If I Had My Child to Raise Over Again by Diane Loomans
If I Had My Child to Raise Over Again by Diane Loomans
If I had my child to raise all over again, I'd do less correcting, and more connecting, I'd take my eyes off my watch, and watch with my eyes. I would care to know less and know to care more. I'd take more hikes and fly more kites. I'd stop playing serious, and seriously play. I'd run through more fields and gaze at more stars. I'd do more hugging, and less tugging. I would be firm less often, and affirm much more, I'd build self-esteem first, and the house later. I'd teach less about the love of power and more about the power of love.
Dalam berat hati dan hiba perasaan ini terpaksa jua melepaskan Ramadhan kali ini lantaran itulah hukum alam, pergilah anugerah ilahi buat umat manusia buat kesekian kalinya. Selamat berpisah Ramadhan, kuucapkan syukur dalam kesyahduan.....
Esok adalah Hari Kemenangan, takbir memuji kebesaran Ilahi bergema di segenap alam, moga-moga benarlah sebagai tanda kejayaan, bukan sahaja menahan lapar dahaga disiang hari, bahkan ibadah, mujahadah dari segala sifat terkeji. Semoga berpanjangan dan sebati segala latihan sebulan ini dalam diri kita umat Islam. Berakhirnya madrasah Ramadhan ini dengan melahirkan muslim yang murni jiwanya, dan kuat usaha dan cita-citanya untuk menjadi hamba yang diredhai Allah swt.
MINAL AIDIN WAL FAIZIN, KULLU A'MIN WA ANTUM BIKHAIR, TAQABBALALLAHU MINNI WA MINKUM........
Hari ini hari ketiga, tiga hari sudah Ramadhan berlalu......, muhasabah, apa yang telah kita isi selama tiga hari ini? Saya sendiri terasa masih sedikit amalan yang dibuat dalam masa tiga hari ini. Tadarus juzuk ketiga dalam keluarga, alhamdulillah setakat tiga hari ini kami masih istiqamah! Mudah-mudahan amalan yang secebis ini berterusan. Berzikir rasanya amat kurang sekali, memang saya lemah dalam bab berzikir. Bila teringat mulut kumat-kamit seketika, kemudian hilang dalam khayalan, terleka, sedar-sedar fikiran dah melayang ke arah lain, maklum saja cinta dunia......banyak masa ditumpu kepada urusan dunia, maka banyaklah usaha ditumpahkan untuk dunia...., astaghfirullah!
Bagi memastikan rumah dihiasi dengan al-Quran saya sentiasa membuka youtube-bacaan al-Quran oleh qari terkemuka seperti Sheikh Misyari al-Afasy, Sheikh Shuraim dan Abdul Rahman Sudais, Al-Ghamidy dll. Saya pernah terbaca bahawa air yang dibacakan ayat-ayat al-Quran, molekul-molekul air itu terbentuk dengan cantik sekali. Mungkin juga, sememangnya secara fitrahnya makhluk-makhluk Allah SWT tunduk dan taat kepada Allah. Saya fikir elok juga jika air, makanan dan seisi rumah saya dibacakan al-Quran, moga-moga berkat makanan dan minuman yang menjadi darah daging kami sekeluarga.........dan yang terpenting anak-anak mendengar halwa telinga yang terbaik!
Mujur juga anak-anak tidak tertarik dengan lagu-lagu pop masa kini, mereka tak pernah terdedah dengan perkara seumpama itu. Semenjak kecil saya cuma pasangkan 'nursery rhymes' saja untuk mereka, sampai saya sendiri pun hafal hampir keseluruhan lagu-lagu itu. Bila besar mereka beralih minat kepada kartun pula, di rumah memang jarang saya buka program nyanyian, kalau nak tengok pun masa anak-anak dah tidur, ye lah nak juga tahu siapa penyanyi popular, siapa menang AF, bak kata suami 'buat modal ceramah', saya pula 'buat modal menyapa pelajar dalam kelas!'...........Namun semenjak ke sini, saya langsung tak ambil tahu, entah siapa pulak penyanyi popular tanahair sekarang!
Berbalik kepada bulan yang mulia ini, saya berhajat untuk mentelaah al-Quran, sekali lagi youtube sangat berguna, selain dari pada membaca dari pada Quran terjemahan, saya juga mendengar tafsiran dari pada youtube. Untuk mengelak saya jemu dan hilang tumpuan, saya baca atau klik surah yang saya teringat dan ingin tahu tafsirannya, kalau saya ikut turutan dan mula dari pada al-Baqarah dan seterusnya saya akan mudah lupa. Jadi untuk mengelak perkara tersebut saya cari surah yang saya ingin tahu dan meneroka maksudnya...Cara ini saya dapati lebih baik dan berkesan bagi saya yang mudah hilang tumpuan ini.
