If I Had My Child to Raise Over Again by Diane Loomans
If I Had My Child to Raise Over Again by Diane Loomans
If I had my child to raise all over again, I'd do less correcting, and more connecting, I'd take my eyes off my watch, and watch with my eyes. I would care to know less and know to care more. I'd take more hikes and fly more kites. I'd stop playing serious, and seriously play. I'd run through more fields and gaze at more stars. I'd do more hugging, and less tugging. I would be firm less often, and affirm much more, I'd build self-esteem first, and the house later. I'd teach less about the love of power and more about the power of love.
Ayahanda yang dikasihi yang telah kembali ke rahmatullah pada 17 Sept 2009. Moga Allah mengampuni dan merahmati roh ayahanda serta sentiasa mendapat kesejahteraan di alam berzakh dan dikurniakan syurga yang kekal abadi. Ameen.
Ibunda yang dirindui selalu, moga sentiasa dipelihara Allah SWT
"Dia ibuku selepas ibuku," begitulah sabda Rasulullah SAW bila berbicara mengenai pengasuhnya Ummu Aiman.
Ummu Aiman sewaktu mudanya dikenali sebagai Barakah binti Tha'labah bin Malik Al-Habsyi, adalah seorang hamba yang berkulit gelap dan berasal dari Habsyah (sekarang Ethiopia). Nama julukan Ummu Aiman diberikan setelah beliau mendapat anak yang dinamakan Aiman.
Ummu Aiman diperdagangkan di Pasar Hamba dan dibeli oleh bapa baginda SAW, Abdullah. Sebelum wafat Abdullah telah berpesan supaya Ummu Aiman diwariskan kepada Rasulullah SAW. Maka setelah baginda lahir, Ummu Aiman adalah pengasuh baginda yang pertama.
Semasa Nabi SAW berusia 6 tahun, ibunya Khadijah telah membawa baginda menziarahi kaum keluarganya, Bani Adiy an-Najar di Madinah. Di Madinah Ummu Aiman yang menemani dua beranak itu telah mendengar perbualan orang-orang Yahudi yang mengenali tanda-tanda kerasulan pada Muhammad. Mereka juga mengetahui bahawa Madinah itu tempat hijrahnya baginda SAW.
Dalam perjalanan pulang ke Mekah, ibu baginda Aminah telah jatuh sakit dan wafat di suatu tempat bernama Abwak. Maka pulanglah Nabi SAW bersama Ummu Aiman yang setia mengasuh baginda sehingga dewasa.
Setelah Nabi SAW berkahwin dengan Khadijah, baginda telah membebaskan Ummu Aiman, namun beliau tidak mahu meninggalkan Nabi SAW. Beliau ikut beriman dengan Nabi SAW dan menjadi antara wanita pertama yang beriman. Beliau telah berkahwin dengan Ubaid bin Zaid dan dikurniakan anak lelaki, itulah dia Aiman. Diriwayatkan Aiman telah gugur syahid dalam Perang Hunain.
Kemuliaan Ummu Aiman disebut oleh Rasulullah SAW, "sesiapa yang ingin mengahwini wanita ahli syurga, maka berkahwinlah dengan Ummu Aiman,". Maka seruan itu disahut oleh Zaid bin Harithah yang pernah menjadi anak angkat kepada Nabi SAW. Bersama Zaid, Ummu Aiman mendapat Usamah bin Zaid. Usamah telah menjadi panglima perang dalam usia yang muda.
Sebagaimana Ummu Aiman yang sangat mengasihi Nabi SAW, begitulah juga baginda yang amat kasih kepada Ummu Aiman. Tradisi Nabi SAW yang sering menziarahi Ummu Aiman telah diteruskan oleh sahabat-sahabat baginda iaitu Abu Bakar as-Sidiq r.a dan Umar al-Khattab r.a selepas kewafatannya.
Ummu Aiman telah kembali ke rahmatullah setelah 4 tahun 2 bulan Rasul yang mulia pergi meninggalkannya. Begitulah personaliti hebat Ummu Aiman yang kami bincangkan dalam usrah kami. Sesungguhnya amat bertuahlah Ummu Aiman yang telah dipilih oleh Allah SWT untuk mengasuh junjungan kita yang menjadi Kekasih Allah. Ummu Aiman juga dikurniai putera-putera yang hebat yang telah berjuang di jalan Allah SWT. Semoga kesolehahan Ummu Aiman sedikit sebanyak akan tumpah kepada kita ibu akhir zaman.
