak merasa kasihan dan bersalah terhadap ibu? Entahlah, mungkin di sana ada dan banyak silapnya kita. Mungkin juga kerana kita berkerjaya lalu kita kurang mendidik dan memahamkan anak-anak tentang tanggungjawab.

Memikirkan anak-anak hari ini terasa gelisah diri ini, namun kita masih ada peluang untuk memperbaiki diri dan cara kita mendidik mereka. Mungkin saya boleh cadangkan beberapa perkara yang saya fikir-fikirkan untuk anak-anak saya sendiri. Antaranya;

1.  Ajarkan anak-anak erti kesusahan. Ceritakan kesusahan ibu bapa zaman dahulu kala, tunjukkan rumah-rumah dan suasana kehidupan orang-orang yang susah dan kurang bernasib baik. Sekiranya P n P dalam kelas kita perlukan ABM, begitu jugalah cara kita mengajar anak-anak erti kehidupan. Bawa anak-anak melawat rumah orang miskin. Sekiranya kita adalah guru, maka sekali sekala buatlah program bersama golongan tidak bernasib baik dan bawa anak-anak kita sekali supaya tumbuh sifat empati dalam diri mereka terhadap orang lain. Setelah itu ajarkan mereka bersyukur, selalulah bercakap dengan anak-anak kita mengenai kehidupan di sekeliling kita. Moga-moga anak-anak tidak akan menjadi seorang yang mementingkan diri sendiri. Jagalah perkataan kita ketika berbicara dengan anak-anak mengenai kehidupan golongan bawahan, pandai-pandailah mengajar anak-anak menghargai nikmat kehidupan agar apa yang kita tunjukkan akan menjadi pengajaran dan bukan penghinaan dan merendahkan kehidupan golongan yang tidak bernasib baik ini.

2.  Latih anak-anak mengawal perasaan. Mereka tidak boleh melepaskan kemarahan dan rasa tidak puas hati kepada orang lain sesuka hati. Mereka mesti tahu dan kenal orang-orang yang berada di hadapan mereka. Anak-anak sekarang sudah ramai yang tidak tahu menilai siapa orang kedua dan ketiga apabila mereka bercakap, selalu saja lepas dan biadap perkataannya kepada orang-orang tua samaada ibu bapa sendiri, teman-teman ibu bapa mahupun sedara mara yang lebih tua. Kata saja apa yang terlintas di kepala kerana itu adalah pendapat hamba!

Kadang-kadang anak-anak kita datang dan 'interrupt' perbualan kita dengan rakan-rakan kita. Ada ibu bapa yang memalingkan muka ke arah anak ketika temannya sedang berbicara untuk melayan permatanya yang mahu bertanya. Saya rasa kita patut ajar anak adab ketika bersama orang tua. Jangan senang-senang menerpa ketika orang tua sedang berbicara.


3.  Sering-seringlah bertanya kepada anak-anak tentang guru-guru mereka, elakkan mengkritik guru anak-anak kita di hadapan mereka. Teguri anak-anak sekiranya mereka berkata sesuatu yang tidak baik terhadap guru-guru mereka. Ini bagi menanam rasa hormat dan kagum anak-anak kita terhadap guru-guru. Pengalaman saya sebagai guru menunjukkan anak-anak sekarang telah hilang rasa hormat terhadap guru. Saya masih ingat, ramai sekali pelajar-pelajar saya di Pulau Pinang yang tanpa segan silu mengejek atau mengajuk cara saya bercakap yang berbau loghat Pahang kerana saya orang Pahang. Saya amat terasa hati dengan mereka. Pelajar sekarang sudah kurang rasa malu terhadap guru, jika ditegur bukan mereka merasa malu atau segan sebaliknya mereka akan menarik muka masam seolah-olah guru pula yang bersalah kerana memberi teguran. Jauhnya beza dengan masa saya menjadi pelajar; waktu itu...ah! Betapa mulianya seorang guru.

