Semalam saya menerima kiriman 3 buah muqaddam 'by airmail' daripada kakak tersayang buat anak-anak, terima kasih yang tidak terhingga buat Kak Leha yang tidak jemu berbudi kepada kami di perantauan ini. Dengan adanya muqaddam juzuk amma ini lebih mudah bagi saya mengajar Nabhan, Nadhila dan Nusair menghafaz al-Quran. Sebelum ini mereka menggunakan 'Quran besar' untuk menghafaz, agak rumit untuk dipegang dan dibaca.
Semasa zaman kanak-kanak, saya belajar membaca al-Quran dengan seorang guru yang dipanggil 'Moksu'. Moksu memang pandai mengaji, makhraj dan tajwidnya tepat sekali. Ramai anak muridnya, generasi demi generasi. Namun saya tidak sempat menamatkan al-Quran dengannya kerana semasa saya dalam darjah 4, beliau berhenti mengajar al-Quran kerana ingin menumpukan perhatian kepada anak perempuannya yang sedang tenat mengidap kanser payudara. Anak Moksu meninggal dunia selepas beberapa ketika berada dalam jagaan dan belaian ibunya. Setelah itu Moksu berbakti pula kepada suaminya yang sakit tua yang kemudiannya turut mengikut jejak anak perempuannya itu. Moksu masih sihat waktu itu.
Setahun kemudian, Moksu dan 'menantu tinggal'nya (suami kepada anaknya yang meninggal) menunaikan fardhu haji, dia turut melakukan haji bagi anak perempuannya itu. Allah sangat sayangkan Moksu, di tanah suci Mekah Moksu kembali kepada Tuhannya, kekal abadi jasadnya bersemadi di bumi suci. Semoga segala amalannya mengajarkan al-Quran kepada kami akan mendapat ganjaran yang berterusan dari pada Allah swt.
Saya pula menyambung pengajian dengan ibu saya, aktiviti wajib di malam hari. ibu agak garang, ada masa penunjuk kertas dicucuknya ke dalam mata saya. Namun saya bersyukur, dengan sifatnya yang tegas itulah saya dapat membaca al-Quran dengan baik pada hari ini. Oleh kerana ibu juga mendapat sentuhan Moksu dalam pembelajaran al-Quran maka bacaan al-Quran ibu saya sangat baik sekali.
Kini giliran saya pula mengajarkan al-Quran kepada anak-anak. Saya sangat beruntung kerana anak pertama, Iffah mendapat pendidikan awal di sekolah tahfiz. Sehingga sekarang bacaan al-Qurannya bagus dan dia mempunyai kesedaran sendiri untuk menghafaz ayat-ayat al-Quran. Alhamdulillah. Sekarang saya perlu berjuang untuk mengasuh dan mengajar Nabhan dan Nadhila supaya cinta dan bersungguh-sungguh mempelajari al-Quran dengan membaca dan menghafaz.
Nadhila sudah boleh mengenal dan bacaannya juga agak lancar, cuma perlu dibimbing tajwid dan diperbetulkan sebahagian makhraj 'melayu'nya itu supaya lebih 'arab' bunyinya! Nabhan pun, alhamdulillah, setelah bertahun bertungkus lumus, bolehlah dia membaca dengan merangkak-rangkak.
Saya sangat ingat betapa sukarnya mengenalkan Nabhan dengan huruf-huruf hijaiyyah ketika dia berada dalam darjah satu. Sebagaimana susahnya dia mengenali abc dan angka, begitulah cabaran mengajarkannya al-Quran. Setelah saya berhentikan dia dari Sekolah Kebangsaan, saya dan suami sepakat untuk menghantarnya ke sekolah tahfiz. Kami mula mencari sekolah yang sesuai untuk Nabhan, kami melawat beberapa sekolah agama dan sekolah tahfiz dan berbincang dengan pihak pentadbir, akhirnya kami sepakat untuk menghantarnya ke sebuah sekolah tahfiz di Kedah.
Bermulalah saat-saat getir dalam kehidupan Nabhan, juga sebenarnya saat-saat hiba dalam kehidupan saya dan suami sebagai ibu bapa. Nabhan ketika itu berusia 8 tahun, namun seperti kata psychologist yang pernah menganalisis Nabhan, dia ketinggalan dua tahun dari pada usianya yang sebenar. Di usia 8 tahun Nabhan masih belum pandai mengurus diri. Setelah seminggu meninggalkannya di sekolah itu, saya dan suami kembali menziarahinya. Nabhan memalingkan mukanya ketika melihat saya datang kepadanya! Baju Melayu yang dipakainya comot kotor, mukanya sedih dan matanya cengkung. Dia berkaki ayam, seliparnya hilang. Sedihnya saya melihat keadaannya.
Saya peluk Nabhan, kami meminta izin membawanya keluar, makan KFC, makanan kegemarannya. Namun KFC yang dihidangkan tidak mampu ditelannya. Saya perasan dia tidak berselera makan. Saya rasa badannya panas, dia demam.Terdapat kudis di beberapa tempat di badannya. Saya memeluknya, saya minta dia berjanji, jika saya bawa dia pulang hari itu, dia mesti berjanji akan kembali ke sekolah itu selepas dia pulih. Nabhan akur.