Minggu ini genap 4 bulan saya dan keluarga berkelana di bumi England. Walaupun merasa gembira dan aman di sini tapi hati tetap sayu bila teringat teman-teman yang ditinggalkan. Selama 12 tahun saya melayari hidup sebagai seorang pendidik. Keluar pada pukul 7.00 pagi dan memandu ke sekolah, sudah menjadi sebahagian dari rutin kehidupan. Kini menjadi kenangan yang sentiasa indah dalam ingatan.
Walaupun saya gembira dan merasa aman di sini tetapi saya masih terkenangkan teman-teman di sana, terutama sahabat-sahabat di SMK Bakti. Bukan saja saya rindukan persahabatan yang akrab, malah lebih dari pada itu saya amat terharu dan terhutang budi kepada teman-teman yang telah banyak membantu menyelesaikan tugasan yang telah saya tinggalkan.
Terima kasih dan ribuan kemaafan kepada Kak Najah, Zarina, Azmah, Rohaya, Kak Azah dan Ustaz Husin yang telah membantu memeriksa kertas Pendidikan Islam ting 4J, 4Ndan 4A/B bagi Peperiksaan Akhir Tahun. Terima kasih juga kepada Kak Liza yang telah menguruskan kelas 3 Begonia yang telah saya tinggalkan, begitu juga mohon maaf dan terima kasih kepada guru-guru yang terpaksa relief kelas saya sepanjang saya bercuti.
Haizan yang amat disayangi, Su, As, Zie, Azida, Azila, Kak B, Ta, Kak Nab, ah! semua yang tak mampu saya senaraikan...........
Sebak rasa dada bila mengenangi baik dan mesranya hubungan kita. Indahnya waktu bersama, takkan terhakis oleh masa dan jarak antara kita. Moga hubungan yang terjalin akan sentiasa terpelihara dan diberkati oleh Yang Esa.
Hari ketiga di sini saya mendaftarkan Baby, Iffah Nadhila (6 tahun) di Bowburn Junior School. Baby masuk Year 2 Dolphin. Kelas yang kemas dan cantik dengan skrin besar di hadapan! Kedatangan baby disambut oleh dua orang guru yang sedang berada dalam kelas tersebut. Mesra dan ramah, kedua-duanya memimpin tangan Baby masuk ke kelas. Baby yang terpinga-pinga mengikut sahaja, kemudian duduk bersama pelajar-pelajar lain di kelas tersebut. Kasihan juga bila melihat muka Baby yang kelihatan merah dan gementar. Saya tinggalkan Baby dan kembali menjemputnya pada pukul 3.00 petang. Begitulah setiap hari, saya atau ayahnya akan menghantarnya pergi ke sekolah pada pukul 9.00 pagi dan balik pada pukul 3.00 petang.
Seminggu pertama Baby ke sekolah dengan linangan airmata. Saya sangat faham perasaan Baby yang begitu terasing dengan suasana baru, guru dan rakan-rakan yang tidak dikenali. Dalam kelasnya cuma ada tiga orang pelajar lelaki Melayu, yang lainnya anak-anak Mat Salleh! Namun keadaannya semakin baik pada minggu kedua dan seterusnya. Baby semakin serasi di sekolahnya, dia cepat menyesuaikan diri dan semakin ceria pergi dan pulang dari sekolah.
Kini Baby semakin gembira belajar di sini. Baby belajar membaca menggunakan kaedah phonics, matematik, wow word (perkataan dan ayat) dan tulisan. Sepertimana semasa di Malaysia, dia komited dengan pelajarannya. Tugasan dan homework cepat saja disiapkan. Mrs. Foster guru kelasnya yang baik sering memuji kebolehan Baby terutama dalam pelajaran Matematik. Sebenarnya Baby telah belajar matematik sejak tadika 4 tahun lagi, sudah tentu kebolehannya dalam mata pelajaran tersebut agak 'advanced'. Dengan sekolah yang lengkap dan sistem pembelajaran yang lebih baik di sini diharap Baby akan menjadi seorang pelajar yang cemerlang.