Antara yang istimewa dan tidak dapat tidak di bulan yang mulia ini adalah perihal juadah! Kalau di Malaysia sudah maklum Pasar Ramadhan tempat tumpuan, di sini terpaksalah menyalakan api memasak sendiri. Namun rezeki dari Yang Esa tidak kurang juga. Petang ini saja kedua-dua jiran yang baik menghantar juadah-juadah yang enak untuk kami. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Ruqan, jirang berbangsa Bangladesh yang sangat baik akhlak dan agamanya, dari nasi, kuih muih, buah-buahan semua ada. Tidak lupa juga buat jiran yang berusaha Tuan Dr Azam dan Dr Lin yang sanggup drive dari West Cresent ke Trafford Close untuk memberi kami merasa Laksa Johornya yang cukup enak itu, cucur udang tuan Dr juga boleh berkira! Jazkallah, moga Allah membalas segala kebaikan jiran-jiranku dengan kemuliaan dan kasih sayangNya.
Begitulah tiga hari di bulan mulia, moga hari keempat dan seterusnya makin baik dan bertambah amalan isi rumah ini. Selamat berusaha dan berlumba-lumba ke arah kebaikan! Fastabiqul khairat!
1 Ogos 2011, bersamaan 1 Ramadhan 1432, anak sulungku ini menginjaki usia 13 tahun. Alhamdulillah....................
Dua tahun di sini pelbagai pengalaman pahit manis yang Iffah lalui. Dua tahun berada di sini, dua buah sekolah juga yang telah Iffah hadiri. Berjaya di sekolah pertama dan cemerlang di sekolah kedua, puteri kami ini tidak pernah menghampakan. Bijak bestari dan berbudi, sememangnya anugerah Allah yang tiada taranya buat ummi dan ayah, dua bulan menjejaki Haughton Community School, berturut-turut ummi dan ayah menerima warkah-warkah pujian pihak sekolah buat Iffah, diikuti dengan penghargaan sebagai 'Gold Star Student', serta banyak lagi pencapaian selepas itu termasuklah dicalonkan sebagai 'Student of The Year', dan menjadi 'EV Star' bagi dua subjek.
Untuk Iffah, dari ummi n ayah
Subhanallah, banyak sebenarnya nikmat Allah ke atas Iffah. Telah ummi ingatkan bahawa Allah sedang menguji Iffah, apakah Iffah seorang yang bersyukur?? Teruskan usaha Iffah untuk menjadi hamba Allah yang baik. Belajar kerana Allah, gunakan ilmu yang diperolehi untuk memikirkan kebesaran Allah. Baguskan akhlakmu, dampingilah Al-Quran, jadikan hadis-hadis Rasulullah SAW sebagi panduan hidupmu, insyaalah doa ummi dan ayah Iffah akan sentiasa berjaya dan terpelihara.
Ya Allah, rahmati dan sayangilah Iffah, kurniai dia kejayaan dan keberkatan di dunia dan akhirat...
Puteri harapan ummi dan ayah.........
Sesungguhnya diri dan jiwa Iffah adalah milik Allah SWT. Atas setiap kurniaan Allah adalah baik jadinya bagimu. Apa bila menempuh kehidupan yang berliku, berhati-hatilah, pastikan Iffah sentiasa memilih jalan menghampiri Allah SWT. Jangan sesekali merasa kecewa dan putus asa dengan ketentuan Allah SWT. Mungkin sekali Allah mendugamu, namun sentiasalah bermohon agar jangan sampai Iffah diduga dengan sesuatu yang Iffah tidak mampu. Maka selepas itu bertawakkallah, yakinlah bahawa dugaan yang Allah beri adalah sesuai buatmu.
Baby n ucai wishing kakak a 'happy birthday'
Ucai luv kakak...........
Indah kurniaan Allah, sambutan ulang tahunmu setitik dengan sambutan Ramadhan yang mulia, moga dititik ini Iffah melangkah ke 13 tahun kehidupan dengan penuh rasa tawadhuk seorang hamba, moga ibadah di bulan mulia ini akan melahirkan Iffah yang bertaqwa kepada Allah SWT. AMEEN.
