Antara perbezaan 'tempat dulu' dan 'sekarang' yang saya perasan adalah ANJING. Semasa di tanah air dulu anjing adalah binatang yang sangat saya takuti, apatah lagi ianya najis yang dikategorikan sebagai najis berat (mughallazah). Dalam hadis pun disebut bahawa air liur dan najis anjing adalah najis mughallazoh, dan dalam mazhab syafie pula anjing itu sendiri adalah najis mughallazah. Tambahan pula pengalaman saya dengan anjing semasa di sana buruk-buruk belaka. Saya pernah terjun dari basikal semasa dalam perjalanan pulang dari sekolah kerana dikejar anjing, malah itu bukan pengalaman pertama saya dianiayai anjing, banyak kali berlaku sama ada sebelum mahupun selepas peristiwa itu. Saya berasa seolah-olah anjing-anjing tersebut tahu bahawa saya sangat gerun dengan mereka, mendengar salakan pertama anjing sahaja membuat saya terkejut macam kena elektrik, jantung saya berdegup pantas, saya bersedia untuk lari bak 'sprinter'!
Bila saya sampai di sini keadaan amat berlainan. Amat jarang@terlalu sukar untuk saya melindungkan diri saya dari pada anjing. Setiap kali saya keluar dari rumah, saya akan bertemu dengan anjing. Alhamdulillah, anjing di sini sentiasa bersama tuannya. Anjing di sini dijaga dan dibelai, dibelikan mainan, dibawa bersiar-siar, pendek kata anjing adalah sebahagian dari pada kehidupan mereka. Jarang sekali rumah yang dihuni tanpa anjing. Sekiranya di negara kita anjing dipelihara sebagai pengawal rumah atau dijadikan pembantu semasa perburuan, di sini pula anjing dipelihara sebagai binatang manjaan seperti kucing layaknya. Bermacam-macam jenis anjing yang saya lihat, dari pada bull dog sehinggalah anjing baka kecil dan rendah, sangat comel, namun dia tetap ANJING! Andai dia lalu, saya akan ke tepi dan tabik hormat kepadanya!
Semua kawan-kawan sekerja saya memelihara anjing, seorang daripadanya pernah membawa anjingnya kepada saya. Mak ooi besarnya, hampir sebesar anak kerbau! Anjing hitam berusia 8 tahun itu dipanggil 'place', dia makan serba macam, kerap kali kawan saya itu membawa sisa-sisa makanan di rumah kami bekerja untuk anjingnya, termasuklah sayur-sayuran. Saya terfikir, patutlah badannya besar, tolak batu dan kayu! Malah kayu pun digigit-gigitnya!
Pernah sekali semasa saya masih tinggal di Bowburn, saya berjalan bersama Nabhan, tiba-tiba seorang remaja perempuan lalu bersama dua ekor anjingnya yang tidak bertali, sedangkan undang-undang di sini semua anjing yang di bawa keluar ke tempat awam mesti dikenakan tali dan di kawal. Ketika berselisih dengan saya, anjing ini mungkin terbau akan ketakutan saya kepadanya, apa lagi salah seekor dari padanya menerpa ke arah saya, berdiri dan mencium baju saya disamping menyalak 'manja', walaupun saya tahu bahawa anjing itu tidak mencederakan saya, namun ketakutan saya kepada makhluk ini membuatkan saya menjerit-jerit dan terlompat-lompat! Ah! mujur tiada siapa yang merakam aksi saya dalam telefon bimbit, kalau tidak tak tahulah betapa sumbangnya lompatan dan jeritan saya ketika itu. Keadaan tersebut tidak berlarutan kerana tuan anjing pantas memanggilnya, dan masuk ke dalam pagar rumahnya.
Anjing-anjing yang garang di sini tidak di bawa keluar, seperti anjing di sebelah rumah saya sekarang. Anjing ini memang garang, saya tidak pernah melihat rupa anjing itu, hanya mendengar salakannya sahaja saban hari. Di depan pagar rumah jiran saya ini tertulis notis 'ENTER THIS ENTRANCE IS AT YOUR OWN RISK'. Saya pernah melihat beberapa rumah yang mempunyai notis yang sama di pintu pagarnya. Anjingnya memang garang, tuannya pun garang juga, sepanjang 7 bulan saya tinggal di sini tidak pernah saya mengenali jiran saya ini. Ada dua orang yang pernah senyum dengan saya, namun saya kurang pasti adakah mereka penghuni rumah tersebut atau tetamu. Apa yang berlaku setiap hari saya akan terdengar suara tuan rumah itu memarahi dan menengking anjingnya yang kadang-kadang menyalak dengan nyaring. Kerap kali saya mendengar dia menjerit, 'get out!! bla...bla...bla... (swearing).
Sebenarnya bila berhadapan dengan keadaan di sini, baru saya terfikir dengan ikhtilaf di kalangan fuqaha' mengenai masalah anjing. Di negara kita hukum berkenaan anjing sangat syadid dan kita mengamalkan mazhab syafie, di sini pula mazhab maliki lebih sesuai diamalkan kerana pandangannya yang lebih longgar dalam masalah anjing. Ini bersesuaian kerana pengalaman bersentuh dengan anjing adalah biasa terjadi. Kadang-kadang agak sukar mengawal anak-anak yang sukakan anjing, ada sahabat yang membenarkan nak-anak mengusap-usap badan dan kepala anjing, anjing sudah jadi umpama kucing parsi di sini. Mahu saja menggesel-gesel di kaki kita. Hari ini pun anak saya Iffah mengadu bahawa seekor anjing cuba 'bermanja' dengannya ketika dia dalam perjalanan ke sekolah, seluarnya di pijak anjing tersebut, tuan anjing itu membiarkan sahaja walaupun anak saya menjerit-jerit. Mereka sukakan anjing, dan mereka tidak faham kenapa kita sangat sensitif dengan peliharaan yang comel itu.
Menurut Mazhab Syafie seluruh badan anjing dan apa sahaja yang keluar dari pada anjing sama ada air liur, najis, peluh, darah dan muntahnya adalah najis mughallazah, mana kala menurut Mazhab Maliki pula hanya air liur dan najis anjing sahaja yang merupakan najis mughallazah, maka saya menyuruh Iffah membasuh seluarnya yang dipijak anjing itu dengan menggunakan sabun dan dibilas sebagaimana biasa sahaja. Mungkin hari esok anjing tersebut akan datang 'bermanja' lagi dengannya kerana itu adalah laluannya juga! Begitulah bagaimana kita menggunakan keluasan fiqh dalam keadaan dan tempat yang berbeza!
Sabda Rasulullah SAW;
"Jika seekor ANJING menjilat bejana salah satu dari pada kamu sekalian, maka hendaknya kamu menuangkan bejana itu (mengosongkan isinya) kemudian membasuhnya tujuh kali" (HR.Imam Muslim:al-Fiqhu Alal Madzhahibil,Juz I,hal.16).
Salagi tidak dijilat anjing atau terkena najisnya, maka bersihkanlah menurut cara membersihkan kotoran yang lainnya.
Cerita syidah ni buatkan zi tersenyum sorang. Zi masih dalam kursus. Zi bawa basikal, kayuh kat sini. Dalam seronok kayuh satu petang, x sedar anjing garang ada kat laluan zi kayuh. Punyalah kayuh...putus nyawa terasa..heh he...Memang nasib baik x ada orang yang rakam. Memang buruk betul le agaknya...Apa pun best baca cerita syidah ni..Rindu syidah
ReplyDeletehehehe.....xsangka kita punya ketakutan yang sama ye zi!.............
ReplyDelete