AHMAD NUSAIR (UCAI)
Bermula dari hari Jumaat lepas 15 Januari, si kecil Nusair (3 tahun) memulai alam persekolahan di sini (Nusery). Seronok dan teruja dia nak bersekolah. Sebelum ini telah dua kali saya bawa Nusair 'visit the school'. Memang menjadi adat di sini anak-anak dan ibu bapa akan dibawa melawat sekolah, diberi penerangan tentang aktiviti sekolah dan diperkenalkan kepada guru-guru yang mengajar sebelum memulakan persekolahan.
Nusair amat gembira apabila melihat sekolah yang penuh dengan mainan, dari pintu masuk sampailah ke kawasan toilet, semua ruang adalah sudut mainan, outdoor pun ada, panjat dinding, cat bangunan, main tanah,pasir,batu, "eeee......depa main kotok!" kata Nabhan. EXPLORE THE WORLD! Tapi yang paling menarik perhatian Nusair mestilah 'pondok memancing'. Selepas visit, tiap kali saya bertanya, nak sekolah tak? mesti dia jawab; nak, ucai nak tangkap fish! Namun apa bila tiba hari persekolahan, saya hantar dan ikut masuk kerana dia enggan masuk sendiri. Kemudian saya di suruh tunggu dan menyorok selama sepuluh minit diluar, di dalam, Nusair melalak "ucai nak umi....,ucai nak umi....., berselang seli dengan suara guru yang memujuknya. Selepas sepuluh minit, dia di bawa keluar dengan teresak-esak. Begitulah juga hari kedua, dia tambah skrip; ucai nak umi....bukak pintu....!
Hari ini saya akan terus membawa Nusair yang telah berjanji tidak akan menangis lagi, tidak pasti, apakah dia akan bersekolah sepuluh minit seperti dua hari sebelumnya, atau lebih baik. Menurut gurunya, mereka akan beri masa kepada anak-anak ini selama dua minggu, selepas itu, biasanya mereka akan datang ke sekolah dengan senang hati. Kalau di Malaysia senang saja. Kita hantar dan serahkan saja pada cikgu. Pandai-pandailah mereka, itu memang urusan mereka! Di sini tak boleh, nanti dia stress, kata cikgu Nusair; tiada guna kalau dia datang sekolah terpaksa dan tak happy! LEARN FOR FUN.
Di peringkat Nursery, sekolah mereka bermain saja. 'Sekolah Main'., itulah istilah yang sesuai! Semasa di Malaysia, Nusair telah pun bersekolah di usia dua tahun. Sekolahnya 'ada' mainan, namun yang banyaknya buku dan alat tulis. Di usia seawal dua tahun Nusair telah pun dipegang tangannya, dilatih menulis dan mengalor! Bukan itu saja, ada pula ujian dan penilaian, dan sudah tentu ada markahnya! Agak berbaloi, Nusair sekarang, baru masuk 3 tahun telah boleh memegang pensil dengan betul dan telah ada kemahiran psikomotor. Di samping boleh menyambung titik-titik(tracing the line), dia juga boleh mengalor dengan baik.
Selama 3 hari Nusair ke sekolah menangis, dan berada hanya 10 minit sahaja di sekolah. Namun pada hari ke-4 dia semakin baik, tidak lagi menangis dan saya telah boleh meninggalkannya sehingga habis waktu persekolahan pada pukul 3.00 petang.
Minggu kedua.......
Kini masuk minggu kedua Nusair bersekolah. Keadaan yang amat berbeza, Nusair tidak lagi menangis ke sekolah. Malah dia akan berlari-lari sambil menyanyi lagu kegemarannya Old Macdonald had A Farm, kalau hujan turun semasa dia berjalan ke sekolah dengarlah dia menyanyi 'rain,rain go away, come again another day,' (Nusair memang suka menyanyi). Sampai saja di pintu masuk, dia akan menyapa guru yang menunggu di pintu "Hello teacher'! Nyaring sapaannya... Dia tidak lagi menunggu saya mendukungnya masuk ke dalam kelas, tapi akan meninggalkan saya sebaik saja saya menanggalkan kot dan topinya. Sayalah yang memanggilnya untuk menciumnya terlebih dahulu. Semoga Nusair mendapat ramai kawan dan sentiasa riang meneroka dunia barunya di Bowburn Nursery School.