IFTAR MERAI HARI JADI IFFAH
ZARA CAFE, STOCKTON
Maka yang mana satukah nikmat Tuhanmu yang kamu dustakan?
Malam penuh keberkatan bermula..............kali kedua menempuh Ramadhan di bumi yang jauh, amat jauh dari ibunda tercinta dan adik-beradik yang dikasihi. Terasa sayu juga, menjalani Ramadhan kali ini, apatah lagi kali ini bukan saja jauh dari sanak saudara malah jauh juga dari kawan dan rakan Melayu seperti tahun lalu. Nampaknya tahun ini kami bertadarus dalam keluarga sahaja. Alhamdulillah baru sebentar tadi suami telah memaklumkan bahawa tadarus di rumah sehari satu juzuk, di samping bacaan individu.
Semasa usrah kaum ibu di Bowburn dua minggu lepas, telah pun dibincangkan bahawa yang terbaik adalah membaca al-Quran beserta menghayati maksudnya, itu adalah azam yang saya sematkan dalam hati. Moga diberi kekuatan dan masa oleh Allah SWT.
Puasa kali ini bermula pada pukul 3.20 pagi hingga 9.13 malam. Menjalani ibadah puasa semasa musim panas memerlukan kesabaran yang tinggi kerana waktu siang yang panjang. Waktu malam pula pendek, singkat benar waktunya, untuk makan minum, berehat, terawih, tidur dan bangun sahur. Pilihannya berjaga sehingga sahur. Nampaknya terpaksa tidur selepas subuh juga. Mungkin agak sukar jika kena dengan hari bekerja. Seawal jam 8 pagi sudah berada di tempat kerja. Namun jarang-jarang mendapat shift begitu.
Dua hari lepas saya disapa seorang rakan sekerja, pemuda berdarah campuran Cina Malaysia dan Inggeris. 'Ramadhan is coming, are you looking foward?' Tergamam saya, tak sangka pula dia ambil berat juga pasal Ramadhan, sedangkan kehidupannya penuh dengan kepura-puraan dunia! 'Yes, I can't wait!', dan dia menggeleng-gelengkan kepala tidak faham. Mungkin dia ingat Ramadhan ini satu bulan penyiksaan bagi orang Islam, lantaran dia ini sangat suka berhujah mempertikaikan itu ini dalam Islam. Kenapa perempuan Islam pakai tudung, kenapa orang Arab pakai purdah, kenapa saya tak going out (keluar berhibur malam), kenapa lelaki Islam boleh kahwin empat sedangkan perempuan tidak boleh dan macam-macam lagi soalan yang saya kena jawab untuk dia. Namun saya sangat seronok mempunyai rakan sekerja seperti ini. Sekurang-kurang nya bergerak juga minda saya walaupun saya terpaksa memerah otak bukan saja memikir jawapan tapi men'translate!'.
Hari pertama puasa bersamaan dengan hari jadi Iffah. Istimewa pula hari jadinya kali ini, disambut sekali dengan Ramadhan. Macam-macam nikmat Allah! Nabhan pula tiada bersama. Berada di Sheffield, di rumah kawannya. Seminggu ini kami akan berpuasa tanpa Nabhan, terasa sunyi pula, selalunya sebahagian tugas saya adalah mengawal Nabhan. Dari bangun tidur saya terpaksa memberi arahan; mandi, gosok gigi, solat, mengaji, baca buku, jangan bergaduh, bla,bla,bla......... Moga dia dapat mengawal diri sendiri di rumah orang.
Nadhila pula telah berjanji untuk berpuasa. Saya sudah tanya dia tadi, kenapa mesti puasa? jawabnya sebab Baby nak rasa macam mana orang susah, tak dapat makan. Kalau tak Baby jadi orang tamak..., saya kata yang pertama kena tahu bahawa puasa itu suruhan Allah, jadi kita puasa sebab taatkan Allah! Lain kali boleh sambung 'lecture' lagi. Saya tak paksa dia puasa, cuma digalakkan mencuba sekadar terdaya, masih lagi dalam proses tarbiyah. Kena difahamkan cara dan hikmah puasa. Jangan berpuasa sekadar adat sahaja!
Begitulah permulaan Ramadhan bagi keluarga kami tahun ini. Harapan menggunung bahawa madrasah Ramadhan kali ini dapat menjadikan ahli usrah kami sebagai hamba yang diredhai Allah. Moga dilapangkan jalan ketaatan bagi kami semua dan ditutup jalan keingkaran, Ya Allah permudahkan kami dengan ketaatan dan halangi kami dari kemaksiatan. Selamat membersihkan diri wahai ummat, moga keluarnya kita dari madrasah ini sebagaimana keluarnya seorang bayi ke dunia ini...............
