Kehidupan bersama si manja biasanya dipenuhi dengan pelbagai “peristiwa”. Baik peristiwa yang mengembirakan, mencuit hati, bahagia, mahupun peristiwa yang menyebabkan kita “terlepas” segala-galanya.
Semua ibubapa akan merasai satu ketika mereka “hilang sabar” dengan anak-anak. Sekiranya tidak pernah, mungkin anda masih kurang bersama mereka.
Bagi saya sendiri, ianya adalah suatu perkara yang berulang kali, mungkin beberapa kali dalam sehari, atau setiap beberapa hari sekali, atau mungkin beberapa minggu sekali. Keadaan “hilang sabar” memang meresahkan para ibubapa dan turut memberikan kesan negative kepada anak.
Seorang ibu atau bapa yang sepatutnya menjadi contoh kepada anak, apabila berada di dalam situasi “hilang sabar” itu terkadang secara tak sengaja akan bertindak “tidak bijak” seperti marah yang terlampau, memukul anak lebih dari sepatutnya, memarahi anak dengan suara yang kuat, malah ada yang sehingga menghukum anak dengan keterlaluan.
Kali ini saya ingin berkongsi dengan pembaca semua mengenai beberapa tips mudah untuk mengelakkan, mengurangkan, atau paling tidak sekiranya berlaku, bagaimana untuk menenangkan diri kembali dengan cepat.
1. Ikhlaskan niat
Segalanya kembali kepada niat dan kebergantungan diri kita kepada Allah SWT. Anak adalah anugerah dari Allah SWT buat kita. Kita cuma dipertanggung jawabkan untuk mendidik mereka dengan baik. Adapun apa hasilnya kita kembalikan kepada Allah SWT.
Bahkan anak seorang nabi pun belum tentu terjamin keimanan mereka, apatah lagi anak kita, seorang manusia yang serba kekurangan dan banyak dosa. Kembalikan semuanya kepada Allah. Cuma pastikan dihadapan Allah nanti kita boleh menjawab, “Ya Allah, aku telah melakukan semampu aku, adapun sesuatu yang aku tidak mampu, maafkanlah aku ya Allah.”
Apabila kita mempunyai minda seperti ini, maka apapun cubaan dan dugaan yang datang menimpa, kita akan tabah menghadapinya. Seperti sabda Nabi Muhammad SAW, “Aku hairan melihat seorang yang beriman, sekiranya dia ditimpa kesenangan dia bersyukur dan merasakan ianya adalah kebaikan. Akan tetapi apabila dia ditimpa musibah dia bersabar, dan baginya musibah itu juga adalah sesuatu yang baik.”
2. Rancang Pendidikan Anak
“If you fail to plan, you’re plan to fail”.
Perasaan “hilang sabar” biasanya berlaku apa bila kita buntu menghadapi masalah anak-anak. Pelbagai usaha dah dilakukan namun masih tidak berjaya merubah apa-apa. Mereka tetap berperangai sebegitu. Lama kelamaan ibu pun makin tertekan dengan perangai anak-anak sehingga melabelkan diri sebagai seorang yang gagal.
Di dalam keadaan tersebut, ibu bapa yang sudah tidak tahu bagaimana mahu bertindak, akan lebih mudah menggunakan kekerasan, suatu jalan “short-cut” dalam mendidik anak. Kerana ianya kelihatan “berkesan” dengan serta-merta.
Berlainan dengan ibu bapa yang sudah pun mempersiapkan diri mereka dengan ilmu keibubapaan, mereka lebih kebal terhadap tindakan anak-anak. Mereka sudah mengenal tabiat seorang kanak-kanak dan di dalam minda mereka sudah ada perancangan, bagaimana menangani setiap satu masalah yang menimpa.
Mereka lebih tenang, lebih bersabar dan lebih bertindak rasional. Akhirnya anak pun turut belajar bagaimana mempunyai sikap yang sama. Suatu pepatah mengatakan,
“Memanah tanpa sasaran, takkan pernah tepat”
Sekiranya kita tiada tempat tujuan, perjalanan kita tak akan pernah tamat. Satu perjalanan yang cantik adalah perjalanan yang dilalui dengan peta yang sudahpun di hadam baik oleh pemandu. Mereka yang menghabiskan sedikit masa memerhatikan peta sebelum mula berjalan dapat menjimatkan banyak masa, berbanding orang yang tidak menggunakan peta kemudian tersesat jalan.
Bina peta tersebut untuk pendidikan anak anda. Dalami ilmu sebelum tersilap langkah. Pesan nabi, “Sekiranya kamu menginginkan dunia maka cari lah ilmu, sekiranya kamu menginginkan akhirat maka carilah ilmu. Dan sekiranya kamu menginginkan keduanya juga, maka carilah ilmu.”
3. Ingat yang mereka adalah kanak-kanak
“Hilang sabar” biasanya berlaku apabila anak tidak bertindak sebagaimana yang kita harapkan. Kita mengharapkan mereka membesar dalam suasana yang baik, dipenuhi keperluannya, didberi pendidikan dan suasana yang baik, lalu mereka akan membesar menjadi anak yang baik dan mendengar kata. Kemudiannya anak nantilah yang boleh diharap menjaga adik-adiknya, membantu kerja-kerja rumah, dan menghiburkan kita.
Namun yang terjadi sebaliknya, anak kuat mengamuk, selalu meminta-minta sesuatu yang tidak baik untuk dirinya, liar, buas dan sukar dikawal. Keadaan rumah yang tenang tatkala kita masih cuma berdua, kini sudah lama tak dirasai.
Perumpamaannya adalah seperti dialog ini,
Perumpamaannya adalah seperti dialog ini,
“Kenapalah kamu ni selalu berperangai macam budak-budak! Langsung tak boleh diharap!” Marah ibu.
“Sebab saya memang budak-budak!”dijawab kembali oleh anak.
“oh ye ke…”
Mungkin sudah masanya kita kembali meneliti harapan kita terhadap anak-anak. Ibubapa memang biasanya menaruh harapan yang tinggi terhadap anak-anak mereka. Mengharap anak kita adalah anak istimewa yang mampu buat apa sahaja dan menjadi orang yang apling sempurna.
Sedangkan kanak-kanak adalah kanak-kanak. Untuk mengawal saraf dan otot mereka sendiri pun masih belum mahir, apatah lagi mengawal emosi dan keinginan, suatu yang kebanyakan orang dewasa pun masih tak mampu kawal dengan baik.
Mereka baru hidup beberapa tahun, dengan ilmu dan pengalaman yang begitu cetek, bagaimana mungkin mereka dapat menjadi seorang yang matang? Mereka cuma seorang kanak-kanak. Hadapilah mereka dengan sikap memaafkan dan berlemah lembut.
Insya’allah dengan 3 petua tadi, kita akan lebih mudah mengurangkan atau menjarangkan keadaan “hilang sabar” berlaku, dan seterusnya keadaan rumah tangga lebih harmoni dan bahagia.
salaam kak shidah...
ReplyDeleteboleh tak saya tahu nama imam yg bacaannya sungguh merdu yg dahulu kak shidah ada letak kat blog kak shidah ni...?
saya rindu nk dengar...sy nk cari kat utube..
t.kasih
wsalam,
ReplyDeletebeliau adalah sheikh misyari rashed alafasy.