Hari ini kali kedua saya mengadakan usrah bersama anak-anak perempuan Sekolah Melayu Bowburn. Ahli usrahnya terdiri dari pada anak-anak berusia antara 10 tahun sehingga 14 tahun, tak ramai cuma 6 orang saja. Setelah bertaaruf pada minggu lepas, kali ini saya terus saja kepada syllabus usrah. Slot pertama, saya bawa perbincangan Akidah iaitu tentang Tauhid Rububiyyah, Uluhiyyah, Asma' wa Sifat. Slot kedua adalah presentation dari pada seorang ahli usrah untuk segmen akhlak anak soleh. Anis membaca artikel yang di ambil dari internet bertajuk, cara menghormati ibu bapa, saya tambahkan dengan beberapa hadis dan ayat-ayat al-Quran yang berkaitan, serta tayangan video pendek tentang anak yang mengabaikan tanggungjawab terhadap ibu yang telah tua.
Dari pada pemerhatian saya, anak-anak ini sangat positif, malah boleh dikatakan agresif dalam perbincangan. Atas setiap perkara atau persoalan yang ditimbulkan, ada saja soalan, tambahan atau komen yang dilontarkan. Biasalah, dalam satu kumpulan mesti ada yang dominan dan resesif! Yang dominan mestilah yang talkative, tapi yang lain tak juga mengalah, mereka selalu angkat tangan, minta diberi ruang dan peluang untuk beri pendapat dan pandangan.
Sebagai seorang guru, saya melihat perbezaan yang cukup ketara antara anak-anak kita di sini (England), dengan pelajar-pelajar saya di Malaysia. Telah menjadi kebiasaan, sama ada sepanjang saya menjadi pelajar sehinggalah ketika saya mengajar, salah satu budaya dalam masyarakat pelajar Melayu, lebih ramai yang suka membisu dari pada 'participate' dalam kelas atau apa-apa majlis diskusi. Kebanyakan kita cuma menjadi 'a good listener', dan seolah-olah tiada idea untuk bercakap, atau sekiranya kita rasa ada 'benda nak kata', datang pula rasa tak confiden, timbullah persoalan; betul ke yang aku nak cakap ni?, munasabah ke?, nanti orang lain kata apa, menyebabkan akhirnya kita langsung tak berkata apa-apa....Perasaan 'inferiority complex' sentiasa membunuh keinginan kita untuk bersuara!
Berlainan dengan sikap anak-anak Melayu yang tinggal dan bersekolah di sini. Melayu tetap Melayu, semasa taaruf dalam usrah, makanan kegemaran mereka tetap budu, belacan dan cencaluk! (sebab tulah mak bapak diaorang sentisa memastikan bekalan dari Malaysia tidak putus). Namun, mereka punya daya keyakinan diri yang tinggi. Dari mula saya buka majlis dengan membaca surah al-Fatihah sehinggalah saya tamatkan usrah dengan tayangan video pendek, majlis usrah ini begitu hidup dan bersemangat! Kadang-kadang saya rasa susah untuk menguasai suasana apa bila mereka berebut-rebut nak bercakap, menambah atau bertanya soalan.
Apakah lebihnya pendidikan di sini berbanding di sana? Perkara yang sering saya fikirkan...
Dari minggu pertama saya sampai ke sini antara perkara pertama yang saya uruskan adalah persekolahan anak-anak. Anak ketiga saya, Iffah Nadhila masuk Year 2 di Bowburn Infant School. Ketika saya sampai di kelas Year 2 Dolphin, dua orang guru menyambut ketibaan Nadhila, hangat sekali, kedua-duanya memimpin tangan Nadhila dan bercakap dengan ramahnya, saya lihat Nadhila terpinga-pinga dengan sambutan guru-guru tersebut, apatah lagi dengan riuhnya guru-guru itu bercakap dalam bahasa yang saya pasti sepatah haram dia tidak faham. Mungkin kerana merasa kehadirannya begitu dihargai, Nadhila sanggup duduk di kelas itu dan membiarkan saya meninggalkannya walaupun di kelas itu cuma ada 3 orang pelajar lelaki Melayu yang masih belum dikenali, yang lainnya anak-anak Mat Saleh! Begitulah pada hari-hari yang seterusnya dia tetap pergi ke sekolah walaupun masuk kelas dengan linangan airmata. Saya mengerti, dengan suasana yang asing dan masalah bahasa yang tidak difahami, betapa sukarnya dia mengendalikan perasaannya. Namun, dia juga begitu teruja dengan layanan dan penghargaan guru-guru di situ. Setiap hari, dia akan balik dengan 2 atau 3 keping stiker di baju, "umi, teacher bagi stiker sebab baby makan abis, ni stiker sebab baby cepat masuk kumpulan, ni stiker sebab baby tidy up!", begitulah setiap hari, sehingga setelah dua minggu, dia balik dengan sekeping kertas, CLASS AWARD "You have done very well this week andput your hand up to answer question. Well Done! Mungkin ini adalah satu cara yang baik dan biasa mereka lakukan untuk menunjukkan penghargaan kepada anak-anak seterusnya memberi mesej bahawa 'yakinlah, sesungguhnya diri ANDA amat berharga'.