Dua hari sudah saya merasa kehilangan, satu perasaan yang tidak pernah saya rasakan sepanjang hidup saya terhadap orang yang tak pernah saya temui seperti Allahyarhamah Dr. Lo'lo' Ghazali. Sesungguhnya saya amat meminati peribadi beliau, wajahnya yang tenang, personalitinya yang matang, keluarganya yang sakinah, dan perjuangannya yang tak kunjung padam.
Walau hanya dapat menatap wajah-wajahnya di dada akhbar dan majalah, namun saya rasa dekat kepadanya, dia idola saya terutama dalam membentuk keluarga dan mendidik anak-anak. Membaca kisahnya dan melihat gambarnya sekeluarga dalam sebuah majalah beberapa tahun yang lalu, membuatkan saya jatuh cinta kepadanya. Bagus keluarganya, anak-anak yang beriman dan menghayati agama. Bersama-sama pula mereka sekeluarga berkelana dalam medan perjuangan mengislah ummah!
Dr. lo'lo', dia memang permata, Moga dapat aku berkongsi permata itu dan kusematkan juga di dalam jiwaku...........
Seandainya kau tangisi kematianku Dan kau siram pusaraku dengan air matamu Maka di atas tulangku yang hancur luluh Nyalakanlah obor buat umat mulia ini Dan teruskan perjalanan ke gerbang jaya
Kematianku adalah suatu perjalanan Mendapatkan Kekasih yang sedang merinduku Taman-taman di syurga bangga menerimaku Burung-burung berkicau riang menyambut ku Berbahagialah hidupku di alam abadi
Puaka kegelapan pasti akan hancur Dan alam ini akan disinari fajar lagi Biarlah roh ku terbang mendapatkan rindunya Janganlah gentar berkelana ke alam abadi Nun di sana fajar sedang memancar
Sungguh ramai yang menziarahinya, curahan doa mengiringi pemergiannya, tanda-tanda bahagia roh Dr. lo'lo' yang pergi mengadap Ilahi.........
Antara perbezaan 'tempat dulu' dan 'sekarang' yang saya perasan adalah ANJING. Semasa di tanah air dulu anjing adalah binatang yang sangat saya takuti, apatah lagi ianya najis yang dikategorikan sebagai najis berat (mughallazah). Dalam hadis pun disebut bahawa air liur dan najis anjing adalah najis mughallazoh, dan dalam mazhab syafie pula anjing itu sendiri adalah najis mughallazah. Tambahan pula pengalaman saya dengan anjing semasa di sana buruk-buruk belaka. Saya pernah terjun dari basikal semasa dalam perjalanan pulang dari sekolah kerana dikejar anjing, malah itu bukan pengalaman pertama saya dianiayai anjing, banyak kali berlaku sama ada sebelum mahupun selepas peristiwa itu. Saya berasa seolah-olah anjing-anjing tersebut tahu bahawa saya sangat gerun dengan mereka, mendengar salakan pertama anjing sahaja membuat saya terkejut macam kena elektrik, jantung saya berdegup pantas, saya bersedia untuk lari bak 'sprinter'!
Bila saya sampai di sini keadaan amat berlainan. Amat jarang@terlalu sukar untuk saya melindungkan diri saya dari pada anjing. Setiap kali saya keluar dari rumah, saya akan bertemu dengan anjing. Alhamdulillah, anjing di sini sentiasa bersama tuannya. Anjing di sini dijaga dan dibelai, dibelikan mainan, dibawa bersiar-siar, pendek kata anjing adalah sebahagian dari pada kehidupan mereka. Jarang sekali rumah yang dihuni tanpa anjing. Sekiranya di negara kita anjing dipelihara sebagai pengawal rumah atau dijadikan pembantu semasa perburuan, di sini pula anjing dipelihara sebagai binatang manjaan seperti kucing layaknya. Bermacam-macam jenis anjing yang saya lihat, dari pada bull dog sehinggalah anjing baka kecil dan rendah, sangat comel, namun dia tetap ANJING! Andai dia lalu, saya akan ke tepi dan tabik hormat kepadanya!