Walaupun lasak dan nakal, Nabhan anak saya yang taat. Selepas dua minggu di rumah, Nabhan kembali di hantar ke sekolah itu. Dia menurut saja, saya terpaksa membelikan peralatan baru untuknya kerana semua peralatannya hilang. Setiap minggu saya dan suami menjadi tetamu setia di sekolah itu. Kami akan menunggu selepas solat asar dan membawa Nabhan keluar ke masjid berdekatan. Kami bawa getah paip, sabun, berus gigi dan semua peralatan mandi. Di masjid itu saya akan memandikan Nabhan, mungkin cuma sekali dalam seminggu itulah Nabhan mandi dengan sempurna. Setelah mandi dan makan bekalan yang menjadi kegemarannya, dia dihantar kembali ke sekolah. Walaupun kedatangan kami disambut dengan sungutan bahawa dia tidak mahu lagi berada di sekolah itu, namun apa bila hampir maghrib, dialah yang mengingatkan saya supaya segera menghantarnya ke sekolah kerana takut terlambat ke surau. Begitulah rutin setiap minggu, menunggu kedatangan hari Sabtu sangat menyiksakan batin saya, tak sabar untuk saya menjenguk Nabhan. Lima bulan Nabhan di sekolah itu, berat badannya turun hampir separuh dari pada mula dia melangkah ke situ.
Pertengahan bulan Mei 2009, Mudir sekolah memaklumkan berita yang dinanti-nantikan Nabhan; Nabhan diminta keluar dari pada sekolah itu, saya faham dan sangat berterima kasih kepada Ustaz Syed kerana sanggup menerima Nabhan selama 5 bulan di situ. Saya sangat terharu sepanjang berada di sekolah itu Nabhan telah mengenal hampir kesemua huruf hijaiyyah, telah tahu cara menunaikan solat dan waktu-waktunya, masih terngiang-ngiang di telinga ini Nabhan mengalunkan 5 ayat surah an-Naba' yang sempat dihafalnya ketika berada di tahfiz tersebut. Begitulah kisah bagaimana Nabhan mula belajar al-Quran.
Setelah berpindah ke sini, saya menyambung mengajarnya al-Quran. Alhamdulillah, dia sekarang sudah boleh membaca dengan mengeja. Selalunya saya akan membiarkan dia mengeja, walaupun lambat saya akan tunggu sebelum melalukan bacaannya. Saya sering mengingatkannya tentang hadis Rasulullah SAW bahawa bagi orang yang tetap membaca al-Quran walaupun sukar, baginya dua pahala: pahala setiap huruf yang dibaca dan pahala sabar atas kesusahannya.
Memang tidak dinafikan agak sukar bagi saya untuk mendisiplinkan diri apa bila terpaksa mengajar sendiri anak-anak; al-Quran dan hafazan, Agama, Hadis, Bahasa Melayu, Jawi, Bahasa Arab. Bila semangat datang, semua saya ajar, tetapi bila rasa lemah dan agak sibuk semua saya tinggalkan. Lagi pun belajar di rumah, anak-anak juga kurang berdisiplin berbanding belajar dengan orang lain. Sekarang pun sudah lama anak-anak tidak menyentuh buku Bahasa Melayu, Jawi dan Bahasa Arab. Saya tumpukan kepada al-Quran, Hafazan dan Pelajaran Agama sahaja, kesuntukan masa. Mungkin cuti penggal nanti saya boleh mengajar lebih sedikit.
Hakikatnya bukan senang mendidik dan membentuk anak-anak, kini saya semakin menghargai kewujudan sekolah-sekolah agama terutama yang diusahakan oleh pihak swasta di negara kita, pendidikan seimbang dunia dan akhirat yang disediakan sangat membantu pihak ibu bapa dalam mengajar, mendidik dan menerapkan ruh Islam ke dalam jiwa anak-anak. Wallahualam.
If I Had My Child to Raise Over Again by Diane Loomans
If I Had My Child to Raise Over Again by Diane Loomans
If I had my child to raise all over again,
I'd do less correcting, and more connecting,
I'd take my eyes off my watch, and watch with my eyes.
I would care to know less and know to care more.
I'd take more hikes and fly more kites.
I'd stop playing serious, and seriously play.
I'd run through more fields and gaze at more stars.
I'd do more hugging, and less tugging.
I would be firm less often, and affirm much more,
I'd build self-esteem first, and the house later.
I'd teach less about the love of power and more about the power of love.
alhamdulillah syukur cpt sampai rupanya maka cepatlah ia akan digunakan untun anak2 itu. itu jelah sumbungan kecil yg boleh diberikan. kak ni sentiasa nk membantu yg mana2 boleh dibantu dan mahu berusaha membantu, mudah2an jd sebab yg kita ini akan sentisa berhubung silaturrahim...Amin
ReplyDeleteJAZAKALLAHU KHAIRUL JAZAK, Allah sahajalah yang mampu memberi balsan yang terbaik atas segala pertolongan, moga mawaddah dan rahmah berkekalan....
ReplyDeletesalam,
ReplyDeletesangat tersentuh bila baca tentang kisah gigihnya akak mengharungi cabaran dengan anak seperti nabhan.
Sabarlah, insyaAllah ada banyak hikmah di sebaliknya. Walaupun nabhan [mungkin nampak bermasalah dan tak secemerlang adik beradiknya yang lain] mudah-mudahan dia lah kunci akak & suami ke syurga.
Teringat satu hadis sahih, di mana manusia yang di uji dengan anak dan mereka bersabar, maka ujian itu akan jadi pendinding baginya dari api neraka :-)
wsalam aisyah, syukran dan jazakallah atas kata2 yang amat membina, semua coretan di sini adalah untuk nabhan hayati suatu ketika nanti................insyaalah
ReplyDelete