Di Bowburn Junior School, Nabhan mendaftar sebagai pelajar Year 5. Nabhan, anak saya berusia 10 tahun, mengalami Masalah Pembelajaran Spesifik Dyslexia. Semasa di Malaysia, Nabhan amat bermasalah di sekolah, Nabhan dan guru-gurunya sama-sama stress, Nabhan tak suka belajar dan tak suka guru-gurunya, guru-guru pun bermasalah dengan Nabhan sehingga dia ditukar dari kelas ke kelas. Masuk ke sekolah swasta disuruh keluar. Di sini lain pula kisahnya, Nabhan amat gembira bersekolah. Nabhan amat sinonim dengan uniform sekolahnya, jumper merah berlambang Bowburn Junior School dan beg galas berwarna hitam! Di sekolah dia amat digemari oleh guru-guru dan rakan-rakan. Ketika saya bertanya apakah Nabhan bermasalah di sekolah sebagaimana di Malaysia, gurunya Miss Reuter yang cantik menjawab, "No, I'm waiting...."
Sistem pembelajaran di sini agak berlainan dari pada di Malaysia. Di sini ujian dan peperiksaan bukanlah sesuatu yang di titik beratkan, malah tiada peperiksaan sepanjang pelajar berada di sekolah rendah, cuma semasa di akhir semester Year 6, pelajar akan di beri Ujian Penilaian, bagi penilaian untuk masuk ke sekolah menengah (Year7). Penilaian terhadap pelajar akan dibuat berdasarkan pemerhatian guru sahaja. Sessi bersama ibu bapa (parents evening), diadakan bagi melaporkan prestasi dan perkembangan pelajar. Tiada buku rekod rasmi ditunjukkan ketika saya berjumpa guru. Mungkin kerana itulah guru-guru mereka mempunyai ruang dan peluang yang banyak untuk mengenali dan mendidik peribadi pelajar-pelajar mereka dengan menekankan penampilan dan menanam keyakinan diri, mereka ada masa yang banyak untuk melayani pelajar-pelajar mengikut tahap dan keupayaan pelajar, mereka tidak terkejar-kejar untuk menghabiskan sukatan seperti kita. Mungkin sebab itu jugalah Nabhan boleh belajar dengan selesa di sini! Cara pembelajaran mereka juga lebih kepada penerokaan, iaitu pelajar lebih banyak melakukan praktikal.
'Exam oriented', mungkin, dengan sistem yang kita banggakan ini kita akan selalu dapat mengukur keupayaan pelajar, seterusnya mencari di manakah lagi kelemahan pelajar untuk kita baiki, namun apa bila kita terlalu menekankan untuk mengukur kebolehan pelajar di peringkat rendah, perkara inilah yang membunuh keyakinan dalam diri anak-anak kita. Bayangkanlah, setiap dua bulan mereka akan ditunjukkan tahap pencapaian mereka. Bagi yang mendapat markah yang tinggi, gembiralah mereka tetapi bagi yang sering ketinggalan akan merasa kecewa, dan lama kelamaan akan wujudlah perasaan "inferiority complex" dalam diri mereka! Di pihak guru-guru pula, akan sentiasa terkejar-kejar untuk menghabiskan sukatan tanpa mengambil kira tahap kebolehan belajar kerana soalan yang disediakan adalah setara untuk semua pelajar. Di samping terpaksa menyediakan soalan dan memeriksa kertas, banyak pula borang dan laporan yang mesti disiapkan selepas setiap ujian dan peperiksaan. Itu belum lagi dikira kelas tambahan yang perlu diadakan pada waktu petang dan pada hari cuti persekolahan, hatta ada juga guru-guru yang terpaksa mengorbankan waktu malam mereka untuk mengajar kelas tambahan! Masa terlalu berharga bagi seorang "GURU TERBILANG", kertas laporan dulu dipandang dari pada anak-anak yang datang menagih perhatian seorang guru!