Semua kawan-kawan sekerja saya memelihara anjing, seorang daripadanya pernah membawa anjingnya kepada saya. Mak ooi besarnya, hampir sebesar anak kerbau! Anjing hitam berusia 8 tahun itu dipanggil 'place', dia makan serba macam, kerap kali kawan saya itu membawa sisa-sisa makanan di rumah kami bekerja untuk anjingnya, termasuklah sayur-sayuran. Saya terfikir, patutlah badannya besar, tolak batu dan kayu! Malah kayu pun digigit-gigitnya!
Pernah sekali semasa saya masih tinggal di Bowburn, saya berjalan bersama Nabhan, tiba-tiba seorang remaja perempuan lalu bersama dua ekor anjingnya yang tidak bertali, sedangkan undang-undang di sini semua anjing yang di bawa keluar ke tempat awam mesti dikenakan tali dan di kawal. Ketika berselisih dengan saya, anjing ini mungkin terbau akan ketakutan saya kepadanya, apa lagi salah seekor dari padanya menerpa ke arah saya, berdiri dan mencium baju saya disamping menyalak 'manja', walaupun saya tahu bahawa anjing itu tidak mencederakan saya, namun ketakutan saya kepada makhluk ini membuatkan saya menjerit-jerit dan terlompat-lompat! Ah! mujur tiada siapa yang merakam aksi saya dalam telefon bimbit, kalau tidak tak tahulah betapa sumbangnya lompatan dan jeritan saya ketika itu. Keadaan tersebut tidak berlarutan kerana tuan anjing pantas memanggilnya, dan masuk ke dalam pagar rumahnya.
Anjing-anjing yang garang di sini tidak di bawa keluar, seperti anjing di sebelah rumah saya sekarang. Anjing ini memang garang, saya tidak pernah melihat rupa anjing itu, hanya mendengar salakannya sahaja saban hari. Di depan pagar rumah jiran saya ini tertulis notis 'ENTER THIS ENTRANCE IS AT YOUR OWN RISK'. Saya pernah melihat beberapa rumah yang mempunyai notis yang sama di pintu pagarnya. Anjingnya memang garang, tuannya pun garang juga, sepanjang 7 bulan saya tinggal di sini tidak pernah saya mengenali jiran saya ini. Ada dua orang yang pernah senyum dengan saya, namun saya kurang pasti adakah mereka penghuni rumah tersebut atau tetamu. Apa yang berlaku setiap hari saya akan terdengar suara tuan rumah itu memarahi dan menengking anjingnya yang kadang-kadang menyalak dengan nyaring. Kerap kali saya mendengar dia menjerit, 'get out!! bla...bla...bla... (swearing).
Sebenarnya bila berhadapan dengan keadaan di sini, baru saya terfikir dengan ikhtilaf di kalangan fuqaha' mengenai masalah anjing. Di negara kita hukum berkenaan anjing sangat syadid dan kita mengamalkan mazhab syafie, di sini pula mazhab maliki lebih sesuai diamalkan kerana pandangannya yang lebih longgar dalam masalah anjing. Ini bersesuaian kerana pengalaman bersentuh dengan anjing adalah biasa terjadi. Kadang-kadang agak sukar mengawal anak-anak yang sukakan anjing, ada sahabat yang membenarkan nak-anak mengusap-usap badan dan kepala anjing, anjing sudah jadi umpama kucing parsi di sini. Mahu saja menggesel-gesel di kaki kita. Hari ini pun anak saya Iffah mengadu bahawa seekor anjing cuba 'bermanja' dengannya ketika dia dalam perjalanan ke sekolah, seluarnya di pijak anjing tersebut, tuan anjing itu membiarkan sahaja walaupun anak saya menjerit-jerit. Mereka sukakan anjing, dan mereka tidak faham kenapa kita sangat sensitif dengan peliharaan yang comel itu.
Menurut Mazhab Syafie seluruh badan anjing dan apa sahaja yang keluar dari pada anjing sama ada air liur, najis, peluh, darah dan muntahnya adalah najis mughallazah, mana kala menurut Mazhab Maliki pula hanya air liur dan najis anjing sahaja yang merupakan najis mughallazah, maka saya menyuruh Iffah membasuh seluarnya yang dipijak anjing itu dengan menggunakan sabun dan dibilas sebagaimana biasa sahaja. Mungkin hari esok anjing tersebut akan datang 'bermanja' lagi dengannya kerana itu adalah laluannya juga! Begitulah bagaimana kita menggunakan keluasan fiqh dalam keadaan dan tempat yang berbeza!