4.  Kongsikan dengan anak-anak mengenai profesion kita. Semasa saya mengajar selalu juga saya bertanya pelajar-pelajar apa pekerjaan ayah dan ibu mereka? Hairan kerana ramai antara pelajar saya yang tidak tahu jenis pekerjaan ayah mereka, dan kalau tahu sekalipun mereka gagal menjelaskan bagaimanakah bentuk pekerjaan tersebut. Saya seorang anak penoreh getah, walaupun saya tidak pernah menoreh getah tetapi saya tahu 'every steps' membuat getah buku dan getah keping, saya juga tahu apa dia getah sekerap! Lalu, kerana itulah saya amat menghargai keringat seorang ayah! Apakah anak-anak kita tahu dan sedar siapa kita selain ibu dan ayah kepada mereka? Fahamkah mereka dengan penat lelah dan betapa depressnya kita bila pulang dari bekerja?. Bagaimanakah anak-anak mahu menghargai penat lelah kita mencari rezeki sekiranya mereka gagal memahami nature pekerjaan kita!

5.  Ilmu dan pengalaman mendidik dan mematangkan manusia. Anak-anak mesti selalu dibiasakan agar mengutip apa saja pengalaman positif dan negatif untuk direnung dan dijadikan pengajaran. Sering-seringlah berkongsi pengalaman kehidupan kita dengan anak-anak. Ruangkanlah sedikit waktu malam kita atau pada hari-hari cuti untuk 'berchit-chat' dengan anak-anak kita. Ini mesti dibiasakan sedari anak-anak kecil, ceritakan apa saja pengalaman kehidupan kita yang bersesuaian untuk kita kongsikan bersama mereka. Dengarkan juga cerita mereka. Selain memberi pengajaran kepada anak-anak kita juga boleh  mengajar anak-anak supaya saling menghargai antara satu sama lain.


6.  Dekatkan anak-anak kiata dengan kehidupan beragama. Amalkan membaca al-Quran bersama anak-anak, lazimkan anak-anak mendengar nasyid-nasyid dan jangan biarkan lagu-lagu yang melalaikan menguasai suasana rumah kita. Galakkan anak-anak membeli dan membaca bahan-bahan ilmiah dan jangan biarkan anak-anak leka dengan bahan-bahan hiburan yang didominasi oleh artis-artis yang murah diri dan peribadi mereka. Anak-anak sekarang ramai yang lalai dan leka dengan hiburan, artis dan games menjadi kegemaran.

7.  Jika anak-anak kita tinggal di hostel, tulislah surat untuk mereka sekali sekala, berilah nasihat untuk mereka. Berhubung dan bercakap menerusi telefon tidak sama dengan menulis dan menatap helaian warkah . Anak-anak tentunya akan dapat merasai dan menghayati bait-bait ayat harapan yang kita luahkan melalui surat kita berbanding pesanan demi pesanan yang kita luahkan di hujung talian.


Banyak lagi yang boleh kita fikir dan lakukan. Sebagaimana banyaknya anasir jahat yang mahu menyesatkan anak-anak kita hari ini, maka sebanyak itulah juga kita mesti memikirkan jalan untuk menyelamatkan anak-anak kesayangan kita. Moga kita juga berpeluang menjadi ibu bapa yang dihargai sebagaimana ibu bapa kita hari ini.


4 comments:

  1. Salam sis
    terima kasih atas perkongsian pengalaman ini
    ibu saya sendiri selalu berkongsi cerita dengan saya tentang anak2 remajanya...dan apabila saya berhadapan dengan dunia remaja sendiri, kasihan melihat ibubapa yang sabar ini.terkenang bagaimana pula anak saya apabila remaja...

    ReplyDelete
  2. wsalam ummu said,
    ahlan wa sahlan....

    ReplyDelete
  3. memiliki anak dan membesarkan anak rasanya menjadi satu indikator kekuatan sebenar seorang muslimah. Anak2 dengan izin Allah akan membesar walaupun cara kita mendidiknya. Namun meletakkan perkembangan dan pertumbuhan dalam kadar seiring mungkin, merupakan suatu cabaran buat seorang ibu.
    Menatap wajah anak dalam lena..acapkali membuatkan diri sedar akan kurang bijaknya menangani kerenah mereka meningkat usia
    Zi salah sorangnya syidah......

    ReplyDelete
  4. cabaran membesarkan dan mendidik anak-anak hari ini seumpama mengendalikan sebuah kapal di lautan yang luas.
    kapal zi baru saja berlepas, kapal kami sedang belayar di tengah lautan itu, namun sama-samalah kita berusaha memastikan kapal-kapal kita akan berlabuh dengan selamatnya.....

    ReplyDelete