Iffah (12 tahun), anak sulung saya, sesampainya di sini terus menjejakkan kaki ke sekolah menengah (Year 7), belajar lebih kurang 11 subjek di sekolah, sentiasa pulang bersama homework. Syllabusnya pula saya kira agak heavy namun praktikal. Test dan assignment bersilih ganti. Mungkin di tahap inilah mereka mula 'speed' dalam menimba ilmu pengetahuan. Di tahap ini pelajar yang normal telah bersedia dan faham erti ilmu dan kejayaan. Di tahap ini seorang anak sudah kurang kecintaannya kepada dunia permainan. Maka, mereka pun dengan relanya melepaskan dunia keseronokan yang telah puas mereka terokai. Keyakinan diri yang diperolehi di peringkat awal persekolahan memandu anak-anak di sini menjadi seorang pelajar yang proaktif, dan penuh keyakinan dalam banyak situasi.
Melihat, memikir dan membanding semua ini, rasa ada baiknya juga mereka di sini. Memang banyak perkara yang menyalahi agama, adat dan budaya, namun tidak salah jika kita mengambil yang baik dari pada mereka. Saya berdoa agar anak-anak usrah yang saya didik di sini boleh menunjukkan yang terbaik dari pada seorang yang bergelar "anak muslim" di sini dan seterusnya pulang sebagai 'pelajar yang berani bersuara dan menyumbang idea sama ada di kelas atau apa jua majlis diskusi, bukan hanya hadirnya sebagai 'penyeri '!
Usrah pertama yang saya hadiri hari ini dimulakan dengan membaca surah as Syuara', ayat 167 - 181, diikuti terjemahan dan perbincangan ringkas. Antara yang menarik adalah kisah kekejian yang dilakukan oleh kaum Lut dan bala' yang dahsyat yang menimpa mereka akibat dosa yang mereka lakukan. Hari ini saya mengetahui tentang POMPEI, suatu daerah di Itali yang telah mengalami kemusnahan suatu ketika dahulu. Sama seperti kaum Lut dan kaum-kaum lain yang dibinasakan penduduk Pompeii telah mengalami nasib yang sama. Lahar yang dimuntahkan oleh Gunung Berapi Vesuvius telah menyebabkan manusia mati serta merta dalam keadaan yang amat dahsyat. Manusia yang menjadi batu dalam pelbagai keadaan, kekal dan dapat dilihat sehingga ke hari ini. Tidak dapat dibayangkan, sedang kita menjalani aktiviti harian, tiba-tiba datang bala' sebegini. Perlakuan penduduk POMPEII tidak jauh dari apa yang dilakukan oleh ramai manusia hari ini. Di sebalik kekayaan dan kemakmuran hidup yang dikurniakan Allah SWT, manusia amat angkuh terhadap kekuasaan Allah dan gemar melakukan dosa dan maksiat. Penemuan sejarah Pompeii, menunjukkan di samping kemajuan dan kemewahan yang dimiliki oleh penduduk Pompeii, mereka menjadi hamba kepada nafsu dalam diri mereka sendiri. Apa bila Allah SWT memberhentikan proses kehidupan mereka secara serta merta, maka mereka mati dalam keadaan yang amat memalukan, jadilah mereka manusia batu yang kaku dengan gambaran maksiat yang sedang mereka lakukan!
Saya berdoa kepada Allah SWT agar diberi peluang menyaksikan sendiri kekuasaan Allah di Pompeii suatu masa nanti.
Slot kedua, kami membincangkan tentang kemuliaan memelihara anak perempuan. Beberapa hadis Rasulullah SAW yang dibincangkan menyebut tentang kelebihan-kelebihan memelihara dan mendidik anak-anak perempuan. Memelihara, mengasuh, melindungi, mengasihi dan mendidik anak perempuan, BALASANNYA ADALAH SYURGA! Begitulah janji yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis-hadisnya yang benar.
Setelah berkali-kali kita diajarkan tentang peri pentingnya tarbiyyatul aulad, kenapa mesti Nabi SAW berpesan berkali-kali pula tentang mengasuh dan mendidik anak perempuan? Tentu ada makna yang tersirat! Lihat saja sekeliling kita, boleh juga kita teliti sehingga ke dalam rumah kita, atau pandang terus ke dalam bilik anak perempuan kita, kalau rasa "OK", alhamdulillah, tetapi kalau kita rasa ada masalah maka wajar kita kaji pesanan yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW ini.