Sabda Rasulullah SAW;
"Jika seekor ANJING menjilat bejana salah satu dari pada kamu sekalian, maka hendaknya kamu menuangkan bejana itu (mengosongkan isinya) kemudian membasuhnya tujuh kali" (HR.Imam Muslim:al-Fiqhu Alal Madzhahibil,Juz I,hal.16).
Salagi tidak dijilat anjing atau terkena najisnya, maka bersihkanlah menurut cara membersihkan kotoran yang lainnya.
Bila bersendirian, mulalah saya terkenang masa silam, terutama zaman belajar; Matrikulasi dan Main Campus UIA dalam kenangan. Apa tidaknya bertemu teman hidup pun di sana, maka UIA itu tempat yang indah dan nikmat bila dikenang....sweeet memory!!
Semasa saya di Matrikulasi UIA di Subang Jaya, kami pelajar-pelajar perempuan sering menganjurkan program ceramah dan kuliah. Suatu hari kami menjemput Ustaz Husin Unang, seorang pensyarah di MPI untuk berceramah. Mungkin sesuatu yang baik untuk dikongsi bersama, Ustaz tersebut mengajarkan doa kepada kami; doa untuk mendapat pasangan yang soleh, minta maaf laptop saya tiada versi arab/jawi@kurang ilmu komputer:
ALLAHUMMA QADDIRLI ZAUJAN SOLIHAN WA YUKHOTHIBNI WATAZAWWAJNI WAYAKUNU SOHIBALLI FIDDUN-YA WA FIL JANNAH
Maksudnya; Ya Allah, taqdirkanlah bagiku seorang suami yang soleh, dan dia meminangku dan mengahwiniku dan menjadi temanku di dunia dan di syurga.
Maka dari pada semua ilmu yang disampaikan oleh ustaz pada pagi itu, ilmu yang inilah paling popular, melekat di otak dan meresap ke dalam kalbu, menjadi topik hangat pula di hostel. Doa yang kami amalkan bersama. Alhamdulillah, setakat yang saya ketahui ramai sahabat saya bertemu teman hidup yang soleh lagi alim belaka! Kurniaan Allah SWT.
Teringat saya kepada seorang ukhti yang sebilik dengan saya, Kak Anis panggilan mesra kami kepadanya. Kak Anis memang suka memberi nasihat kepada kami, pelajar-pelajar '1st year' matrikulasi. Antara nasihatnya supaya sentiasa berdoa untuk mendapat jodoh yang soleh. Katanya kita tidak tahu siapa jodoh yang ditaqdirkan Allah buat kita, mungkin Mamat yang suka lepak kat tepi jalan. Oleh kerana itu kita mesti rajin berdoa supaya dikurniakan jodoh dengan seorang pemuda yang soleh. Mudah-mudahan Allah akan memberi hidayah kepada Mamat itu untuk menjadi hambanya yang soleh sebelum dia berkahwin dengan kita.
Tidak dinafikan univesiti adalah tempat yang baik untuk mengintai jodoh, antaranya kerana kita lama berada bersama-sama, dari tahun pertama sehingga tahun akhir. Banyak masa yang kita ada untuk mengenali bakal teman hidup kita. Senang juga untuk kita merisik peribadinya. Seperti saya dan suami, kami telah saling mengenali di tahun pertama matrikulasi lagi. Sejak dari Matrikulasi lagi saya telah solat berimamkannya, berjemaah, bermesyuarat, berusrah dan halaqah, bertamrin dan rehlah bersama. Serba sedikit saya arif dengan peribadi suami saya, begitulah sebaliknya.
SUAMIKU, KEKASIHKU..........
Kepada anak-anak kita, sama ada yang telah punya teman istimewa atau tidak, janganlah leka dari pada berdoa, jika telah mendapat teman yang soleh doakan supaya si dia tetap dengan kesolehannya, jika mendapat yang 'rock' doakan supaya berubah menjadi soleh, yang belum ada teman doalah selalu supaya beroleh teman yang soleh. Apa-apa pun jagalah diri sendiri, yakinlah dengan janji Allah bahawa lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, lelaki yang bersih untuk perempuan yang bersih, tak perlu mempromosi diri dengan pakaian dan penampilan yang anggun dan menawan, ingatlah lelaki-lelaki yang akan tertawan dengan perempuan-perempuan sebegini adalah lelaki yang berpenyakit hati, bukan yang benar-benar beriman. Semoga terbina rumahtangga yang diberkati dan dicintai Ilahi. Wallahua'lam.