Benar, dalam hadis-hadisnya baginda Rasulullah SAW menyebut makan minum mereka, pakaian dan jodohnya. Namun hari ini kita perlu luaskan konteksnya sesuai dengan cabaran kehidupan dunia hari ini. Anak-anak perempuan kita hari ini bukan saja perlu dipersiapkan fizikal mereka, bukan hanya mesti digalakkan menggenggam segulung ijazah, bukan saja perlu dipantau jodoh mereka tetapi yang lebih penting adalah memberikan ilmu-ilmu untuk mengawal diri, dan meletakkan diri mereka di tempat seorang muslimah yang sebenar. Telah banyak anak-anak perempuan kita hari ini yang telah hilang sesuatu yang berharga, iaitu "PERASAAN MALU"! Tiadanya permata berharga ini dari diri mereka menyebabkan ramai anak-anak perempuan kita hari ini hilang maruah diri, tiada lagi batasan antara lelaki dan perempuan.
Adalah sesuatu yang amat mendukacitakan apa bila saya melihat pergaulan yang begitu bebas sesama pelajar lelaki dan perempuan di dalam kelas-kelas saya semasa saya mengajar. Boleh saja seorang pelajar perempuan menampar atau mencubit pelajar lelaki yang mengusiknya! Tanda MARAH, konon. Study group pula pada sebelah petang, tidak sah jika tidak bercampur lelaki dan perempuan, sedangkan semasa saya di sekolah menengah, tidak pernah saya satu group dengan pelajar lelaki! Ah! kami se'group' semua masuk UNIVERSITI tanpa bantuan lelaki!
Apatah lagi di luar pagar sekolah, begitu hebat panorama yang telah mencorak dan dicorakkan oleh permata berharga kita ini. Maka berawaslah ibu bapa semua dengan pesanan Rasulullah SAW berkenaan permata hati kita, "ANAK-ANAK PEREMPUAN". Ingatlah satu lagi hadis Rasulullah SAW yang indah, 'Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah'. Antara tujuan saya ke sini pun adalah untuk bertenang sebentar (tomakninah) dan mencari formula terbaik untuk pendidikan dua orang anak perempuan saya. Semoga kita semua berjaya memandu anak-anak perempuan kita sehingga mereka boleh membawa kita ke syurga.
Semasa kami sampai di sini, autumn sudah pun memulai musimnya, cuaca semakin sejuk. Suhu di dalam rumah antara 17C dan 18C, di luar bawah 10C pada waktu siang, menurun sehingga 3 - 4C pada waktu malam. Dedaun sudah mula meluruh meninggalkan dahan dan rantingnya. Semasa di Malaysia saya memang bercita-cita untuk melihat keindahan musim luruh. Alhamdulillah, kini saya di beri kesempatan oleh Allah SWT untuk menikmati keindahan dan keajaiban fenomena alam ciptaan Allah ini.
Leganya hati bila dapat menjejaki rumah sendiri. Terletak di hadapan main road (Durham Road), rumah teres dua tingkat dengan tiga bilik tidur ini memang sesuai untuk kami sekeluarga.
Bermulalah kehidupan saya sebagai surirumah sepenuh masa. Inilah jawatan yang diidam-idamkan oleh saya suatu masa dulu. Saya memulakan kehidupan yang benar-benar berbeza. Tidak lagi berlari naik turun tangga mengejar masa. Terasa bahagia pula boleh menghantar dan menyambut anak-anak di pintu rumah sewaktu pergi dan pulang dari sekolah. Memasak memang kemestian di sini, tiada lagi gerai goreng pisang dan cempedak atau restoran tom yam dan nasi karot seperti di Bertam Putra! Jadi, saya sentiasa ke dapur sama ada untuk menu "light" atau "heavy".Suami pula sentiasa di sisi, tidak lagi selalu ditinggal pergi, puas menanti, tengah malam baru kembali!
BOWBURN, begitulah nama bumi yang kami pilih untuk mastautin kami di sini. Buat permulaannya kami menumpang di rumah seorang sahabat lama . Afandi adalah sahabat Jai dan classmate saya di UIA, sementara Ayu isterinya, adalah junior kami.Semasa di Penang, kami pernah mengunjungi mereka di UUM 11 tahun yang lalu, masa tu Iffah dan anak mereka Anis sama-sama meniarap, tak sangka pula bertemu semula di sini. Merekalah yang banyak membantu kami memulakan kehidupan baru, termasuklah menumpangkan kami di rumah mereka selama 10 hari (orang paling lama menumpang). Anak-anak kami cepat saja mesra, umur pun lebih kurang sebaya, Iffah terus saja karib dengan Anis, Nabhan dengan Adam, hanya Nusair saja yang kuat bergaduh dengan Adib (2 tahun).
Dua minggu pertama di sini adalah masa yang paling sibuk. Suami mula mendaftar sebagai "student" dan terikat dengan orientasi sebagai pelajar baru. Terpaksalah saya menguruskan anak-anak terutama urusan persekolahan mereka. Di Bowburn ni mudah saja sebab sekolah dekat, walking distance saja. Mula-mula saya ke Bowburn Infant and Nursery School untuk mendaftar Baby (Nadhila). Esoknya saya ke Bowburn Junior School pula mendaftarkan Nabhan. Amat mudah, cuma bagi nama dan tarikh lahir, mereka minta kita isi sehelai borang, dokumen tak perlu. Esok boleh terus masuk sekolah. Baby masuk Year 2, sementara Nabhan Year 5! Dua orang sudah selesai, cuma Iffah saja yang belum bersekolah.
Di sini Iffah akan masuk Year 7. Lama juga baru Iffah boleh bersekolah, lebih kurang 2 bulan menunggu. Terpaksa buat "hearing appeal". Tapi tak pe, ayah kan lawyer! Akhirnya Iffah berjaya juga belajar di sekolah yang tersohor, Durham Johnston Comprehensive School. Nampak bergaya plak dia......p sekolah pakai black suit!
Kami tiba di Airport Newcastle pada 27hb. Sept. 2009, jam 12.15 tengahari, alhamdulillah setelah tujuh jam penerbangan Emirates KL-Dubai, transit di terminal 3, Dubai airport selama 9 jam dan tujuh jam pula penerbangan Dubai-Newcastle, akhirnya sampai juga kami ke destinasi. Mujur juga kami memilih Emirates, walaupun lama dalam perjalanan tetapi banyak kemudahan dan keselesaan yang disediakan. Terutama bagi budak-budak yang lasak ni, Nabhan memang tak ke mana, lekat kat seat sebab ada game, sepanjang jalan dia leka dengan game saja, berhenti bila ada pramugari offer makanan, pas tu sambung balik, Baby pun sama, Nusair ralit sekali, terlopong mulut dia bila tiba-tiba boleh naik aeroplane, mereka pun ada bagi hadiah untuk kanak-kanak di samping child’s meal, pendek kata bebudak tu tak de masalah dalam plane. Masalah tiba semasa di airport Dubai, 10 malam-7 pg, puas control, berkejaran ke sana-sini, tidur pun atas kerusi, mana nak lena. Letih perjalanan terubat apabila dapat masuk ke airport Newcastle, beg banyak sekali, tiga trolley penuh, mujur ada tiga orang sahabat yang menunggu untuk mengambil kami di luar. Semuanya beg pakaian, kecuali satu beg yang dipenuhi makanan (bekalan untuk 2-3 bulan pertama di tempat orang).
Ketika keluar dari bangunan airport, cuaca elok sekali. Matahari memancar terang dengan suhu sekitar 16C. Anak-anak gembira sekali sampai di "negara salji"! Perjalanan dari Newcastle ke Durham mengambil masa setengah jam. Mula-mula kami di bawa ke rumah seorang student di sini yang kebetulan mengadakan open house sempena Aidil Fitri yang baru seminggu berlalu. Tak sangka makanan yang disediakan tak kalah open house kita di Malaysia. Daripada ketupat rendang, soto dan kuih muih semua terhidang di atas meja. Dodol pun menumpang sekali, buatan sendiri. Begitulah hebatnya student Malaysia di Durham ni! Bermula dari situ kami mendapat jemputan demi jemputan open house dari pada student dan ada juga rakyat Malaysia yang bekerja di sini. Inilah untungnya berhijrah selepas raya, setakat ini tak miss lagi menu Malaysia!